Masa sekarang apabila sesuatu isu pengajaran dan pembelajaran sains dibangkitkan, kemungkin yang sangat besar isu itu adalah berkenaan dengan PPSMI-Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Tidak dinafikan isu itu sangat hangat.
Di samping itu, adalah diharapkan isu berkenaan kaedah mengajar sains diberi perhatian yang sama berat. Isu utama di sini ialah pembelajaran sains yang sebenar; suka dan cekap belajar sains dan mengapresiasi sains; memperoleh 'sikap saintifik', minda-terbuka, objektiviti dan mengelakkan kecenderungan 'melompat ke kesimpulan'. Sememangnya isu ini amat luas dan saya hadkan kepada kerja amali sahaja dalam artikel ini. Adalah baiknya seorang guru sains membuat refleksi secara kritikal amalan diri dengan menanya soalan-soalan seperti yang berikut (jangan berhenti di situ sahaja):
-Adakah kerja amali yang dijalankan itu memotivasikan murid-murid?
-Adakah murid-murid memperoleh kemahiran makmal melalui kerja-kerja amali itu?
-Adakah kerja amali itu membantu murid-murid membentukkan satu kefahaman konsep sains?
-Adakah kerja amali itu membentukkan 'sikap saintifik' yang betul?
-Adakah kerja amali yang dibuat oleh murid itu menyelesaikan masalah guru dengan mengikut prosedur guru atau masalah murid mengikut prosedur murid?
-Dapatkah pengalaman dan kemahiran yang diperoleh oleh murid-murid melalui kerja amali dipindahkan kepada situasi harian di luar makmal sains?
-Semasa menjalankan sesuatu kerja amali, adakah murid-murid melaksanakan prosedur kerja dengan minda saintifik, kemahiran menyiasat bersifat objektif dan analitikal atau setakat mengikut prosedur atau langkah macam resipi sahaja?
Seorang guru sains perlu sedar bahawa dalam menjalankan sesuatu kajian sains, objektif pembelajaran tidak akan dicapai sekiranya murid-murid tidak mempunyai kefahaman teori asas dan mempunyai kerangka minda saintifik dalam melaksanakan kajian saintifik melalui kaedah penemuan. Yang lebih mungkin ialah : Sesuatu kerja amali dimulakan dengan langkah-langkah pengumpulan data yang sepatutnya bersifat saintifik akan merosot menjadi usaha mekanikal 'mengikut resipi'. Yang lebih membimbangkan ialah apabila murid-murid memperoleh keputusan yang 'salah', guru memberi keputusan yang 'betul' dan dengan itu, membatalkan segala usaha kerja amali yang dibuat oleh murid-murid. Keadaan itu boleh menyebabkan kecenderungan murid-murid untuk mencari jawapan yang 'betul'(dalam keadaan sebenar, satu jawapan yang betul mungkin diperoleh selepas berpuluh-puluh atau beratus-ratus jawapan yang salah!)
'Sikap saintifik' ditakrifkan sebagai sikap dan pendekatan terhadap maklumat, idea, prosedur sains yang merangkumi amalan bebas dari nilai (value free) dan objektiviti tanpa prejudis teori (theoritically-unprejudiced objectivity), minda terbuka dan tidak terus lompat ke kesimpulan (willingness to suspend judgment).
Pembaca mungkin berfikir bahawa isu ini senang dibangkit tetapi susah diusahakan. Saya amat setuju. Tujuan saya membangkitkan isu ini di sini adalah untuk menegaskan bahawa ada isu pengajaran sains yang lebih besar di sebalik isu PPSMI sekiranya kita ingin membentukkan satu masyarakat maju yang berasaskan kepada sains dan teknologi yang kukuh dalam erti kata sebenar. Jika lebih ramai orang, sama ada yang terlibat secara terus atau tidak dengan pengajaran dan pembelajaran sains, memikir dan membincang secara aktif tentang isu ini dan selanjutnya mengambil langkah-langkah pengubahsuaian yang positif, lebih mungkin kualiti pengajaran dan pembelajaran sains dapat ditingkatkan.
1 comment:
salam sejahtera. saya tertarik dengan artikal ini. saya ingin menkaji tentang PEKA sains tapi saya kurang jelas tentang masalah atau isu utama tentang PEKA sains. kalau boleh jelaskan dengan lebih lanjut lagi tentang PEKA sains lagi bagus. maybe tentang kemahiran manipulatif sainstifik pada diri pelajar. harap dapat maklum balas.terima kasih.
Post a Comment