Saturday, February 28, 2009

Kepimpinan : Pengetahuan Dan Amalan

Dari 25 hingga ke 27 Februari saya telah menghadiri satu sesi profesionalisme di Melaka. Sesi ini agak berlainan daripada sesi-sesi lain yang pernah saya hadiri kerana cara pelaksanaannya adalah aktif -- peserta-peserta dapat menyumbangkan idea dan pandangan masing-masing melalui pelbagai jenis aktiviti yang menarik.

Antara isu yang dibincangkan ialah pengurusan perubahan dan ciri-ciri yang seharusnya ada pada seorang pemimpin untuk melakukan transformasi sesebuah organisasi. Ciri-ciri ini termasuk standard etika dan moral yang tinggi, sudi berkongsi risiko bersama, mengutamakan kepentingan umum daripada diri sendiri, menggunakan kuasa untuk menggerakkan individu atau kumpulan ke arah mencapai misi/visi, bukan untuk keuntungan diri. Seorang pemimpin juga boleh memberi motivasi dan inspirasi kepada pengikutnya, mempunyai minat yang mendalam, optimistik dan komited, boleh merangsangkan pengikut menjadi kreatif dan inovatif..... Banyak lagi ciri-ciri seorang pemimpin transformasi dapat dirujuk dari Internet atau buku-buku berkenaan kepimpinan dan pengurusan.

Masalah bukan kekurangan isi kandungan. Yang lebih mencabar ialah bagaimana menterjemahkan isi kandungan kepada amalan, menjadikan ciri-ciri itu sesuatu yang intrinsik dan bukan setakat ilmu sahaja. Walau bagaimana pun, dalam apa jua latihan pun, ilmu asas tetap menjadi titik tolak. Cuma, kadang-kadang kita menganggap bahawa setelah sesuatu isi kandungan diberi, ilmu itu pasti dapat diaplikasikan. Kadang-kadang kita mengharapkan proses yang sepatutnya boleh berlaku secara tersendiri hanya dengan pendedahan teori sahaja atau kita mengharapkan sesuatu hasil tanpa memberi bimbingan kepada proses untuk memperoleh hasil itu. Dalam pada itu, perlu juga ditegaskan bahawa, yang menerima ilmu tidak harus terlalu mengharapkan bimbingan daripada pihak lain untuk peningkatan diri kerana usaha diri untuk mengintrinsikkan sesuatu ilmu adalah antara penentu utama kejayaan. Macam-macam boleh dibahaskan. Yang penting perlu bezakan antara 'form' dan 'substance'. (Sila rujuk kepada penulisan blog bertajuk 'Form And Substance' pada 29 April 2008.)

No comments: