Sunday, May 15, 2011

'Burung'

Saya pernah menulis satu artikel bertajuk 'Form And Substance' dalam blog saya. Dalam artikel itu, saya menerangkan penulisan Richard Feynman berkenaan dengan pseudoscience, satu amalan yang dinyatakan sebagai sains tetapi tidak mematuhi kaedah sains yang sepatutnya, tidak dapat diuji benar secara saintifik dan mempunyai kebolehpercayaan yang rendah. Pagi ini, saya terbaca satu artikel yang hampir serupa berkenaan dengan amalan sekumpulan orang asli di sesuatu kawasan terpencil yang menyembah sejenis 'burung' yang besar, dengan badan yang licin dan kilat, terbang dengan cepat tanpa menggerakkan kepak, mempunyai kaki yang luar biasa dan mengeluarkan asap semasa terbang. Mereka tidak mengenali jenis burung itu. Itu tidak penting. Yang lebih penting, mereka tahu bahawa setiap kali burung itu bersinggah di satu kawasan yang lapang, mereka akan mendapat bekalan makanan yang percuma.

Satu masa kemudian, 'burung' itu tidak lagi terbang ke kawasan mereka. Dengan harapan untuk mendapat bekalan makanan percuma semula, penghuni-penghuni itu mula menggunakan bahan-bahan sekitar mereka seperti kayu, ranting dan daun untuk membina seekor 'burung' itu dan mula menyembah kepadanya. Mereka tetap tidak dapat makanan yang percuma seperti diharapkan. 

Apa kata jika penghuni-penghuni di atas diberi seekor 'burung' yang sebenar itu? Dapatkah mereka menikmati makanan yang percuma seperti dahulu?  Pasti tidak--kerana faktor kejayaan (maksud di sini ialah bekalan makanan yang percuma) tidak bergantung kepada 'burung' itu sahaja. Terdapat banyak faktor yang lain yang wajib untuk menentukan kejayaan itu. Selain pemandu 'burung' yang mahir, perlu juga staf sokongan yang memastikan terdapat satu kawasan yang lapang dan selamat untuk disinggah oleh 'burung' itu. Selain itu, perlu ada pembekal makanan secara percuma, sistem pengangkutan makanan yang cekap, pembantu-pembantu yang menilai, merekod, menganalisis dan melapor kesesuaian kuantiti dan kualiti makanan,  prestasi penghuni-penghuni yang menerima makanan, dan banyak lagi. Mana-mana satu faktor yang kurang akan menjejaskan pencapaian objektif yang diidam-idamkan.

Adakah rakan-rakan mendapati penulisan saya macam semakin kabur dan tidak jelas apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan? Minta maaf jika ada yang berfikiran begitu. Kini zaman yang kabur. Tak percaya, sila pandang ke arah langit.



Akademi(k) Fantasia

Pagi ini saya terbaca dalam surat khabar  Sunday Star (F28, 15 Mei 2011) tentang anugerah pendidikan untuk memberi motivasi kepada para guru dan meningkatkan keputusan murid-murid di sekolah. Saya bukan nak ulas tentang artikel ini atau membincang tentang detail skema ini. Saya cuma tertarik oleh kenyataan seorang guru besar yang menerima anugerah bersama sekolah dan guru-guru beliau. Beliau menyatakan bahawa kita sangat gemar memberi anugerah kepada pemenang-pemenang program realiti seperti Akademi Fantasia di mana juara-juara membawa balik beribu-ribu ringgit tetapi kurang sudi menghadiahkan guru-guru. Saya serah kepada pembaca untuk menilai sendiri sama ada setuju atau tidak tentang kenyataan tersebut. Saya berharap perbandingan antara seorang guru dan seorang peserta Akademi Fantasia  berhenti di situ sahaja sebab saya pasti semua peserta Akademi Fantasia dibekalkan dengan band muzik dan mikrofon yang sama. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana hakim dapat membuat keputusan dengan adil dan jitu jika peserta-peserta Akademi Fantasia masing-masing dibekalkan dengan mikrofon dan band muzik yang berlainan.





