Friday, December 31, 2010
Sedikit Berkenaan Hari Ini
Tanya esok cuti atau tak cuti
Anak-anak nak daftarkan diri
Asal yakin s'krang tak pasti
Dengan hati yang berkobar-kobar
Dari rendah hijrah ke menengah
Menunggu hari tak sabar-sabar
Pengumuman cuti agak mencabar
Jawapan telefon tak berhenti-henti
Sila datang esok pagi
Tak peduli cuti atau tak cuti
Tetap mesra kami layani
Sambil pandu sambil berfikir
Anak-anak tak akan tercicir
Ibu bapa tak perlu kuatir
Esok pagi kami akan hadir
Zoooooom................
Mat Rempit tak kenal mati
Menakutkan apek yang berjalan kaki
Apek tak berhenti memaki-maki
'Ingat handalkah motor Suzuki!'
(Penulisan ini dimulakan pada 30-12-2010 tetapi tamat pada 31-12-2010. Oleh itu 'Hari Ini' bermaksud hari Khamis, 30-12-2010. Sahaja 'Thinking Allowed'. Tiada siapa pun patut naik marah.)
Monday, December 27, 2010
Masalah Sikap
Jangan tanya ini hasil kerja siapa atau kontraktor yang mana satu. Saya cuma boleh maklumkan peristiwa ini berlaku di Jalan 24, Taman Delima, Kluang. Mungkin peristiwa seperti juga berlaku di Jalan....., Jalan....., Jalan..... dan Jalan........
Saturday, December 25, 2010
'Chalk-n-talk'
Banyak telah dibahaskan tentang 'chalk-n-talk' dalam bilik darjah. Kadang-kadang perbahasan (atau perbincangan) adalah sedemikian seolah-olahnya 'chalk-n-talk' adalah sesuatu yang salah atau sekurang-kurangnya sesuatu yang tak betul. (Secara kritikalnya, istilah 'salah' dan 'tak betul' adalah berlainan. Setujukah anda?)
Kalau 'chalk-n-talk' adalah salah, mengapa setiap kelas masih dibekalkan dengan papan hitam dan guru-guru dibekalkan dengan kapur (chalk)? Jangan kata sesetengah kelas tiada papan hitam dan kapur tidak digunakan-papan putih dan 'whiteboard marker' juga sama. Cuma, elakkan 'chalk-n-talk only'. Elakkan juga 'chalk-n-chalk' (tulis sahaja, tak cakap pun); 'talk-n-talk' (cakap sahaja, tak tulis pun); 'no chalk no talk' (masuk, duduk sahaja, apa pun tak buat).
'Chalk-n-talk' masih penting dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi harus diintegrasikan dengan kaedah lain yang mungkin melibatkan multimedia juga untuk menarik perhatian dan minat murid-murid. Suka tak suka, tidak dapat dinafikan bahawa dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran (melainkan di makmal atau bengkel), sebahagian besar masa diperuntukkan untuk 'chalk-n-talk'.
Saya dapati bahawa kemahiran menggunakan papan hitam dan kapur jarang dibincangkan. Sebenarnya jika kapur boleh digunakan dengan efektif, terdapat banyak faedahnya. Hari ini ialah hari cuti perayaan Kristmas dan saya mengambil kesempatan ini untuk pergi ke sebuah 'hypermarket' untuk membeli-belah. Perhatian saya tertarik kepada beberapa paparan lukisan dan penulisan yang dihasilkan dengan penggunaan kapor pelbagai warna di atas papan-papan hitam. Walaupun setakat menggunakan kapor berwarna dan papan hitam yang biasa, hasil karya sungguh menarik. Barangkali guru-guru boleh meneliti hasil-hasil karya tersebut, membandingkan dengan hasil-hasil diri di atas papan hitam kelas dan membuat satu keputusan sama ada terdapat sesuatu yang boleh dipelajari dari paparan-paparan 'hypermarket' itu.
Berkenaan penggunaan kapur kalau stok kapur putih cepat habis tetapi stok kapur warna tak habis-habis, kemungkinan besar guru-guru jarang menggunakan kapur selain daripada kapur putih. Kalau begitu, jangan salahkan murid-murid jika mereka cepat bosan. Dunia mereka berwarna-warni dan mereka sangat benci (harap tidak dituduh membuat generalisasi tanpa sokongan data) alam hitam (papan hitam) dan putih (kapur putih). Apa lagi, dengan dos pekat-pekat ubat tidur dalam bentuk tulisan yang susah dibaca, berwarna putih, macam cakar ayam dan tanpa ilustrasi.
