Saturday, January 8, 2011

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 11

Refleksi Hujung Minggu, Minggu Pertama 2011
Seronoknya perasaan saya menulis berkenaan kreativiti dan inovasi dalam p&p yang pertama untuk tahun 2011 yang secara kebetulannya merupakan artikel yang ke-11 dalam siri penulisan bertajuk 'Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P'. Minggu pertama persekolahan, seperti tahun-tahun lepas merupakan minggu yang sangat sibuk. Hampir setiap hari pihak pentadbiran serta guru-guru perlu melayan murid-murid dan ibu bapa berkenaan rayuan menukar kelas, menukar aliran dan macam-macam permintaan dari bantuan kewangan ke bantuan menukar sekolah. Semua ini tidak menjadi bahan perbincangan saya dalam artikel ini.

Saya lebih suka mengkongsi sedikit pemikiran saya yang berkaitan dengan kelas-kelas yang saya mengajar dalam minggu yang pertama. Murid-murid yang saya berinteraksi merupakan antara yang paling cemerlang (akademik) sekolah saya. Antara perkara yang saya bangkitkan ialah hubungan antara kemajuan masyarakat dengan kemajuan sains dan teknologi, kepentingan inovasi dan kreativiti sebagai bahan api jentera pemajuan negara, sikap dan pemikiran yang sepatut ada pada murid-murid abad ke-21. Saya juga membangkitkan tentang  pola kecenderungan respons murid-murid terhadap umur, yang lebih merupakan satu graf eksponen negatif (lihat rajah di sebelah) dan menegaskan kepentingan pemikiran kritis dan kreatif di dalam bilik darjah. Saya juga sentuh sedikit tentang hubungan antara subsidi dan harga barangan harian dan mengapa kenaikan harga sesetengah barangan asas merupakan keperluan untuk pembangunan ekonomi negara. Berkenan perbezaan antara pembekal teknologi dan pembekal tenaga manusia, ramai murid mungkin tidak percaya pada awalnya, kepada cadangan saya bahawa Kluang boleh menjadi tapak pembinaan kapal terbang Boeing 747. Tetapi, apabila saya menyatakan bahawa sebarang negara, dari yang paling maju ke yang paling mundur, boleh menghasilkan produk teknologi yang canggih asal pengasas atau pembekal teknologi berkenaan sudi membina kilang dan membawa teknologi itu serta pakar-pakar mereka ke tempat itu dan pihak berkuasa tempatan hanya membekalkan tenaga buruh sahaja, murid-murid menjadi lebih yakin kepada kenyataan saya tentang kilang Boeing itu. Dari sains saya alih ke seni, dengan kisah riwayat Vincent van Gogh, seorang pelukis Belanda yang menjadi pengasas kepada gerakan 'Impressionist' di Eropah pada hujung abad ke-19, untuk menjadikan contoh bagaimana masyarakat yang selesa dengan tradisi dan keadaan 'status quo' menolak pemikiran yang baru........

Sambil saya membincangkan perkara-perkara di atas, secara spontannya, muncul dalam pemikiran saya--Adakah perkara-perkara yang saya bangkitkan itu terlalu dalam untuk kefahaman murid? Adakah skop saya terlalu luas, khasnya apabila saya mengemukakan contoh-contoh dan fakta-fakta yang mereka tidak didedahkan oleh sebarang sukatan yang mereka melalui setakat ini? Adakah isu-isu yang saya bangkitkan itu terlalu matang untuk umur mereka? Patutkah saya membincang, kadang-kadang dengan ayat berlapis-lapis, dengan hujah-hujah yang mungkin boleh mengelirukan minda-minda yang muda dan masih 'simple' lagi, perkara-perkara yang masih tidak sangat berkenaan dengan kehidupan mereka? Tetapi, apabila saya membuat refleksi hujung minggu ketika berkesempatan untuk menenangkan minda diri, saya berasa gembira dan puas hati tentang sesi pengajaran dan pembelajaran saya dalam minggu pertama tahun 2011. Mengapa? Bukankah kita sedang dalam usaha menyemaikan budaya pemikiran seperti dalam 'Thinking School'? Kalau kita sentiasa memudahkan perkara, kita memudahkan sukatan, kita mengurangkan tahap kesukaran kiraan atau matematik, kita menanya soalan-soalan aras rendah (LOTS) kerana bimbang murid-murid tidak faham soalan-soalan beraras tinggi (HOTS), kita lebih bimbang untuk membebankan pemikiran mereka, kita takut mereka tak faham atau diri kita tidak difahami, bilakah  dapat mereka dilatih pemikiran yang lebih kompleks? Apa lagi murid-murid yang saya hadapi ini adalah antara yang paling cemerlang di sekolah. Apa kata, pada keesokan hari, murid-murid seperti ini, dengan keputusan peperiksaan awam yang begitu cemerlang, gagal dalam temuduga kerana tidak dapat menjawab soalan-soalan yang tidak terkandung dalam sukatan pelajaran yang mereka telah lalui? Salah siapa? Apa kata pada suatu hari nanti orang-orang seperti ini menjadi doktor, jurutera, akauntan, peguam, juru teknik tetapi bukan saintis yang mampu membuat inovasi atau mencipta sesuatu? Bukankah pemimpin kita mengingatkan kita bahawa untuk menganjakkan negara kita ke status negara maju, kita tidak boleh menjadi pengguna teknologi orang lain sahaja tetapi harus juga menjadi pencipta teknologi? Cabaran itu adalah terlalu besar? Susah sangat? Balik-balik ke jerat yang sama--Apa maksud itu? Cuba fikir. Saya cuma 'Thinking Allowed' sahaja.




