Saturday, June 19, 2010

Peranan Guru Matematik Dalam Masyarakat

Baru-baru ini terdapat beberapa kekeliruan menginterpretasi ayat-ayat matematik. Kekeliruan ini yang barangkali berpunca daripada asas matematik yang tak kukuh, mempunyai implikasi yang sangat besar bukan setakat ringgit dan sen sahaja, malahan termasuk kos sosial dan politik. Isu yang terlibat ini adalah berkenaan takrifan sebenar ketaksamaan matematik. Oleh itu, guru matematik mempunyai peranan yang penting untuk memastikan anak-anak murid di bawah jagaan mereka betul-betul memahami ketaksamaan matematik (ada banyak perkara yang lain tetapi setakat artikel ini ‘ketaksamaan’ sudah mencukupi) supaya pada satu hari nanti apabila mereka menjadi hakim, peguam, ahli politik, menteri, pensyarah, ... mempunyai kefahaman yang sama dan betul.

Katakanlah undang-undang menyatakan bahawa seseorang yang membawa lebih daripada 5 gram sejenis dadah boleh dikenakan hukum mati, apakah nasib seorang yang ditangkap membawa 5 gram bahan itu? Kalau undang-undang menyatakan bahawa seorang ahli parlimen boleh hilang kerusinya jika dikenakan hukuman denda oleh mahkamah tak kurang daripada 2000 ringgit, apakah status seorang ahli parlimen yang dikenakan hukuman denda sebanyak betul-betul 2000 ringgit? Interpretasi ketaksamaan boleh menentukan hidup atau mati seseorang, jimat atau belanja berjuta-juta ringgit, belum lagi mengira kos sosial dan politik, antara yang lain.

Adakah interpretasi ketaksamaan dalam ayat undang-undang berlainan daripada interpretasi sains dan matematik? Setakat saya tahu, ayat matematik dan sains adalah tepat dan jelas. Minta maaf kalau saya silap kerana saya kurang arif dengan hal berkenaan undang-undang yang tulin. Saya hanya ingin kongsi sedikit pengetahuan saya berkenaan ketaksamaan dari aspek takrifan matematik yang saya percaya kebanyakan murid sekolah menengah yang cukup rajin sudah fasih dan biasa.

  • Kurang daripada 2000 : Sebarang nombor yang kurang daripada 2000. Tak termasuk 2000 kerana 2000 tak kurang daripada 2000.
  • Lebih daripada 2000 : Sebarang nombor yang lebih daripada 2000. Tak termasuk 2000 kerana 2000 tak lebih daripada 2000.
  • Tak kurang daripada 2000 : Sebarang nombor yang lebih daripada 2000. Termasuk 2000 sendiri kerana 2000 adalah tak kurang daripada 2000.
  • Tak lebih daripada 2000 : Sebarang nombor yang kurang daripada 2000. Termasuk 2000 sendiri kerana 2000 adalah tak lebih daripada 2000.
(2000, 2000 dan 2000. Harap anda tak 'complain' keliru, keliru dan keliru.)

Apa kata kalau adakan kursus untuk meningat kembali asas-asas selaras dengan pembelajaran sepanjang hayat? Saya hanya ’thinking allowed’ bukan dan tak berani nak menjadi jurulatih.

