Saturday, June 20, 2009

Mengumpul Dan Memberi Masalah

Mereka tidak menguasai asas membaca dan menulis semasa di sekolah rendah. Mereka tidak dapat mengikut pengajaran guru di sekolah menengah kerana asas mereka yang terlampau rendah. Mereka mungkin tidak mempunyai kecerdasan matematik-logik dan linguistik yang menjadi asas sistem pendidikan. Mereka mungkin mempunyai kecerdasan 'interpersonal', 'rhythmic', dan lain-lain tetapi tidak berpeluang untuk menonjolkan bakat mereka.

Setiap hari mereka pergi ke sekolah untuk mengumpul masalah dan memberi masalah. Mereka tidak dapat menyesuaikan diri mereka dalam sistem pendidikan yang sedia ada. Mereka mungkin boleh dilatih dalam kemahiran fisikal dan manipulatif yang menjadikan mereka lebih berguna dalam dunia pekerjaan kemudian tetapi kemampuan sekolah atau institusi yang membekalkan latihan vokasional adalah amat terhad. Mereka keluar dari sekolah atas pelbagai sebab dan masuk ke masyarakat tanpa kemahiran yang spesifik. Mereka masuk ke masyarakat untuk mengumpul masalah dan memberi masalah.

Mereka terabai kerana masyarakat terlalu sibuk membahaskan isu 10 A atau 11 A atau 20A.

Mereka Berbakat

Mereka berbakat! Mereka boleh merancang, melaksana dan menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan ramai.

Mereka sudi! Mereka sudi kerana mereka dihargai. Mereka sudi kerana kesilapan mereka dibetulkan secara konstruktif dan positif.

Mereka rela! Mereka rela kerana masa instruksional mereka tidak diganggu. Mereka rela kerana mereka dapat memberi sumbangan yang sungguh bermakna kepada sekolah.

Tetapi, sebelum semua itu, yang paling penting, yang selalu dilupakan : Mereka mesti diberi peluang. Setuju tidak?

Persepsi Positif

Sekali lagi Sabtu yang rehat-hari yang saya sangat suka kerana pada hari ini saya biasanya berpeluang untuk membuat refleksi; macam-macam refleksi sama ada berkenaan kerja sendiri atau isu-isu yang hangat di dalam dan luar negara.

Baru-baru ini, saya dijemput sebagai salah seorang ahli panel forum berkenaan pendidikan di sekolah menengah. Daripada soalan-soalan yang ditanya oleh ibubapa saya dapati mereka amat dipengaruhi oleh laporan media massa tentang masalah disiplin di sekolah menengah. Antara soalan yang ditujukan termasuk satu yang menanya mengapa masalah disiplin di sekolah menjadi semakin serius baru-baru ini. Saya memberi penjelasan bahawa masalah disiplin tetap ada di sekolah mengikut norma masyarakat. Di mana-mana setting sosial (melainkan setting yang tidak mencermin keadaan masyarakat secara sebenar-seperti sekolah yang hanya memilih murid yang baik), ketidakseragaman tingkahlaku dan perangai tetap wujud. Sama ada masalah disiplin menjadi semakin serius atau tidak, perkara ini adalah lebih merupakan satu persepsi sahaja.

Persepsi boleh berlainan daripada keadaan sebenar kerana orang ramai sentiasa didedahkan kepada laporan yang berfokuskan peristiwa yang lebih berunsur sensasi seperti pergaduhan, perjudian, gangguan seksual yang biasanya terhad kepada segelintir murid di sekolah sahaja, satu peratusan yang amat kecil berbanding dengan murid-murid yang mencapai pelbagai jenis kejayaan dan kecemerlangan di sekolah.

Masalah disiplin di sekolah tetap perlu diberi perhatian yang serius dan langkah-langkah pencegahan perlu sentiasa diambil melalui pemupukan dan penyemaian nilai-nilai positif tentang diri dan komuniti sekolah. Pihak sekolah, orang ramai, pemimpin-pemimpin dan media-media massa seharusnya menyimbangkan antara aspek-aspek negatif dengan aspek-aspek positif yang berlaku di sekolah. Walaupun adalah lebih mudah menjual berita berkenaan murid-murid yang berjudi di sekolah daripada berita yang berkenaan dengan jauh lebih ramai murid yang menjalankan gotong-royong di persekitaran sekolah, akan tetapi, kita semua seharusnya mempunyai tanggungjawab sosial untuk memupuk nilai-nilai positif yang boleh ditelandi. Ini tidak bermakna menutup berita kejadian yang tidak baik--Harap tidak salah faham. Ini adalah lebih berkenaan dengan membina masyarakat yang lebih positif, lebih yakin dan lebih optimis. Semua ini sememangnya bermula dengan persepsi yang positif.

