Sunday, January 3, 2010

Paling Mungkin Untuk Berjaya

Ini merupakan artikel pertama saya untuk tahun 2010. Tidak lewat lagi saya mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU dan semoga tahun 2010 merupakan satu tahun yang berjaya. Istilah berjaya sebenarnya mempunyai takrifan yang lain mengikut individu. Namun demikian, saya percaya setiap individu memainkan peranan untuk menjadikan sesuatu tahun itu berjaya mengikut takrifan biasa: hidup dalam keadaan aman dan damai, menyumbang kepada masyarakat yang adil dan saksama dan memperoleh pencapaian yang positif dalam kerjaya.

Berkenaan dengan berjaya, saya ingin kongsi beberapa perkara dari artikel Most Likely To Succeed oleh Malcom Gladwell berkenaan dengan profesion guru. (Artikel ini adalah dari buku terbaru beliau yang bertajuk What the Dog Saw, and other adventures.) Saya kekalkan beberapa petikan dalam bahasa Inggeris untuk mengekalkan kejituan maknanya.

Perbezaan antara guru baik(good) dan guru lemah(poor) dapat dikesan jika ada data yang mencukupi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perbezaan ini amat besar dan amat penting dalam dunia pendidikan. (......this is the finding that galvanised the world--the difference between good teachers and poor teachers turn out to be vast.)

Eric Hanushek, seorang pakar ekonomi Stanford, menganggarkan bahawa murid-murid seorang guru yang sangat lemah, secara puratanya, akan belajar kandungan setara dengan separuh tahun dalam satu tahun persekolahan. Murid-murid seorang guru yang sangat baik, secara puratanya, akan belajar kandungan setara dengan satu tahun setengah dalam satu tahun persekolahan. Perbezaan kandungan yang dipelajari oleh murid-murid diajar oleh guru yang sangat lemah dengan murid-murid diajar oleh guru yang sangat baik dalam setahun adalah setara dengan satu tahun! Oleh itu, kesan dibawa oleh faktor guru adalah jauh melebihi faktor sekolah. ( Teacher effects dwarf school effects; your child is actually better off in a bad school with excellent teacher than in an excellent school with a bad teacher. Teacher effects are also much stronger than class-size effects. You'd have to cut the average class almost in half to get the same boost that you'd get if you switched from an average teacher to a teacher in the eighty-fifth percentile. And remember that a good teacher costs as much as an average one, whereas halving class size would require that you build twice as mny classrooms and hire twice as many teachers.)

Dengan itu selain isu-isu berkenaan bajet, saiz kelas, rekabentuk kurikulum yang lebih biasa difokuskan oleh pengubal dasar, isu tentang mencari calon dan memberi latihan perguruan yang berkualiti dan memastikan peningkatan kualiti guru yang sedang berkhidmat harus diberi perhatian yang sama kalau tidak lebih.

Reformasi dalam pendidikan antaranya bermula dengan syarat yang lebih ketat dalam pemilihan calon untuk dilatih menjadi guru. Selalunya syarat ini diterjemahkan kepada keperluan akademik dan kognitif yang lebih tinggi. Kajian menunjukkan faktor-faktor mencirikan seorang guru yang baik merangkumi: peka kepada keperluan murid, fleksibiliti dalam pengurusan gelagat murid, boleh lihat dan faham dari perspektif murid, kebolehan untuk 'personalise the material', kebolehan untuk menjadikan murid-murid berasa setiap daripada mereka diberi perhatian secara individu .... Tetapi semua ini bukan kemahiran kognitif.

Artikel ini juga sentuh tentang withitness. Sesuatu tingkahlaku yang berjangkit berlaku di dalam kelas; katakan seorang dua bising dan menyebabkan lebih ramai bising secara kesan berantai seperti dalam satu jangkitan. Apa yang signifikan bukan bagaimana seorang guru menghentikan tingkahlaku yang berjangkit itu tetapi, kebolehan guru itu memberhentikan rantai itu sebelum ia bermula pun. Kounin memanggil kebolehan ini sebagai withitness, yang beliau menakrifkan sebagai "a teacher's communicating to the children by her actual behaviour (rather than by verbally announcing: 'I know what's going on') that she knows what the children are doing....."

Bagi saya, perkara-perkara ini berasas dan boleh menjadi rujukan yang baik semasa kita membuat refleksi tentang setahun yang lalu dan membuat resolusi untuk tahun yang baru, dalam usaha kita untuk mencari dan melaksanakan* amalan yang Paling Mungkin untuk Berjaya. Sekali lagi, SELAMAT TAHUN BARU.

(*Saya sangat peka tentang perkataan 'melaksanakan' setelah cukup kerap dibanjiri oleh perkara yang dicari-cari, program yang dirancang-rancang, cogan kata dan seruan perang-battle cry bersemangat, dokumentasi tebal-tebal, pengisytiharan secara besar-besaran, tetapi semuanya, berhenti setakat pada itu sahaja. Jangan ada tanggapan negatif, sebaliknya jadikan komen ini sebagai bahan refleksi juga.)