Monday, May 2, 2011

'Economy of Scale'

Pagi ini terbaca tentang satu penemuan baru di surat khabar The Star bertajuk 'Durian peel can help clear oil spills'. Perenggan pertama artikel itu : An oil spill at sea? No problem, just bring along some durians.
Nampaknya  ada di kalangan kita yang cerdik pandai berjaya menemui satu cara yang berkesan untuk menyerap minyak yang tertumpah barangkali oleh kapal minyak di laut dengan menggunakan kulit durian. Pernah juga saya terbaca pada satu masa dahulu tentang ahli-ahli sains kita yang berjaya memperoleh bahan api daripada kelapa sawit untuk menggerakkan enjin kereta. Macam pernah dengar juga kejayaan berkenaan dengan ekstrak daripada gamat untuk pelbagai kegunaan perubatan yang canggih. Mungkin tak lama lagi akan dengar lesung yang dibuat daripada intan yang sangat berkesan untuk menghaluskan sambal belacan kerana ciri kekerasan intan itu. Saya memang sangat berminat dengan segala kejayaan ini dan mungkin akan membeli hasil rekacipta tersebut. Dengan satu syarat: Saya tidak akan mampu mengisi tangki minyak kereta saya dengan minyak hasilan kelapa sawit kalau harganya ialah RM100 se liter.
Saya pasti lesung intan kalau betul-betul ada di pasaran dan mampu dibeli, pun perlu disimpan dengan selamat dan juga dibeli insuran nuntuk melindunginya dari kecurian dan sebarang malapetaka (kalau diterima oleh syarikat insurans). Walau apa pun sebarang usaha ke arah kemajuan sains dan teknologi adalah baik dan harus digalakkan. Cuma jangan berhenti di situ saha dan menjadi terlampau sibuk atau terperangkap dengan kemasyuran awalan sehingga terganggu usaha lanjutan untuk memikirkan tentang 'economy of scale', satu aspek yang penting juga dalam pemasaran sesuatu produk. Jangan marah. Saya tak kata tak bagus. Saya hanya kata jangan berhenti di situ sahaja. Jangan berhenti sebaik sahaja tesis diterima dan ijazah dianugerahkan.

Thursday, April 21, 2011

Pertandingan Silat Seni Daerah Kluang 2011--Satu Contoh 'BOS' (2)

























