Thursday, April 8, 2010

MUAFAKAT

Berkenaan kata kunci MUAFAKAT, saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan sedikit panduan untuk peningkatan profesional diri:

  • M-Maujud. Erti dalam Bahasa Inggeris ialah ’concrete, real, tangible’. Perancangan perlu jelas dan berstrategik (bukan abstrak sangat). Panduan asas ialah SMART iaitu Specific, Measurable, Attainable, Rewarding, Time frame.
  • U-Ulas/ulang. Untuk membudayakan sesuatu amalan atau untuk menegaskan kepentingan sesuatu perkara, kita perlu mengulas dan mengulang untuk memastikan semua yang terlibat betul-betul memahami dan menghayati perkara berkenaan.
  • A- Aksi (action). Perancangan akan tetap jadi perancangan jika tidak diterjemahkan kepada tindakan. Perancangan yang terbaik di dunia pun tidak akan menghasil jika tidak ada aksi. Dalam hal itu, kata-kata dan pelbagai seruan hanya menjadi cogan kata sahaja.
  • F-Faham. Seperti di atas, tujuan ulas dan ulang adalah untuk memastikan kefahaman. Ada orang yang cepat faham; ada yang lambat faham; ada yang macam faham tetapi tak faham; ada yang macam tak faham tetapi faham; ada yang tak nak faham. Walau apa pun, perlu ada usaha supaya semua faham.
  • A-Agih. Kerja-kerja perlu diagih-agihkan kepada ahli-ahli pasukan secara sistematik dan koheren. Sesuatu kerja yang perlu usahasama sepasukan orang jika ditanggung oleh ketua sendiri tidak akan menghasilkan kesan yang diharapkan. Walau bagaimanapun agihan tidak bermaksud dipindah bulat-bulat sehingga ketua tidak terlibat langsung. Begitu juga, ahli-ahli jangan anggap ketua sahaja yang perlu menanggung segala-gala kerja. Semua ini adalah resipi untuk kegagalan.
  • K-Kerjasama. Cara mengagihkan kerja secara harmoni adalah melalui kerjasama. Cara kerjasama biasanya adalah lebih baik daripada arahan eksekutif. Kejelekitan ahli-ahli kumpulan menentukan kualiti kerja. Walau bagaimana pun, dalam masa-masa tertentu, arahan eksekutif masih diperlukan.
  • A-Analisis. Amalan semalam mungkin tak sesuai lagi untuk hari ini. Amalan hari ini mungkin tak sesuai untuk hari esok. Kita perlu menganalisis situasi mengikut keperluan yang terkini dan mengambil langkah mengikut konteks yang terbaru.
  • T-Tabah. Akhir sekali, dalam zaman yang berubah sebegitu cepat, kita perlu tabah untuk menghadapi gelombang perubahan. Kita perlu berani menghadapi pukulan ombak pembaharuan.