Sunday, January 2, 2011

Cabaran Pembukaan Sekolah

Ada yang gembira, ada yang bimbang, ada yang keliru, ada yang takut, ada yang kebal, ada yang tanya 'Esok sekolah buka?'.... Macam-macam respons terhadap pembukaan sekolah pada 3-1-2011. Mengapa ada pelbagai respons yang berlainan?
  • Ada yang gembira kerana anak-anak tidak akan kacau-kacau lagi di rumah. Atau, sekurang-kurangnya sekolah adalah lebih baik dari pusat permainan komputer, rayau-rayau di kompleks beli-belah atau lebih teruk lagi.....
  • Ada yang bimbang kerana walau dah usaha membuat persediaan yang rapi, tiada jaminan 100% bersedia melalui kaca mata pegawai-pegawai dari daerah, negeri atau langit yang akan menjunam ke dalam sekolah-sekolah esok.
  • Ada yang keliru kerana jaga sentiasa hilangkan diri dan barangan di depan pondok jaga pun dicuri.
  • Ada yang takut kerana asyik rasa kerja persediaan macam belum sempurna lagi.
  • Ada yang sudah kebal. Buka bukalah, apa susah-susah (maaf bahasa pasar).
  • Ada yang tanya 'Betulkah sekolah buka esok?' Hari ini ada apa-apa pertandingankah?
Walau apa jenis respons pun, saya suka kongsi sedikit bacaan saya dari buku 'Imitation is Limitation' oleh John Mason. Beliau menulis 'Yes! Edison was afraid of dark--yet he overcame that obstacle in a big way and invented the light bulb'. Apa yang boleh dipelajari ialah pada banyak masanya sedikit perasaan bimbang, takut dan keliru adalah baik dan produktif jika perasaan seperti ini mendorong kita mencari penambahbaikan. Yang tidak baik ialah jika perasaan seperti ini membekukan minda kita. Kalau Edison takut gelap dan selama-lama mempunyai fobia gelap tanpa usaha untuk mencari cahaya, beliau tidak akan menciptakan lampu. Samuel Glover kata: 'Circumstances are the rulers of the weak; but they are the instruments of the wise.'

Dengan itu, saya berharap rakan-rakan yang berkhidmat di sekolah menjadi seperti Edison dan mencipta pelbagai jenis lampu di tempat-tempat yang gelap atau kurang terang. Selamat bersedia menghadapi pembukaan sekolah   :-)  

Saturday, January 1, 2011

Mahu, Mahu, Mahu, Mahu

Apa ini? Tajuk yang begitu anih? Sahaja untuk bergurau sempena penulisan yang pertama dalam tahun yang baru. Sebenarnya tajuk ini bukan sebarang yang suka-suka. Ia adalah terjemahan daripada 'Want, Want, Want, Want' yang sama bunyi dengan 'One, One, One, One' atau '1111'. Tarikh hari ini, kita hanya jumpa sekali dalam kehidupan kita-1.1.11 !

Sesuai juga sambil kita renung balik apa yang telah kita buat pada tahun 2010 dan kita berfikir apa yang kita mahu buat pada tahun 2011. Tahun 2011 pasti satu tahun yang mencabar. Tahun inilah menjadi tahun pelaksanaan banyak dasar baru yang memerlukan kerjasama, komitmen dan kompetensi untuk mencapai objektif yang digariskan. Sebagai pelaksana dasar-dasar pendidikan hasrat-hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) harus difahami oleh semua lapisan pelaksana di akar umbi. Berikut merupakan ringkasan yang dipetik dari siaran KPM.

Usaha membangunkan modal insan perlu dibuat secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu sains, teknologi dan keusahawanan, pembudayaan sikap progresif, pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi. Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020. Modal insan yang ingin dihasilkan perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah. (Sumber: KPM)

Di samping itu, kita harus berusaha untuk membudayakan pemikiran inovatif dan kreatif. Kita semua diingatkan oleh tokoh yang tidak kurang daripada pemimpin utama kita. YAB PM kita menegaskan bahawa inovasi dan kreativiti milik semua, bukan untuk cerdik pandai sahaja. YAB juga menerangkan bahawa dalam menghala ke arah model ekonomi baru yang berpaksikan pengetahuan dan inovasi, hanya negara yang mempunyai perisian intelek dan berteknologi canggih serta terkini dapat berada di barisan hadapan dalam perlumbaan mengejar kemajuan. Bukti-bukti jelas menunjukkan bahawa kunci kepada kejayaan negara maju adalah inovasi dan kreativiti.(YAB PM Malaysia)

Kepada yang kata semua itu konsep besar, abstrak dan tak realistik, mereka boleh difahami sebab itu juga respons (agaknya) orang ramai kepada orang yang pertama memikirkan cara menyeberangi sungai dengan bantuan sebatang kayu balak.





Friday, December 31, 2010

Sedikit Berkenaan Kecemerlangan

Post ini adalah yang terakhir untuk tahun ini. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan rakan-rakan pembaca SELAMAT TAHUN BARU dan semoga tahun 2011, kita semua lebih berfokus, lebih bijak membuat keputusan dan lebih berjaya dalam kehidupan. Hari ini saya ingin menyentuh sedikit tentang kecemerlangan selepas mendengar isu ini hangat dibahaskan dipelbagai peringkat. Kali ini saya hanya menumpukan perbincangan saya kepada guru yang cemerlang.