Kolaborasi antara Pejabat Pelajaran Daerah Kluang (PPDK) dengan pihak pengurusan Kluang Mall dalam melaksanakan aktiviti Pertandingan Silat Seni Daerah Kluang pada 19 dan 20 April 2011 merupakan satu kejayaan kepada kedua-dua pihak. Kita dapat mengkaji dengan lebih lanjut lagi kejayaan ini berdasarkan aspek-aspek tersenarai di dalam grid Hapuskan-Kurangkan-Tingkatkan-Ciptakan.
Hapuskan
Pada kebanyakan masa, sekolah kerajaan adalah terpencil dari masyarakat. Orang awam tidak mempunyai pemahaman yang cukup tentang apa yang sebenarnya berlaku di sekolah. Tambahan lagi dengan media-media massa yang sering menyiarkan isu-isu negatif seperti masalah disiplin di sekolah, keadaan ini mudah memberi satu persepsi yang negatif di kalang orang ramai tentang sekolah kerajaan. Aktiviti-aktiviti sekolah seperti pertandingan silat di pusat beli-belah dapat menanggalkan sempadan sekolah-masyarakat dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang pelbagai aktiviti sihat yang dijalankan di sekolah.
Pihak penganjur pertandingan tersebut harus dipuji kerana berani mencuba idea yang baru dengan ‘membawa sekolah ke masyarakat’ setelah menghapuskan mitos dan stereotaip di mana pertandingan mesti dijalankan di tempat yang spesifik seperti sekolah, gelanggang stadium dalaman atau dewan seperti yang berlaku pada masa-masa yang lepas.  
Kurangkan
Sudah pasti apabila pihak Kluang Mall dengan besar hatinya membenarkan kemudahan seperti ruang legar, sistem pembesar suara, pentas, lampu-lampu, penyaman udara dan perabot digunakan untuk pertandingan tersebut, semuanya secara percuma, perbelanjaan untuk menguruskan pertandingan itu telah dikurangkan dengan banyak. Kemudahan fizikal Kluang Mall yang lengkap, kemudahan untuk membeli makanan dan minuman dan lokasi yang mudah di akses oleh pelbagai jenis pengangkutan telah mengurangkan banyak masalah logistik yang biasa dihadapi pada masa-masa yang lepas. Juga, dengan memindahkan pertandingan keluar dari sekolah, masalah gangguan pengajaran dan pembelajaran dapat dikurangkan. Tambahan lagi pertandingan di pusat beli-belah yang merupakan satu amalan yang baru dan segar dapat mengurangkan kebosanan para peserta.
Tingkatkan
Kerjasama antara sekolah dan pihak swasta dapat ditingkatkan melalui aktiviti ini. Selain daripada meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sekolah, pertandingan ini juga membuka peluang untuk kaum-kaum yang bukan Melayu untuk memahami satu tradisi penting orang Melayu. Sudah pasti jika pertandingan silat dijalankan di sekolah orang ramai, khasnya, dari kaum yang bukan Melayu tidak berpeluang untuk menyaksinya. Suasana pertandingan di pusat beli-belah adalah lebih kondusif berbanding dengan sekolah kerana sistem penyaman udara, alatan pembesar suara, sistem cahaya dan tempat duduk penonton yang bertahap profesional sedia ada di situ. Mengadakan aktiviti di tempat orang ramai juga dapat melatih meningkatkan keyakinan serta keberanian para perserta yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah dan menengah. Perkara ini dapat membantu sekolah dalam usaha meningkatkan ketrampilan dan kemahiran lembut (soft skills) murid-murid.
Ciptakan
Kolaborasi ini telah melahirkan satu simbiosis di mana saling membantu antara institusi pendidikan kerajaan dengan pihak swasta telah menguntungkan kedua-dua pihak berkenaan. Usaha ini juga dapat menarik penonton yang tidak terancang. Maksud penonton yang tidak terancang ialah penonton yang sebenarnya bukan menghadiri diri untuk tujuan menyaksikan pertandingan itu. Mereka secara kebetulannya berada di sana untuk membeli-belah dan tertarik oleh pertandingan itu. Kumpulan orang ini juga termasuk pelancong yang sedang berada pada ketika itu. Konsep pendidikan tanpa sempadan yang dilahirkan oleh usaha pentandingan dalam pentas terbuka merupakan satu langkah yang inovatif dan positif ke arah memartabatkan sekolah kerajaan. Di samping itu, usaha ini membuka ruang dan peluang untuk promosi dua hala di mana sekolah dapat mempromosikan aktiviti-aktiviti dalam sistem pendidikan kerajaan kepada orang ramai dan pihak swasta dapat mempromosikan perniagaan mereka.



Wednesday, April 20, 2011

Pertandingan Silat Seni Daerah Kluang 2011--Satu Contoh 'BOS' (1)

Hari ini saya dijemput untuk menyaksikan Pertandingan Silat Seni Daerah Kluang di Ruang Legar Kluang Mall. Saya perhatikan bahawa pertandingan ini boleh dijadikan satu contoh yang baik yang bercirikan 'Blue Ocean Strategy' (BOS). Pertandingan ini memenuhi kedua-dua syarat meningkatkan nilai dan menurunkan kos secara serentak, yang dikenali sebagai inovasi nilai dan menjadi asas BOS.
Saya mewakili hujah saya dalam grid Hapuskan-Kurangkan-Tingkatkan-Ciptakan dan mewakili beberapa dari aspek-aspek itu dalam sebuah kanvas strategi.
Sememangnya kolaborasi di antara Pejabat Pelajaran Daerah Kluang (PPDK) dengan pihak pengurusan Kluang Mall merupakan satu inovasi menang-menang yang menguntungkan kedua-dua pihak. PPDK yang mendapat sebuah venue yang begitu kondusif untuk pertandingan silat secara percuma dan pihak pengurusan Kluang Mall juga beruntung dari segi penambahan bilangan pelanggan ke pusat beli-belah itu dari kalangan peserta, pengelola, ibu bapa dan orang-orang awam yang dapat menonton secara percuma. Saya akan sambung dalam artikel yang selanjutnya dengan penerangan yang lebih detail aspek-aspek dalam grid Hapuskan-Kurangkan-Tingkatkan-Ciptakan.