Friday, June 19, 2009

Belajar Untuk Skor

Isu hangat sekarang ialah bilangan A yang diperoleh oleh seorang calon SPM dan kualiti sebenar calon itu. Tidak boleh dinafikan bahawa calon yang memperoleh banyak A ialah calon yang cemerlang mengikut takrifan, kriteria dan skema pemarkahan yang ditetapkan oleh peperiksaan tersebut. Oleh itu, adalah tidak adil sekiranya kita mensyaki kebolehan seseorang yang skor banyak A dalam SPM.

Sering kita dengar bahawa ada calon yang begitu bijak meneka soalan. Ada yang hafal 'skema' dan tahu cara untuk mendapat markah seperti yang dikehendaki oleh skema. Ada tahu menyempitkan skop belajar yang mencukupi untuk skor sahaja. Ringkas kata, ada calon yang menjadi pakar belajar untuk skor. Beliau tidak semestinya menguasai kandungan secara mendalam dan menyeluruh. Bagi saya semua ciri ini juga merupakan ciri orang yang bijak, orang yang boleh menyesuaikan diri mengikut kehendak dan keperluan sistem. Kemungkinan besar orang yang sama ini juga akan muncul sebagai calon yang cemerlang dalam jika berada di dalam sistem yang berlainan. Kita mesti menghargai calon yang cemerlang dalam lingkungan yang ditetapkan oleh kita sama ada dari segi mutu soalan atau dari segi gred.

Balik kepada fenomena 'belajar untuk skor', kita tidak boleh salahkan murid-murid 'belajar untuk skor' jika itulah persepsi orang ramai. Bacalah surat khabar untuk melihat bagaimana publisiti yang begitu banyak diberi kepada mereka yang skor. Lihatlah anugerah yang diberi kepada individu atau institusi untuk melihat begitu banyak fokus diberi kepada mereka yang skor.

Masuk ke dalam kedai buku yang menjual buku ulangkaji dan lihat tajuk-tajuk yang menarik seperti Skor A Dalam...., Studi Untuk Skor,....macam-macam skor lagi. Saya boleh mencadangkan beberapa tajuk jika belum lagi dipakai: Pasti Skor Dalam...., Tak Beli Tak Skor..., Skor Sampai Jemu...., Tak Skor Boleh Koyakkan (lagi suka kerana sudah bayar dan mungkin perlu beli lagi),...... Cuba anda berikan tajuk buku seperti : Tak Semestinya Skor Tetapi Boleh Meningkatkan Pemikiran Kritis dan Kreatif, Belajar Tak Semestinya Untuk Skor, Boleh Tambah Banyak Ilmu Lain Di Luar Sukatan,.... saya hanya memberi nasihat anda telah memilih jalan untuk bankrap. Jangan salahkan murid yang tidak membeli buku anda kerana beliau mematuhi norm yang ditetapkan oleh sistem.

Perlu ingatkan diri supaya tidak menggunakan masa yang lama sangat untuk blog kerana ini tidak merupakan sebahagian sukatan untuk skor. Oleh itu cukup sampai sini sahaja. Apa pandangan anda?

Sunday, June 7, 2009

Protokol, Salutation dan Sambutan

Beberapa perkara yang ditegaskan oleh kepimpinan yang baru sungguh menarik and pasti dapat meningkatkan produktiviti sekira diterjemahkan kepada tindakan. Antara yang diketegasan ialah:
• Kurangkan protokol
• Ketepatan masa
• Salutation yang ringkas
• Hentikan budaya sambutan yang keterlaluan
• Majlis hendaklah mudah, ringkas dan tidak membazir
Berkenaan beberapa protokol, salutation dan sambutan yang berterlaluan, rakan-rakan boleh rujuk kepada artikel saya, Untuk Renungan 2 pada September 22, 2008 sebagai satu contoh. Sedikit ulasan tambahan:

Takrifan (Definition):

VVVIP – Very, very, very important person.

VVIP – Very, very important person

VIP – Very important person

IP – Important person

NIP – Not important person. (Biasanya paling ramai dan datang atas arahan dan peringatan bahawa kedatangan akan dicatatkan. Makan di bawah khemah biasa.)

*Demostrasi silat oleh pelajar Tingkatan 4. Latih 3 minggu. Raptai biasa 2 kali. Raptai penuh 2 kali. Tak masuk kelas 2 hari.

*Pasukan kompang – Johan Negeri.

Slide 3

*Kereta kuda untuk membawa VVVIP ke tempat memotong riben.

*Murid pengsan kerana tak sempat makan sarapan.

Slide 3