Seorang guru yang cemerlang tidak semestinya seorang guru cemerlang. Sebaliknya pun mungkin. Satu soalan yang boleh ditanya di sini ialah: Yang mana satu adalah lebih benar: Seorang guru yang cemerlang mencemerlangkan sekolah, atau, sekolah yang mencemerlangkan seorang guru? Kalau mengikut kaedah perbincangan saintifik, adakah kecemerlangan seseorang guru itu satu pembolehubah yang bersandar kepada ekosistem sekolah yang dihasilkan oleh gabungan faktor-faktor seperti kepimpinan ketua, suasana fizikal sekolah, persekitaran, sosio-ekonomi ibu bapa, elemen pemuafakatan, budaya dan etika kerja. Atau, faktor kecemerlangan seorang guru adalah satu pembolehubah yang tak bersandar (independent variable) yang tetap tidak berubah tidak kira apa keadaan sekitar atau ekosistem beliau berada?

Perkara ini harus difikir sedalam-dalamnya dan dikaitkan dengan isu-isu yang saya senaraikan di bawah. Isu-isu ini masih tidak eksklusif lagi.
  1. Adakah benar sesetengah sekolah amat kurang guru yang cemerlang kerana memang sekolah itu dibekalkan dengan guru-guru yang kurang bermutu berbanding dengan sekolah yang mempunyai ramai guru yang cemerlang? Setakat saya tahu, penempatan seseorang guru itu tidak merujuk kepada kecemerlangan beliau, hanya mengikut opsyen dan keperluan sekolah.
  2. Adakah patutnya sekolah yang mempunyai ramai guru yang cemerlang mengkongsi dengan sekolah lain sama ada dipinjam atau dipindahkan? Kalau mengikut (1), semua sekolah ada guru yang berpotensi untuk cemerlang. 
  3. Kalau sekolah masing-masing tidak mewujudkan ekosistem yang membolehkan guru-guru mengembangkan potensi mereka untuk menjadi cemerlang, adakah adilnya, sekolah lain yang ada usaha melatih, membimbing dan menggalakkan guru-guru menjadi cemerlang itu didenda dengan kehilangan guru-guru seperti ini kepada sekolah yang kurang usaha ke arah itu?
  4. Jika kecemerlangan seseorang guru adalah bersandar kepada ekosistem asal, apakah yang menjamin beliau terus usaha dalam ekosistem yang kurang subur? Mungkinkah ini mengakibatkan situasi kalah-kalah atau rugi-rugi?
  5. Bukankah baiknya, sekolah yang ingin memperoleh ramai guru yang cemerlang berusaha untuk menyemai guru-guru sendiri supaya menjadi cemerlang? Bukankah baiknya, kita suburkan tanah di kebun sendiri supaya pokok-pokok di taman kita menghasilkan buah yang manis daripada membazir terlalu banyak masa cuba memetik buah-buahan yang manis ditanam oleh jiran?


Sedikit Berkenaan Hari Ini

Telefon bunyi tak berhenti-henti
Tanya esok cuti atau tak cuti
Anak-anak nak daftarkan diri
Asal yakin s'krang tak pasti

Dengan hati yang berkobar-kobar
Dari rendah hijrah ke menengah
Menunggu hari tak sabar-sabar
Pengumuman cuti agak mencabar

Jawapan telefon tak berhenti-henti
Sila datang esok pagi
Tak peduli cuti atau tak cuti
Tetap mesra  kami layani

Sambil pandu sambil berfikir
Anak-anak tak akan tercicir
Ibu bapa tak perlu kuatir
Esok pagi kami akan hadir

Zoooooom................
Mat Rempit tak kenal mati
Menakutkan apek yang berjalan kaki
Apek tak berhenti memaki-maki
'Ingat handalkah motor Suzuki!'

(Penulisan ini dimulakan pada 30-12-2010 tetapi tamat pada 31-12-2010. Oleh itu 'Hari Ini' bermaksud hari Khamis, 30-12-2010. Sahaja 'Thinking Allowed'. Tiada siapa pun patut naik marah.)




Monday, December 27, 2010

Masalah Sikap

Saya tak faham mengapa pekerja yang membuang sampah dari tong sampah ini tidak boleh meletakkan tong itu balik ke tempat yang asal. Adakah tenaga atau masa dijimatkan dengan melemparkan tong ini di atas jalan raya sebegini? Mengapa tidak berfikir tentang keselamatan orang lain? Apa kata jika ada penunggang motorsikal atau basikal yang terlanggar halangan yang tidak sepatutnya diletakkan di situ? Ini semua berasas daripada masalah SIKAP. SIKAP seperti ini yang boleh mengkongkongkan rakyat Malaysia ke dalam mentaliti dunia ketiga.

Jangan tanya ini hasil kerja siapa atau kontraktor yang mana satu. Saya cuma boleh maklumkan peristiwa ini berlaku di Jalan 24, Taman Delima, Kluang. Mungkin peristiwa seperti juga berlaku di Jalan....., Jalan....., Jalan..... dan Jalan........


Saturday, December 25, 2010

'Chalk-n-talk'

Banyak telah dibahaskan tentang 'chalk-n-talk' dalam bilik darjah. Kadang-kadang perbahasan (atau perbincangan) adalah sedemikian seolah-olahnya 'chalk-n-talk' adalah sesuatu yang salah atau sekurang-kurangnya sesuatu yang tak betul. (Secara kritikalnya, istilah 'salah' dan 'tak betul' adalah berlainan. Setujukah anda?)