Sunday, April 17, 2011

Telur Asli Lawan Telur Tiruan

Beberapa minggu yang lalu berita telur tiruan yang dijual di Malaysia hampir setanding hebat dengan berita tsunami di Jepun. Pada ketika itu ada dakwaan bahawa terdapat telur tiruan yang dijual di beberapa tempat beli-belah di Pulau Pinang. Setelah dilaporkan tentang kewujudan telur tiruan dipasaran, pihak berkuasa bertindak dengan begitu cepat untuk merampaskan beberapa ratus biji telur di beberapa tempat jualan yang dakwaan itu berlaku. Dengan kadar yang hampir segera, terdengar dan terbaca pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkuasa, pakar-pakar, pertubuhan-pertubuhan pengguna yang bersaing-saing dan berlumba-lumba, tentang bahayanya telur tiruan ke atas kesihatan, isu moral menjual telur tiruan, desakan untuk tindakan diambil dan macam-macam lagi yang dapat diluahkan. Namun begitu, beberapa hari kemudian, telah dibuktikan oleh pihak yang boleh dipercayai bahawa isu itu telah pun diselesaikan dan siaran oleh pihak berkuasa menyatakan bahawa isu telur tiruan yang berlaku di Pulau Pinang adalah tidak benar. Setelah diuji oleh Jabatan Veterina yang telah mengambil sampel telur yang didakwa telur tiruan itu didapati semua telur itu adalah telur asli.

Saya tidak pasti sama ada murid-murid di sekolah sempat meluangkan masa untuk mengikut berita ini. Saya harap atas kerajinan mereka untuk mengulangkaji buku-buku teks mereka terlepas mengikuti berita yang hangat ini. Mengapa? Sebabnya ialah jika mereka tanya guru (khasnya guru sains) mereka mengapa pihak yang berkuasa dan pakar-pakar boleh buat kesimpulan dengan cepat-cepat tanpa menguji sesuatu hipotesis yang dibuat tetapi murid-murid di sekolah tidak boleh, saya pasti guru akan menghadapi cabaran yang besar untuk menjawab. Bagaimanakah guru dapat menegaskan kepada murid-murid tentang suatu penyiasatan saintifik, sesuatu hipotesis mesti diuji sebelum dipastikan hipotesis itu benar atau tidak jika mereka telah membaca berita telur palsu yang palsu itu? Mereka mungkin akan menuntut markah yang lebih jika mereka buat kesimpulan tanpa menguji sesuatu hipotesis dengan merujuk kepada kes telur tiruan yang dilaporkan itu. Cabaran baru guru - Tidak mudah lagi untuk memberi markah yang biasa diberi kepada mereka yang melompat ke sesuatu kesimpulan tanpa menjalankan siasatan saintifik, iaitu, markah telur.

Saturday, March 19, 2011

Perlu Wujud Lebih Banyak 'Jobs'

Rasa serba salah kerana telah lama tidak menulis dalam blog saya. Minta maaf jika ada rakan-rakan yang cuba masuk ke dalam blog saya tetapi tiada artikel yang baru. Kalau nak kata sibuk kerana pelbagai majlis besar di sekolah--tak jadi---kerana ini hanya alasan. Kalau kata sibuk mengikuti perkembangan terbaru di Jepun---Itu pun alasan sahaja. Oleh itu, tulislah sahaja....

Pagi ini saya baca satu artikel yang menarik minat saya di The Star (STARBIZWEEK, 19-3-2011) yang bertajuk 'Need to create more Jobs'. Artikel ini sebenarnya merupakan satu reviu sebuah buku (The Innovation Secrets of Steve Jobs, by Carmine Gallo) oleh Choo Li-Hsian. Artikel ini bermula dengan satu kata hikmah yang saya amat suka, iaitu:

"The greater danger for most of us lies not
in setting our aim too high and falling short,
but in setting our aim too low, and achieving
our mark."                          --- Michelangelo 

Menurut artikel ini, President Obama digesa untuk mewujudkan lebih banyak Jobs, bukan lebih banyak pekerjaan tetapi Steve Jobs. Steve Jobs, perintis Apple Computer, merupakan antara ikon inovasi dan kreativiti dalam abad 20 dan 21 yang boleh diteladani oleh siapa-siapa ingin menjadi kreatif dan inovatif. Nanti....nanti...seolah-olahnya kita masih ada pilihan. Bukankah kita diingatkan oleh pucuk kepimpinan kita, kreativiti dan inovasi adalah satu kewajipan jika kita ingin mengekalkan harapan untuk menjadi negara kita sebuah negara yang maju? (Dalam kontek ini, kita boleh juga menyemak diri kita---adakah amalan kita beza daripada masa dulu, iaitu sebelum seruan kreativiti dan inovasi menjadi satu mantra?)

Walaupun Apple ialah ikon inovasi generasi kita, Steve Jobs, salah seorang pengasas syarikat itu tidak percaya kepada menyediakan sistem-sistem untuk mencipta inovasi. Pekerja-pekerja Apple tidak menghadiri bengkel-bengkel formal untuk meningkatkan daya inovasi mereka. Walau bagaimana pun, mengikut penulis artikel ini, bukan semua orang boleh menjadi Steve Jobs. Oleh itu, latihan sistematik masih diperlukan. (Kalau tidak penerbit buku 'The Innovation Secrets of Steve Jobs' pasti akan menjadi bankrap kerana buku ini merupakan satu bahan latihan sistematik.) Saya belum sempat membaca buku ini, tetapi tercetus dalam pemikiran saya selepas membaca reviu ini, pelbagai soalan tentang hubungkaitan antara kreativiti dengan birokrasi, kreativiti dengan 'worldview' sebenar dan kreativiti dengan 'outcome'. Tambahan lagi ialah isu komplek berkaitan dengan kreativiti dan inovasi : kriteria dan pengukuran (kayu ukur yang sama untuk semua?), takrifan kejayaan ('one size fits all?'), tanggungjawab sosial .... banyak lagi. Saya pun tak jelas bagaimana menulis dengan cara yang lebih neutral. Oleh itu saya akhiri artikel ini dengan satu lukisan untuk direnung. Harap-harap tiada siapa pun marah selepas membaca. Hanya 'Thinking Allowed' sahaja.


Friday, January 28, 2011

Idea Yang Belum Pernah Diterbitkan

Semasa menyemak fail lama saya, ternampak satu lukisan yang saya buat pada 11-2-2000. Lukisan yang dibuat dengan pen teknikal hampir sebelas tahun dahulu itu, merupakan sebahagian daripada koleksi idea saya berasaskan pengalaman atau pemikiran yang berkaitan dengan pengajaran saya sekitar masa lukisan itu dibuat. Kebanyakan idea-idea itu belum pernah saya dikongsikan dengan orang-orang lain. Saya lukis semula dengan Microsoft Paint untuk dikongsi sama tanpa memberi penerangan yang selanjutnya dengan harapan pembaca boleh menginterpretasikan mesej yang ingin disampaikan tentang minda murid-murid moden (harap sebelas tahun dahulu masih boleh dianggap sebagai moden).

Saturday, January 15, 2011

Profesionalisme Dalam Rutin Harian

Sedikit perkongsian hujung minggu—Pagi ini semasa sesi kopi, terbangkitnya perbincangan tentang masalah profesionalisme dalam organisasi. Berlarutan dari perbincangan itu, saya ingin kongsi dengan rakan-rakan pembaca blog saya, satu artikel pendek yang ditulis oleh Fred Lew dan bertajuk Professionalism in Daily Routine,  diterbitkan dalam P&Q Digest, Januari 2007.

Mengikut beliau, seorang profesional, selain daripada mempunyai pengetahuan tentang kerja perlu juga mempunyai komitmen dan dedikasi. Dalam bentuk persamaan,
Profesionalisme --> Pengetahuan + Sikap dan nilai positif yang dijiwakan
Mengikut beliau, terdapat empat sumber untuk memperoleh ilmu, iaitu, melalui pendidikan formal, latihan vokasional, menjadi perantis dan melalui pengalaman.

