Sunday, February 14, 2010

WooHoo!

WooHoo! (Lima Harimau!)
Apakah respons pertama apabila anda melihat foto ini? Kalau anda hanya perlu menggunakan satu perkataan untuk mendeskripsikan foto ini, apakah perkataan itu? Kalau tak silap sangat, mengikut pengalaman saya, perkataan-perkataan yang berikut mungkin akan muncul secara spontan. (Kalau tidak, saya harap ada respons daripada pembaca.)
  • 'Cute-cute'
  • Comel
  • Menarik
  • Suka
  • Seronok
Mungkin anda ada jawapan yang lain tetapi kemungkinan besar foto ini akan memberi anda satu impak visual yang positif, tak kira sama ada anda seorang kanak-kanak atau seorang dewasa. Impak visual seperti ini penting dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) yang berkesan dan harus diterokai serta dieksploitasikan dengan sepenuhnya. Seorang guru mungkin menggunakan kaedah 'chalk-and-talk', paparan dua dimensi, model tiga dimensi, atau alatan ICT dalam sesi p&p. Tidak kira apa media yang digunakan, kaedah yang memberi impak visual yang dapat mencetuskan minat, menarik perhatian, merangsangkan sifat ingin tahu dan mengaktifkan minda murid untuk belajar, adalah kaedah yang baik.

Kita tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa sesi p&p seorang guru yang menggunakan alatan ICT mesti menarik dan berkesan. Beliau mungkin memaparkan nota yang padat dengan perkataan dengan komputer dan projektor LCD sahaja. Beliau mungkin menggunakan PowerPoint tetapi hanya mempunyai satu slaid tajuk sepanjang sesi p&p itu. Begitu juga, kita tidak boleh menyatakan sesi p&p seorang guru yang mengamalkan 'chalk-and talk' pasti membosankan dan kurang berkesan. Beliau mungkin mahir menggunakan ruang papan hitam dan kapor pelbagai warna untuk mempamerkan grafik yang menarik dan mudah difahami. Walau bagaimana pun, saya tidak ingin menghantar mesej yang salah, di mana sebarang sesi 'chalk-and-talk' pasti mencukupi. Bahan-bahan bantu mengajar termasuk alatan ICT banyak membantu apabila penggunaan kapor dan papan hitam sahaja telah mencapai satu tahap yang terhad. Yang saya nak tegaskan di sini ialah kewujudan pemikiran stereotaip yang mementingkan 'apa' daripada 'bagaimana'. (Sebagai contoh, kita pernah dengar semasa kemuncak PPSMI--saya anggap kemuncak itu telah lepas dan kita sedang menuruni bukit--penggunaan alatan ICT bermaksud sesi p&p yang baik.)

Di sini saya boleh mengulas bahawa minda mendahului media. Apa kaedah yang dapat memberi impak positif yang besar kepada deria, khasnya visual, mempunyai peluang yang lebih besar untuk menjayakan proses pembelajaran murid-murid. Foto WooHoo ini berjaya memberi impak visual yang cukup besar kepada saya untuk merangsangkan saya menulis artikel pendek ini pada hari pertama Tahun Baru Cina ini. Cukup di sini sahaja. Isteri sudah tanya sebanyak tiga kali--'Mengapa begitu sibuk dengan komputer pada hari yang sepatutnya berehat?' Adakah foto ini memberi sebarang impak kepada anda?

Saturday, February 13, 2010

Happy Chinese New Year

To all my friends,

Allow me to present to you 5 tigers:
  • Green Tiger : May you be creative.
  • Orange Tiger : May you be healthy.
  • Yellow Tiger : May you be smart and bright.
  • Red Tiger : May you be blessed with good luck.
  • Blue Tiger : May you be successful.

Wednesday, February 3, 2010

Cemerlang Mengikut Takrifan

Dalam Majlis Maha Kesyukuran untuk meraikan sekolah kami dipilih sebagai salah sebuah sekolah berprestasi tinggi (HPS-High Performing School), saya tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beberapa pihak/faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini.
  1. Jutaan terima kasih kepada pihak yang membekalkan murid-murid yang cemerlang sahaja ke sekolah kami.
  2. Ratusan ribu terima kasih kepada pihak berkenaan yang menghadkan enrolmen sekolah kepada hanya sekitar 25% jumlah enrolmen sesetengah sekolah harian yang besar.
  3. Bersyukur kerana faktor 1 dan 2 telah membolehkan aktiviti sekolah dijalankan dengan gangguan yang minimum (seperti masalah disiplin, tidak boleh membaca atau mengira, kelas yang terlalu besar......).
  4. Berpuluh-puluh juta terima kasih kerana semua sekolah tanpa mengira jenis, latar belakang dan jenis pengambilan dilonggokkan di bawah satu dan hanya satu kategori sahaja untuk perbandingan yang memberi pemberatan 70% kepada pencapaian dalam peperiksaan awam.
.............................................................................................................................................

.............................................................................................................................................
Akhir sekali, saya berharap perkara 1, 2 dan 4 di atas akan diteruskan. Mari bersama-sama menjerit : Bersyukur!..... Bersyukur!.... Bersyukur!