Kalau 'chalk-n-talk' adalah salah, mengapa setiap kelas masih dibekalkan dengan papan hitam dan guru-guru dibekalkan dengan kapur (chalk)? Jangan kata sesetengah kelas tiada papan hitam dan kapur tidak digunakan-papan putih dan 'whiteboard marker' juga sama. Cuma, elakkan 'chalk-n-talk only'. Elakkan juga 'chalk-n-chalk' (tulis sahaja, tak cakap pun); 'talk-n-talk' (cakap sahaja, tak tulis pun); 'no chalk no talk' (masuk, duduk sahaja, apa pun tak buat).

'Chalk-n-talk' masih penting dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi harus diintegrasikan dengan kaedah lain yang mungkin melibatkan multimedia juga untuk menarik perhatian dan minat murid-murid. Suka tak suka, tidak dapat dinafikan bahawa dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran (melainkan di makmal atau bengkel), sebahagian besar masa diperuntukkan untuk 'chalk-n-talk'.

Saya dapati bahawa kemahiran menggunakan papan hitam dan kapur jarang dibincangkan. Sebenarnya jika kapur boleh digunakan dengan efektif, terdapat banyak faedahnya. Hari ini ialah hari cuti perayaan Kristmas dan saya mengambil kesempatan ini untuk pergi ke sebuah 'hypermarket' untuk membeli-belah. Perhatian saya tertarik kepada beberapa paparan lukisan dan penulisan yang dihasilkan dengan penggunaan kapor pelbagai warna di atas papan-papan hitam. Walaupun setakat menggunakan kapor berwarna dan papan hitam yang biasa, hasil karya sungguh menarik. Barangkali guru-guru boleh meneliti hasil-hasil karya tersebut, membandingkan dengan hasil-hasil diri di atas papan hitam kelas dan membuat satu keputusan sama ada terdapat sesuatu yang boleh dipelajari dari paparan-paparan 'hypermarket' itu.

Berkenaan penggunaan kapur kalau stok kapur putih cepat habis tetapi stok kapur warna tak habis-habis, kemungkinan besar guru-guru jarang menggunakan kapur selain daripada kapur putih. Kalau begitu, jangan salahkan murid-murid jika mereka cepat bosan. Dunia mereka berwarna-warni dan mereka sangat benci (harap tidak dituduh membuat generalisasi tanpa sokongan data) alam hitam (papan hitam) dan putih (kapur putih). Apa lagi, dengan dos pekat-pekat ubat tidur dalam bentuk tulisan yang susah dibaca, berwarna putih, macam cakar ayam dan tanpa ilustrasi.

Apa kata jika terdapat bengkel tentang kemahiran menggunakan kapur berwarna dengan berkesan? Jangan ketawa, bengkel seperti ini kalau dapat dijalankan dengan betul-betul boleh mendatangkan jauh lebih manfaat daripada kursus-kursus yang 'berglamour' tetapi dengan amat sedikit nilai tambah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Perhatikan gambar-gambar di sebelah kanan. Tujuan paparan-paparan itu adalah untuk menarik perhatian pelanggan untuk membeli item-item yang diiklankan. Sudah pasti lukisan dan tulisan yang berwarna-warni lebih mudah menarik perhatian pelanggan. Begitu juga, tulisan dan lukisan di atas papan hitam di dalam bilik darjah harus berkreatif dan inovatif untuk menarik perhatian murid-murid (pelanggan). Jangan anggap murid-murid di dalam kelas adalah berlainan dengan pelanggan-pelanggan di sebuah 'hypermarket' dengan memberi sebab murid-murid adalah 'captive audience' yang tidak ada pilihan manakala pelanggan-pelanggan di dalam 'hypermarket' mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan. Murid-murid hanya di'tawan' secara fizikal tetapi minda mereka tetap bebas seperti pelanggan-pelanggan di 'hypermarket'. Oleh itu konsep iklan untuk menarik pelanggan tetap sama tidak kira di bilik darjah atau di 'hypermarket'. Saya tahu bahawa ada guru yang akan kata kalau hendak melukis seperti gambar-gambar itu, sukatan pelajaran tidak akan habis diajar. Betulkah? Bukankah itu jawapan standard untuk cadangan-cadangan seperti berikut?

  • Menggunakan alat bantu mengajar.
  • Menggunakan ICT dan multimedia.
  • Menggalakkan 'hands-on' waktu pengajaran dan pembelajaran.
  • Menggunakan simulasi, main peranan, perbincangan berkumpulan,.....
Chorus: SUKATAN TAK HABIS.....SUKATAN TAK HABIS.....SUKATAN TAK HABIS.......Cerita pun habis.


Sahaja 'Thinking Allowed' sempena cuti Kristmas ini. Jangan marah dan 'MERRY CHRISTMAS'.






   




Tuesday, December 14, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 10

Soalan HOTS, jawapan tak HOTS

Murid-murid dapat belajar berfikir dalam suasana yang membenarkan mereka membincang dengan penuh minat dan keyakinan isu-isu penting, dengan mengambil kira pelbagai perspektif, membentukkan pandangan diri dari maklumat-maklumat yang diperoleh dan berkomunikasi secara berkesan pandangan itu kepada pihak yang berkenaan.

Cabaran guru yang paling besar adalah bagaimana mewujudkan suasana ini. Walaupun begitu, pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang sebegini amat menghasil dan mendatangkan keseronokan kepada murid dan juga guru. Untuk melatih murid-murid kemahiran berfikir, mereka perlu berani dan selesa untuk mengambil risiko walaupun ini bermaksud kegagalan kadang-kala. Pembelajaran berasaskan projek di mana murid-murid dapat melatih otot-otot otak menyelesaikan masalah yang sebenar akan mengukuhkan rangka pembentukan kemahiran berfikir.