Beliau juga menerangkan bahawa tahap seseorang menjadi profesional, tidak kira apa jenis pekerjaan, bergantung kepada setakat mana beliau mematuhi lima petua yang asas.
  1. Perancangan--Gelagat profesional menuntutkan perancangan yang rapi supaya pertindihan dapat dielakkan dan kerja dapat dilaksanakan dengan lebih licin.
  2. Membuat keputusan--Cara kita membuat keputusan boleh menunjukkan setakat mana tahap profesional kita. Keputusan yang dibuat seharusnya berasaskan fakta dan angka, bukan setakat angan-angan sahaja.
  3. Kemahiran komunikasi--Bagaimana kita berkomunikasi dengan orang lain menunjukkan setakat mana kita berprofesional kepada pelanggan, pegawai-pegawai di atas atau di bawah kita.
  4. Bagaimana kita menyiapkan sesuatu kerja--Sikap kita dicerminkan oleh kerja yang dilakukan oleh kita. Profesionalisme menuntut menelitian setiap detail tidak kira berapa kecil perkara itu.
  5. Etika profesionalisme-Profesionalisme menuntut kod etika profesional dipatuhi setiap masa.

Profesionalisme menuntut lebih daripada kelayakan kertas atau sijil dan prinsip untuk kerja secara efisien memerlukan aspek lain termasuk kompetensi dalam kerja yang dipertanggungjawabkan, keyakinan, kebolehpercayaan, akauntabiliti, tanggungjawab dan beramanah. Ciri-ciri lain ialah integriti, jujur, cekap, keterbukaan dan pematuhan kepada etika sosial dan budaya. Seorang profesional tidak patut terlalu beremosi, mempunyai kepentingan diri/percanggahan kepentingan dan memecah amanah yang diberi.

Akhir sekali, beliau mengingatkan bahawa pelajaran berkenaan profesionalisme dalam rutin harian harus untuk membentukkan satu mindset yang positif dalam alam pekerjaan. Dari perspektif perkerjaan, perlu ada usaha untuk terus belajar meningkatkan kemahiran dan ilmu. Dari aspek perhubungan interpersonal, kita perlu terus menjiwakan semua sikap dan nilai positif.

Saya percaya kepada ramai orang, perkara yang dibangkitkan di atas bukan sesuatu yang baru. Sememangnya, ciri-ciri positif tidak berbeza tidak kira ditulis oleh siapa atau dalam bahasa yang apa sekali kerana nilai-nilai ini memang universal. Satu perkara yang saya ingin tambah di sini adalah berkenaan amalan mengikut peredaran masa. Dalam zaman yang hanya boleh dicirikan dengan perubahan secara lonjakan kuantum dengan komunikasi secepat laju cahaya, kita sering diingatkan secara langsung atau melalui implikasi, tentang kebenaran hakikat survival of the fittest. Oleh itu, bukan setakat berapa banyak kita tahu sudah mencukupi. Yang lebih penting ialah berapa banyak kita amalkan dan memanfaatkan teknologi dan media sosial dalam tugasan profesion kita. Walaupun amalan profesional yang positif tidak menjaminkan kejayaan setiap ketika disebabkan  faktor-faktor di luar kawalan, ia pasti akan menjamin trend pembangunan yang positif. Kita haru mengambil iktibar kehilangan dinosaur dari permukaan Bumi sebagai amaran kepada keperluan untuk terus mematuhi tututan zaman.