Wednesday, June 16, 2010

SEDIKIT BERKENAAN AMALAN ‘TIPPING POINT’ DALAM PERUBAHAN

Asas
  • Satu anjakan asas budaya dan strategi perlu dibuat untuk menjayakan sesuatu perubahan dalam mana-mana organisasi (A fundamental shift in the organisational culture and strategy).
  • Antara halangan kepada prestasi tinggi sesuatu organisasi termasuk keadaan pegangan kepada ‘status quo’ telah berakar umbi, resos yang terhad dan staf yang kurang bermotivasi.
  • Di mana-mana organisasi, apabila sesuatu jisim kritikal (critical mass) orang yang mempunyai kepercayaan dan bertenaga tercapai, sesuatu idea yang baru dapat merebak seperti epidemik, menghasilkan perubahan dengan cepat.
  • Agen perubahan perlu membuat kenyataan atau panggilan yang berimpak dan tidak mudah dilupai atau dipertikaikan untuk merasionalkan perubahan.
  • Pihak pengurusan perlu menumpukan resos kepada apa yang benar-benar diperlukan untuk mengurangkan pembaziran dan mengoptimumkan operasi.
  • Pihak kepimpinan perlu menggerakkan komitmen di kalangan pemain utama di dalam organisasi.
  • Usaha untuk memintaskan penentang yang paling bising adalah perlu untuk melicinkan proses mencapai hasil yang ditetapkan.
  • Kejayaan perubahan bukan setakat kerana personaliti yang terlibat tetapi juga pada kaedah yang digunakan.
  • Dalam hal ini teori ‘tipping point’ boleh diaplikasi di tempat-tempat lain.
  • Dengan kata lain, kepemimpinan ‘tipping point’ boleh dipelajari.


Kebijaksanaan Konvensional

Dalam amalan mengikut kebijaksanaan konvensional, banyak resos dan jangka masa yang panjang diperlukan untuk mengubahkan organisasi besar.
Dalam jangka masa yang pendek, hasil perubahan tidak jelas dilihat. Ini boleh melemahkan semangat mereka yang menyumbang sama ada dari aspek tenaga, resos atau kewangan. Dalam banyak situasi, daya perubahan tidak mencukupi dan akhirnya ditewaskan oleh daya penentangan yang lebih selesa dengan ‘status quo’. Malangnya, keadaan sebegini adalah kerap. Tidak susah kita mencari pelbagai contoh program yang bermula secara besar-besaran tetapi berakhiri secara senyap, malahan adanya lenyap, tanpa membawa perubahan yang sebenar seperti dinyatakan dan benar-benar dihasratkan pada awalnya.

Kebijaksanaan ‘Tipping Point’


Untuk mengubahkan organisasi yang besar, fokuskan kepada yang ekstrim, sama ada orang, tindakan atau aktiviti, yang akan mengakibatkan kesan yang besar kepada prestasi. Usaha ini boleh
menghasilkan satu anjakan positif dengan kos yang lebih rendah dan jangka masa yang lebih pendek. (Masih ingat tentang inovasi nilai dalam ‘Blue Ocean Strategy’?). Walau bagaimana pun, adalah di dalam jangkaan bahawa untuk sebarang perubahan mesti terdapat berbagai-bagai halangan. Halangan-halangan ini boleh dikategorikan kepada empat kategori utama.

Empat Halangan Utama Dalam Organisasi

  1. Halangan kognitif: Ahli-ahli di dalam organisasi yang telah lama biasa dan selesa tidak nampak keperluan anjakan strategik.
  2. Resos terhad: Semakin besar sesuatu anjakan strategik, semakin besar keperluan resos untuk melaksanakannya.
  3. Motivasi: Bagaimana memotivasikan pemain-pemain utama untuk bergerak dengan cepat untuk lepas dari ’status quo’?
  4. Politik: Jangan pandang remek tentang politik korprat yang boleh membawa banyak kerumitan.

Mengatasi Empat Halangan

Apa yang pemimpin ‘tipping point’ lakukan untuk mengatasi halangan-halangan tersebut?

  1. Halangan Kognitif: Usahakan kesedaran tentang keperluan anjakan strategik. Biar mereka lihat dan mengalami perubahan.
  2. Resos terhad: Fokus bukan ditumpukan kepada mencari lebih banyak resos. Sebaliknya, tumpu kepada melipat gandakan nilai resos yang sedia ada.
  3. Motivasi: Pemain-pemain utama perlu dimotivasikan dengan cepat. Fokus kepada tiga faktor yang berikut: a) Zoom kepada ‘Kingpins’: Mereka yang mempunyai pengaruh yang utama dalam organisasi. b) Letakkan ‘Kingpins’ di dalam mangkuk ikan supaya tindakan atau ‘tiada’ tindakan mereka dilihat oleh semua. c) ‘Atomise’ untuk membolehkan organisasi ubah sendiri.
  4. Politik: Fokus kepada tiga jenis orang-a) ‘Angels’ – Mereka yang paling untung dari anjakan strategik. b) ‘Devils’ – Mereka yang paling banyak kerugian. c) ‘Consigliere’ – Mereka yang trampil politik tetapi merupakan orang dalaman yang dihormati. Mereka tahu secara awal-awalan mana ada periuk api, siapa yang akan menentang dan siapa yang akan menyokong anda.

Sepuluh Petua Mengubahkan Organisasi

Amalan ‘tipping point’ memberi garis panduan untuk mengubahkan sesuatu organisasi dalam bentuk sepuluh petua.

  1. Memecahkan keselesaan: Gerakkan orang ke tahap hendak membuat perubahan yang diperlukan. Bangkitkan kesedaran bahawa ‘status quo’ adalah satu resipi untuk mala petaka.
  2. Tanggalkan simbol-simbol kemerosotan: Apakah simbol kemerosotan organisasi anda yang perlu ditanggalkan untuk memberi isyarat bahawa anda betul-betul ingin melakukan perubahan untuk peningkatan?
  3. Menggantikan tingkap-tingkap yang pecah: Tingkap yang pecah kalau dibiarkan sahaja memberi gambaran anda tidak peduli dan keadaan organisasi adalah terbiar. Apakah ‘tingkap-tingkap’ yang perlu digantikan di organisasi anda?
  4. Penglibatan pelanggan dan komuniti: Perlu difahami bahawa kejayaan sesuatu ‘brand’ adalah bergantung kepada pelanggan. Bagaimana anda dapat menjadikan ‘brand’ anda berinteraktif dengan pelanggan dalam usaha membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D)?
  5. Mengenalpastikan ’hot spots’: Bagaimana anda dapat memokuskan perhatian anda kepada aspek-aspek di mana 80% (melawan dengan 20%) daripada usaha anda akan mendatangkan hasil?
  6. Kawalan ’king pins’: Dapatkah anda mengenalpastikan ‘king pins’ organisasi anda dan mempengaruhi mereka untuk menyokong usaha anda? Sekiranya anda berjaya memenangi hati ’king pins’ ini, separuh daripada peperangan telah dimenangi.
  7. Menstrukturkan cabaran: Adakah anda menstrukturkan cabaran organisasi anda kepada kerangka yang jelas supaya ahli-ahli organisasi mempunyai matlamat yang konkrit mengikut kemampuan mereka untuk mencapai kemajuan?
  8. Penampilan untuk peningkatan semangat: Apakah usaha anda untuk menaikkan imej organisasi dan meningkatkan penampilan pemain-pemain untuk menaikkan semangat mereka?
  9. Senyapkan mereka yang sentiasa kata ’tidak’: Apa yang anda lakukan untuk senyapkan mereka, sama ada di luar atau di dalam organisasi, yang sentiasa kata ‘tak’, ‘tak boleh’ atau ‘tak nak’ kepada usaha anda?
  10. Memetakan rupa bentuk: Adakah anda menegaskan kejituan dan ketepatan masa maklumat; tindakan yang cepat; taktik yang efektif dan penilaian serta tindakan susulan yang berterusan?

Akhir sekali, cuba anda meneliti secara kritikal pelbagai perkara yang sedang berlaku di dalam organisasi anda atau organsisasi yang lebih besar di mana organisasi anda adalah sebahagian daripadanya. Adakah organisasi-organisasi ini mengamalkan cadangan-cadangan daripada ’tipping point’. Adakah anda mempunyai keraguan dan kebimbangan tentang perkara-perkara yang masih dilakukan mengikut amalan konvensional yang hasilnya nanti tidak setimpal dengan tenaga, resos, kewangan dan masa yang dicurahkan?

(Perlu diakui di sini bahawa artikel ringkas ini tidak dapat memberi kefahaman yang selengkap berkenaan teori ’tipping points’. Memang bukan tujuan dan juga di luar kemampuan saya untuk memberi satu penjelasan yang komprehensif tentang tajuk ini. Oleh itu, saya berharap peminat tajuk ini dapat membuat bacaan lanjutan buku-buku atau artikel-artikel yang berkaitan.)