Soalan-soalan daripada guru memainkan peranan yang penting dalam membudayakan sebuah ‘thinking classroom’. Guru-guru digalakkan menanya lebih banyak soalan yang melibatkan HOTS (higher order thinking skills) yang menggunakan ‘mengapa’ dan ‘bagaimana’ dan kurangkan soalan LOTS (lower order thinking skills) yang menggunakan ‘apa’ dan ‘bila’.

Walau bagaimanapun, jawapan kepada soalan-soalan HOTS tidak semestinya meningkatkan kebolehan murid-murid untuk berfikir. Walaupun soalan HOTS boleh mendorong pemikiran yang lebih mendalam, tetapi jika murid-murid mempunyai tabiat untuk meneka jawapan tanpa meneliti soalan itu dan cepat menjawab tanpa mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan kejadian sesuatu perkara yang disoalkan itu, dia akan terus mengamalkan pola pemikiran cetek. Oleh itu, guru yang menanya soalan ini perlu mencabar murid-murid yang memberi jawapan yang tergesa-gesa dan ada kala yang kurang bertanggungjawab dengan soalan-soalan lanjutan seperti: Bagaimana anda dapat jawapan itu? Apakah sebab-sebab anda menjawab begini? Dari mana anda memperoleh maklumat untuk jawapan anda itu? Apakah yang pandangan anda selanjutnya berkenaan....? Melalui soalan-soalan lanjutan ini, murid-murid didorong untuk memberi jawapan yang lebih bertanggungjawab dengan akauntabiliti yang lebih tinggi. Mereka juga perlu berfikir dengan lebih mendalam. Jika usaha dan amalan ini boleh dijadikan satu budaya di dalam bilik darjah, hala tuju ke ‘thinking classroom’ adalah lebih terjamin.

Friday, December 10, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 9

Lower Order Thinking Skills versus Higher Order Thinking Skills
(LOTS vs HOTS)



Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 8

Antara Pembunuh Kreativiti dan Inovasi
 

Tuesday, November 30, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 7

Terdapat banyak takrifan kepada istilah kreativiti dan inovasi. Kadang-kadang kita dengar perbahasan tentang apa itu kreativiti dan apa itu inovasi dan apa perbezaan antara dua istilah itu tanpa kesimpulan yang jelas. Secara kasarnya, kreativiti boleh difahami dengan kebolehan untuk menghasilkan idea yang baru dan berguna. Kreativiti juga merangkumi kebolehan untuk mencantumkan dua atau lebih idea atau perkara yang nampaknya macam tidak berkaitan untuk menghasilkan sesuatu yang berguna. Kreativiti juga berkaitan dengan  pemikiran yang berlainan untuk menghasilkan bahan yang lebih baik, proses yang lebih cepat dan kos yang lebih rendah.

Ciptaan dan inovasi merupakan manifestasi amalan praktikal idea-idea kreatif. Sebagai contoh, idea yang kreatif berkenaan keperluan satu sistem amaran untuk mengingatkan pemandu kereta untuk memakai tali pinggang keledar dan aplikasi teknologi elektronik membolehkan idea kreatif itu untuk menghasilkan inovasi sistem lampu dan bunyi amaran yang diaktifkan secara automatik jika seorang pemandu itu menghidupkan enjin kereta tanpa memakai tali pinggang keledar.

Untuk mencipta sesuatu, seseorang perlu daya imaginasi yang tinggi, pemikiran yang analitik, maklumat yang cukup, keberanian untuk melepaskan dari skema pemikiran tradisi dan sudi mencabar prosedur yang stereotaip. Kreativiti jelas dinampak pada kanak-kanak. Kita tidak menjadikan kanak-kanak itu kreatif kerana mereka pada semulajadinya adalah kreatif. Sebaliknya, kita yang beransur-ansur menjadikan mereka semakin kurang kreatif. Kita harus menerima hakikat ini dan berusaha untuk mengurangkan halangan-halangan kreativiti jika kita benar-benar serius untuk mempromosikan kreativiti dalam 'thinking classroom'. Sumbangan yang paling besar kalangan guru dan ibu bapa  dalam perkembangan kreativiti kanak-kanak ialah dengan mewujudkan satu suasana atau ekosistem yang selamat dan bebas untuk meneroka, mencipta dan MEMBUAT KESILAPAN. Sering kali seorang kanak-kanak terikat pada kesedaran diri melalui proses berterusan tentang perbuatan 'sepatutnya' dan 'tidak sepatutnya' yang dikuatkuasakan oleh pelbagai daya sosial, budaya, tradisi, peraturan dan panduan yang tidak lari daripada pengukuhan yang positif atau negatif, sama ada eksplisit atau tidak eksplisit (dalam bentuk pujian, teguran, ganjaran material, hukuman atau peringatan tentang keperluan untuk 'masuk ke dalam barisan'). Masih ingat cartoon di sebelah? Sistem pendidikan yang terlampau menegaskan ganjaran dan hukuman akan memperlahankan perkembangan kreativiti di kalangan murid-murid.

Kreativiti juga tidak seharusnya diukur oleh insiden-insiden terpencil. Sebagai contoh, satu pasukan rekacipta sekolah yang memenangi pertandingan walau sehingga ke peringkat antarabangsa pun tidak semestinya menunjukkan budaya sekolah yang kreatif. Kadang-kadang insiden seperti ini boleh disebabkan oleh faktor-faktor luar seperti : kebetulan seorang murid yang berkenaan itu mempunyai seorang bapa yang memang kreatif dan juga seorang pencipta; mungkin sekolah itu 'mengkontrakkan' kerja rekacipta itu kepada orang luar, bekas murid yang sekarang menjadi jurutera dan lain-lain. Malangnya perkara seperti ini terus berlaku kerana terdapat penilai-penilai yang kurang kritikal. (Ini bukan bermaksud 'tak dapat makan anggur kata anggur masam'.) Baik berhenti di sini untuk disambung kemudian sebelum saya terlari terlalu jauh dari topik asal.