Tuesday, January 11, 2011

Selamat 11.1.11

Selamat 11.1.11

Sekali sahaja dalam satu abad and bukan semua orang sempat hidup pada tarikh ini. Saya enggan membiarkan tarikh ini berlalu tanpa sebarang penulisan dalam blog saya. Bukan kata saya mempunyai banyak masa lapang, walau pun secara kebetulan hari ini ialah hari pelepasan awam di negeri Johor. Sejak awal-awal pagi ini saya telah mula menulis, bukan blog, tetapi menterjemahkan buku fizik saya ke dalam Bahasa Malaysia. Saya tidak jangka bahawa dalam tempoh sekitar sepuluh tahun, saya bermula menulis buku teks dan buku rujukan fizik dalam Bahasa Malaysia, kemudian terpaksa menulis dalam Bahasa Inggeris apabila PPSMI diperkenalkan dan kini pula balik ke Bahasa Malaysia, semuanya dalam tempoh 10 tahun! Saya perlu mendisiplin diri saya kerana dalam kesibukan pada masa ini, khasnya dengan permulaan penggal yang baru, tidak banyak tenaga yang baki lagi untuk penulisan selepas kerja. Satu pertiga masa yang saya diperuntukkan untuk menyiapkan kerja saya telah berlalu dengan hanya sekitar 10 %  kandungan yang disiapkan.Topik ini barangkali tidak menarik minat para pembaca. Oleh itu saya tukar ke topik yang lain.

Pagi ini saya membaca satu artikel bertajuk ’War and peace with my tweets’ oleh Karim Raslan di surat khabar The Star. Saya amat tertarik oleh artikel ini kerana kandungan ini menyentuh realiti kehidupan moden hari ini. Beliau menjelaskan sejak beliau jatuh cinta dengan Blackberry beliau sembilan bulan dahulu, kehidupan beliau telah berubah dengan pelbagai pengalaman media sosial melalui Internet yang telah mengambil terlalu banyak masa beliau. Beliau menghadapi satu cabaran yang besar menconggak masa antara kehidupan rutin dan kegemaran selama ini dengan media baru seperti Facebook, Twitter, MySpace dan LinkedIn.

Mengikut beliau dalam tempoh sembilan itu, beliau aktif dengan penggunaan Twitter yang menghadkan penulisan kepada 140 karakter sahaja, beliau kini perlu memaksakan diri untuk menumpukan perhatian untuk tempoh masa yang lebih panjang. Untuk menghadapi cabaran itu, beliau mula membaca semula buku ’War and Peace’, sebuah buku dengan kandungan sebanyak 1400 muka surat yang ditulis oleh Tolstoy! Apabila beliau kembali ke minat yang lama, iaitu membaca, beliau baru sedar begitu banyak kemampuan untuk menumpu perhatian telah merosot dalam sembilan bulan yang lalu.

Mengikut beliau, media-media sosial itu telah menjadikan beliau berasa gugup dan kehilangan tenaga. Beliau juga berasa kemahiran beliau untuk berkomunikasi dengan orang lain telah berkurangan. Beliau bertanya--Adakah kita sembunyi di belakang pelbagai kemudahan ‘online’ dan menggunakan media sosial sebagai alasan untuk enggan berinteraksi dengan manusia lain pada tahap yang lebih rapat, mesra dan benar? Adakah kaedah komunikasi yang lebih mudah, cepat dan terus itu membawa maksud pertukaran pandangan dan idea yang sebenar? Beliau selanjutnya menyatakan bahawa adalah bahaya jika kita semakin tak sabar untuk bercakap, membaca atau menulis seperti biasa—kerana kita percaya bahawa perbuatan ini adalah lebih berkesan melalui teknologi.

Mengikut beliau, media sosial adalah alatan yang sangat berguna (saya amat setuju), tetapi ia juga boleh menjadi suatu jerat (saya juga amat setuju; pisau pun begitu). Teknologi masih tidak boleh menggantikan kehidupan sebenar yang masih menjadi sumber inspirasi yang terbaik. Memerhati manusia yang lain tetap menjadi sesuatu perkara yang teknologi tidak boleh menggantikan. Walau bagaimana pun, adalah tak wajar untuk mengetepikan media sosial yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Yang utama ialah bagaimana kita menggunakan media sosial ini yang faedahnya yang sebenar. 

Cukup sampai di sini saya. Isteri sudah panggil untuk makan tengah hari. Selepas itu saya akan mengambil sedikit masa untuk melihat bunga di taman saya. Saya tidak lupa Blog juga satu media sosial, isteri ialah manusia dan bunga ialah ciptaan semulajadi.

Selamat 11.1.11.