Monday, November 29, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 6

Saya simpan kartun ini tak kurang daripada 10 tahun dan dalam beberapa ketika telah menggunakannya dalam ceramah saya. Apa yang menarik minat saya ialah mesej yang disampaikan amat relevan dengan keadaan sebenar di banyak bilik darjah. Budak dalam kartun itu sebenarnya bukan tidak pandai jika kita menilai alasan yang diberi olehnya ketika tidak dapat menjawab soalan matematik yang diberi. Mungkin kecenderungan budak itu bukan pada matematik-logik. Mungkin guru budak itu tidak mahir merangsangkan minatnya untuk belajar matematik. Jika dilihat dari sudut yang positif, budak ini agak kreatif.  Siapa tahu dia mungkin akan menjadi seorang jurujual (salesman) yang berjaya? Oleh itu, kita tidak harus melabelkan budak ini berkebolehan rendah.

Mengapa kebanyakan murid kurang kreatif jika diperhatikan dari beberapa aspek yang antaranya,
  • kurang rela memberi jawapan?
  • takut menjawab atau memberi pandangan?
  • pasif dan lebih cenderung kepada memberi jawapan berasaskan LOTS (lower order thinking skills)?
  • suka menjadi neutral atau tidak ingin melibatkan diri sama ada dalam menjawab atau perbincangan?
  • kurang mahir untuk memberi pandangan yang luar dari norma/biasa?
  • aktif menjawab semasa kecil tetapi semakin pasif apabila umur semakin meningkat? 
Jawapannya kurang jelas tetapi rajah di sebelah mungkin boleh mendorongkan kita membuat refleksi bersama-adakah kita telah mewujudkan terlalu banyak peraturan dan secara sedar atau tidak sedar beransur-ansur membunuh kreativiti murid-murid?

Sunday, November 28, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 5

1. Lat lagi : Isu patriotisme. Sila bincang.
  • Adakah bendera itu menjadi seorang lebih patriotik?
  • Adakah bendera itu menjadikan pemandu itu kurang salah?
  • Bolehkah faktor bendera itu diambil kira dalam pertimbangan keberatan pelanggaran undang-undang seperti terlampau berat atau terlampau banyak asap hitam dikeluarkan?
  • Yang mana satu lebih patriotik-Mengkibar bendera atau mematuhi undang-undang?
2. Akauntabiliti dan tanggungjawab: Apabila sesuatu usaha itu berjaya, ramai akan berkejar-kejar ke depan untuk menuntut pengiktirafan sumbang diri kepada kejayaan itu. Tetapi, apabila sesuatu usaha itu tidak berjaya, ramai juga akan berkejar-kejar untuk mencari mangsa untuk memikul tanggungjawab itu. Setuju tidak? Sila bincang.

Rakan-rakan sekalian, terdapat banyak grafik yang boleh anda pilih untuk digunakan di dalam bilik darjah. Sesiapa yang menyatakan tidak sesuai, buang masa, tak habis sukatan pelajaran hanya mencari alasan sahaja. Sekali lagi kenyataan saya tidak semestinya anda setujui. Saya cuma nak kata pengajaran dan pembelajaran bukan seperti mengisi tin dengan air. Kalau kita berjaya merangsangkan pemikiran murid-murid, kemungkinan besar mereka dapat belajar dengan lebih berkesan. Pernahkah rakan-rakan dengar kata 'Teach less, learn more'? (Jangan salah faham dan amalkan 'teach less' sahaja!)


Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 4

Anggap dan salah anggap : Itu sahaja tajuk yang diberi.

Minta respons daripada murid-murid selepas menunjukkan mereka gambar pertama. Selepas itu, tunjukkan gambar yang kedua dan minta respons daripada murid-murid tanpa merujuk kepada gambar yang pertama. Kemudian, minta murid-murid menggabungkan kedua-dua gambar itu untuk membuat sesuatu kesimpulan. Guru boleh membimbing mereka untuk mengaitkan perbincangan mereka dengan kehidupan harian dari segi anggapan, salah anggapan, membuat kesimpulan yang salah berasaskan anggapan yang sering dipengaruhi oleh norma masyarakat, kepercayaan yang salah dan sebagainya.

Kata-kata kunci sebagai panduan perbincangan (jika perlu sahaja):

Gambar 1:
  • Pemerhatian : Ada budak, ada girafa, ada sungai, budak melompat,....
  • Tahap yang lebih tinggi lagi : Air dalam (ada inferens terlibat), budak yakin (inferens dari cara budak itu melompat), giraf relaks-boleh dibahaskan,....
Gambar 2:
  • Pemerhatian: Budak cedera, giraf naik ke darat, kaki giraf pendek....
  • Tahap yang lebih tinggi lagi: Budak marah, giraf relaks, air cetek,....
Gabungan Gambar 1 dan 2:
  • Tahap yang lebih tinggi (Higher order thinking skills atau HOTS): Anggapan bahawa semua girafa berkaki panjang adalah salah. Anggapan yang salah itu menyebabkan kesimpulan yang salah berkenaan kedalaman air itu. Akibat daripada kesimpulan yang salah, perbuatan yang salah dilakukan (melompat). Akibat daripada perbuatan yang salah itu, kecederaan/kerugian ditimpai.
  • Tahap yang lebih tinggi lagi: Kaitkan perkara ini dengan perkara yang berlaku di sekitar kita. Contoh: a)Perbuatan yang tergesa-gesa tanpa kajian dan penyelidikan yang menyeluruh menyebabkan penggubalan dasar yang kurang sesuai. b)Melaksanakan sesuatu perkara berasaskan kayu ukur yang tidak norma boleh mendatangkan kesan yang buruk. c)Kesedaran selepas kesilapan kadang-kadang mendatangkan kerugian yang besar dari segi kehilangan wang, masa dan peluang. d)Dari 'hero' ke 'zero'. .....



Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 3

Tips untuk guru Sivik dan guru Bimbingan dan Kaunseling.

Guru Sivik : Tayangkan gambar ini. Jangan terangkan apa-apa. Minta murid-murid untuk menerangkan gambar ini sendiri sebelum mendatangkan kesimpulan. Boleh juga meminta murid-murid secara bergiliran-seorang kemukakan satu perkataan untuk mendiskripsikan gambar ini. Saya harap Lat tidak marah kerana saya menggunakan bahan beliau. Saya percaya Lat akan berasa gembira untuk mengetahui hasil karya beliau dapat membantu dalam 'thinking classroom'.

Guru Bimbingan dan Kaunseling : Boleh menggantungkan gambar ini di dalam Bilik Kaunseling. Saya percaya sebahagian daripada masalah murid-murid yang mendapat khidmat kaunseling akan selesai selepas melihat gambar ini. (Betul ke? Jangan lupa, jangan percaya sebegitu sahaja. Tetapi, jangan tolak terus. Boleh cuba, boleh eksperimen tanpa prejudis.) Ramai kanak-kanak hidup dalam zaman yang selesa, serba ada dan berada di alam manja sehingga mereka kurang biasa dengan cabaran dan kegagalan. Apa kata jika mereka disedarkan dengan realiti tentang kegagalan yang memang merupakan sebahagian wajib kepada sesiapa yang mencari kejayaan?

Dalam kelapangan yang dapat kita mencari, khasnya dalam cuti ini, rakan-rakan boleh mencari pelbagai bahan yang serupa yang tidak susah diperoleh dengan bantuan Internet dan mewujudkan satu 'Bank Multimedia' yang banyak membantu dalam kerjaya kita.


Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 2

Dalam ceramah saya yang bertajuk 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P' kepada guru-guru daripada program 'Guru Program Pelajar Cemerlang' saya telah menggunakan dua kartun seperti yang ditunjukkan di sebelah kanan sebagai permulaan subtopik untuk menyampaikan mesej satu perkara yang sering mengganggu fikiran saya. Saya tidak pasti mesej itu dapat dikomunikasikan dengan jelas atau tidak sewaktu ceramah itu.

Saya berfikir (kali ini 'Thinking Allowed') perkataan 'cemerlang' terlalu bebas digunakan, atau lebih tepat lagi, disalahgunakan. Kita ada pengetua cemerlang, guru cemerlang, murid cemerlang dan sekarang guru baru cemerlang. Kadang-kadang kita sesama diri bergurau-gurau jika satu hari terlalu banyak kategori cemerlang muncul dan terlalu 'liberal' digunakan, perkataan itu dengan sendirinya akan hilang erti sebenarnya. Pada ketika itu, yang tidak memakai label 'cemerlang' kan menjadi golongan yang gembira. Adakah gejala ini menyebabkan perkataan yang lebih dahsyat seperti 'gemilang' dan 'terbilang' muncul?

Dalam interaksi saya dengan golongan-golongan yang memakai gelaran 'cemerlang', ramai di kalangan mereka memang cemerlang dan layak memakai label ini. Akan tetapi,....... Oleh itu, melalui dua kartun ini, saya ingin menyampaikan beberapa pandangan untuk direnung bersama. Rakan-rakan tidak semestinya setuju. (Jangan lupa, untuk mempromosikan 'the thinking classroom', jangan memaksakan persetujuan bersama atau penerimaan fakta sebegitu sahaja tanpa perbahasan.)

Label 'cemerlang' merupakan satu pengiktirafan berasaskan rekod yang lepas dan harus dipertahankan dengan usaha yang lebih cemerlang lagi. Label ini tidak seharusnya dianggapkan semata-mata sebagai satu penganugerahan atau hasil daripada nasib yang baik seperti kena loteri. Label 'cemerlang' harus datang bersama dengan tanggungjawab dan komitmen kepada 'core business' yang digariskan. Kalau tidak, kita mungkin berlayar di lautan kecemerlangan, setakat berhanyut tetapi tanpa hala tuju yang jelas. Ada kala, dengan nasib yang baik, ombak dan angin membawa kita ke satu tempat di mana kita diperhatikan sebagai cemerlang tetapi pada kebanyakan masa, kita berapung-apung di lautan kecemerlangan dan menikmati hasil penganugerahan yang kita terima tanpa jelas sumbangan kita yang setimpal dengan label itu. Kita yakin dan pasti akan berhanyut kerana rakit yang kita terima itu kukuh dan tahan sehingga kita bersara. Kita mungkin boleh menghiaskan rakit kita supaya nampak seperti motorbot atau jentera moden yang canggih untuk memikat hati mereka yang kurang kritikal dan analitikal walaupun masih tidak mempunyai kompas,enjin dan kemudi.

Sebaliknya, kita harus mendaki gunung kegemilangan, yang curam dan berbatu keras. Kita tidak boleh berhanyut-hanyut di pertengahan gunung tetapi kita boleh mengakui kalah dan menurun ke tapak. Kalau tidak, kita perlu kemahiran yang sebenar untuk menarik diri ke puncak. Atau, kita boleh memberitahu diri kita, mengapa kita perlu bersusah payah kerana kita sudah puas dengan label 'cemerlang'...apa lagi, tidak perlu, belum wujud lagi, label 'gemilang'. Apa kata kalau esok ada label rasmi 'gemilang', mungkin kita akan kata belum wujud lagi label 'terbilang'.

Setakat ini, adakah penulisan saya berkaitan dengan 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P'? Ada kaitan dengan 'thinking classroom'? Ya, saya masih dalam perbincangan yang berkaitan dengan penggunaan kartun sebagai senjata dalam p&p. Kontroversi dan percangganan (contradiction) merupakan suasana yang subur untuk menggalakkan pemikiran inovasi dan kreativiti. Budaya inovasi dan kreativiti susah disemaikan di dalam ekosistem yang stereotaip, yang mementingkan 'form' daripada 'substance', yang mengutamakan 'label' daripada 'content', yang melonggokkan semua manusia seperti keluaran kilang (yang keluaran dari kilang pun ada yang cacat, yang tidak memenuhi kepiawaian....), yang menilai kilang intan dan kilang batu dengan kayu ukur yang sama.

Rakan-rakan boleh tidak bersetuju dengan pendapat saya, boleh setuju untuk tidak setuju (agree to disagree), boleh kemukakan pandangan diri yang mungkin banyak berlainan. Yang saya bimbang ialah ada orang yang (1) setuju 100% (2) tidak setuju 100% (3) marah kerana rasa tercabar (4) tak senang hati kerana saya sentuh tentang realiti walau pun sudah dijelaskan, dari sudut pandangan diri saya.....kerana, orang-orang ini tidak akan mempercepatkan pembudayaan 'the thinking classroom'. Setuju tidak? (Berhati-hati sebelum menjawab soalan ini.)  :-)




Saturday, November 27, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 1

Pada 24 November 2010 saya dijemput oleh Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Johor(JPNJ) untuk memberi sedikit input tentang 'The Thinking Classroom'. Saya sungguh gembira perkara ini dihidupkan semula dan berharap akan menjadi amalan yang lebih berkekalan di sekolah. Memandangkan perkara berkenaan dengan 'Thinking Classroom' sudah diberi nafas yang baru oleh pihak yang berkuasa, saya mengambil kesempatan ini untuk mengkongsi sedikit pengalaman saya berkenaan dengan topik ini.

Pada 12 Oktober, saya dijemput oleh Sektor Pengurusan Sekolah, JPNJ untuk melatih sekumpulan guru baru di La Bella Resort, Mersing. Tajuk saya ialah 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P'. Latihan ini merupakan sebahagian daripada program 'Guru Program Pelajar Cemerlang' dan peserta-peserta merupakan guru-guru baru yang pernah dihantar ke luar negeri untuk latihan khas. Saya ingin mengambil sedikit daripada kandungan kursus itu untuk diterbitkan di dalam blog ini. (Pihak PPD Mersing sebenarnya telah merakamkan sesi latihan selama hampir 5 jam itu. Setakat ini saya tidak terima sebarang berita tentang hasil rakaman itu. Mungkin sudah telah diserang oleh virus digital!)

Inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) adalah pemangkin kepada 'the thinking classroom'. Namun demikian, kejayaan pembudayaan 'thinking classroom' bukan hanya terletak di atas bahu guru. Kejayaannya amat bergantung kepada satu ekosistem sekolah dan dasar pendidikan yang kondusif. 

Penggunaan Kartun
Rakan-rakan saya tahu kartun merupakan satu senjata penting saya dalam p&p. Walaupun saya telah banyak menulis tentang penggunaan kartun, saya masih tidak puas hati kerana masih tidak ramai guru yang ingin meneroka potensi senjata ini. Kartun boleh digunakan untuk menyampaikan mesej yang memberi impak yang besar berbanding dengan penggunaan perkataan sahaja.
Lihat rajah di sebelah kanan dengan terliti. Apakah yang dapat anda pelajari dari gambar ini? Apakah mesej utama yang ingin disampaikan oleh gambar ini? Cuba buat sedikit refleksi: Kadang-kadang kita sibuk, menggerakkan banyak tenaga manusia, menggunakan banyak masa, wang dan resos untuk melakukan sesuatu yang kurang atau tidak menghasil. Bukankah gambar ini sesuai sebagai pencetus perbahasan tentang beberapa perkara yang berikut?
  • Lebih rajin tidak semestinya lebih output.
  • Lebih ramai tidak semestinya lebih baik.
  • Sibuk tidak semestinya menghasil.
  • ........


Kartun selanjutnya sesuai untuk melatih kemahiran berfikir dengan cara yang menyeronokkan. Mengapa Hagar menyatakan bahawa apa yang berada di dalam laut mestilah yang sangat besar dan lapar selepas melihat keadaan pengayuh sampan itu? Tayangkan gambar ini dan minta respons daripada murid-murid.

Lihat rajah yang ketiga di sebelah kanan. Mengapa minda dikatakan serupa dengan payung terjun? Sila bincang.

Bagaimana pula tentang kartun yang dilukiskan oleh Lat ini? Bolehkan murid-murid menulis ayat-ayat atau karangan pendek berasaskan gambar ini? Cuba terlitikan durian yang terletak di kanan sekali dalam gambar ini dan cuba bayangkan apa akan berlaku apabila pelanggan perempuan itu bertunduk untuk memilih durian. Saya pasti gambar ini dapat menarik minat kanak-kanak yang memang memiliki sifat kenakalan pada setiap mereka.
 
Akan disambung lagi...........