Apa kata jika terdapat bengkel tentang kemahiran menggunakan kapur berwarna dengan berkesan? Jangan ketawa, bengkel seperti ini kalau dapat dijalankan dengan betul-betul boleh mendatangkan jauh lebih manfaat daripada kursus-kursus yang 'berglamour' tetapi dengan amat sedikit nilai tambah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Perhatikan gambar-gambar di sebelah kanan. Tujuan paparan-paparan itu adalah untuk menarik perhatian pelanggan untuk membeli item-item yang diiklankan. Sudah pasti lukisan dan tulisan yang berwarna-warni lebih mudah menarik perhatian pelanggan. Begitu juga, tulisan dan lukisan di atas papan hitam di dalam bilik darjah harus berkreatif dan inovatif untuk menarik perhatian murid-murid (pelanggan). Jangan anggap murid-murid di dalam kelas adalah berlainan dengan pelanggan-pelanggan di sebuah 'hypermarket' dengan memberi sebab murid-murid adalah 'captive audience' yang tidak ada pilihan manakala pelanggan-pelanggan di dalam 'hypermarket' mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan. Murid-murid hanya di'tawan' secara fizikal tetapi minda mereka tetap bebas seperti pelanggan-pelanggan di 'hypermarket'. Oleh itu konsep iklan untuk menarik pelanggan tetap sama tidak kira di bilik darjah atau di 'hypermarket'. Saya tahu bahawa ada guru yang akan kata kalau hendak melukis seperti gambar-gambar itu, sukatan pelajaran tidak akan habis diajar. Betulkah? Bukankah itu jawapan standard untuk cadangan-cadangan seperti berikut?- Menggunakan alat bantu mengajar.
- Menggunakan ICT dan multimedia.
- Menggalakkan 'hands-on' waktu pengajaran dan pembelajaran.
- Menggunakan simulasi, main peranan, perbincangan berkumpulan,.....
Sahaja 'Thinking Allowed' sempena cuti Kristmas ini. Jangan marah dan 'MERRY CHRISTMAS'.
Tuesday, December 14, 2010
Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 10
Soalan-soalan daripada guru memainkan peranan yang penting dalam membudayakan sebuah ‘thinking classroom’. Guru-guru digalakkan menanya lebih banyak soalan yang melibatkan HOTS (higher order thinking skills) yang menggunakan ‘mengapa’ dan ‘bagaimana’ dan kurangkan soalan LOTS (lower order thinking skills) yang menggunakan ‘apa’ dan ‘bila’.Walau bagaimanapun, jawapan kepada soalan-soalan HOTS tidak semestinya meningkatkan kebolehan murid-murid untuk berfikir. Walaupun soalan HOTS boleh mendorong pemikiran yang lebih mendalam, tetapi jika murid-murid mempunyai tabiat untuk meneka jawapan tanpa meneliti soalan itu dan cepat menjawab tanpa mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan kejadian sesuatu perkara yang disoalkan itu, dia akan terus mengamalkan pola pemikiran cetek. Oleh itu, guru yang menanya soalan ini perlu mencabar murid-murid yang memberi jawapan yang tergesa-gesa dan ada kala yang kurang bertanggungjawab dengan soalan-soalan lanjutan seperti: Bagaimana anda dapat jawapan itu? Apakah sebab-sebab anda menjawab begini? Dari mana anda memperoleh maklumat untuk jawapan anda itu? Apakah yang pandangan anda selanjutnya berkenaan....? Melalui soalan-soalan lanjutan ini, murid-murid didorong untuk memberi jawapan yang lebih bertanggungjawab dengan akauntabiliti yang lebih tinggi. Mereka juga perlu berfikir dengan lebih mendalam. Jika usaha dan amalan ini boleh dijadikan satu budaya di dalam bilik darjah, hala tuju ke ‘thinking classroom’ adalah lebih terjamin.
Friday, December 10, 2010
Tuesday, November 30, 2010
Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 7
Ciptaan dan inovasi merupakan manifestasi amalan praktikal idea-idea kreatif. Sebagai contoh, idea yang kreatif berkenaan keperluan satu sistem amaran untuk mengingatkan pemandu kereta untuk memakai tali pinggang keledar dan aplikasi teknologi elektronik membolehkan idea kreatif itu untuk menghasilkan inovasi sistem lampu dan bunyi amaran yang diaktifkan secara automatik jika seorang pemandu itu menghidupkan enjin kereta tanpa memakai tali pinggang keledar.
Untuk mencipta sesuatu, seseorang perlu daya imaginasi yang tinggi, pemikiran yang analitik, maklumat yang cukup, keberanian untuk melepaskan dari skema pemikiran tradisi dan sudi mencabar prosedur yang stereotaip. Kreativiti jelas dinampak pada kanak-kanak. Kita tidak menjadikan kanak-kanak itu kreatif kerana mereka pada semulajadinya adalah kreatif. Sebaliknya, kita yang beransur-ansur menjadikan mereka semakin kurang kreatif. Kita harus menerima hakikat ini dan berusaha untuk mengurangkan halangan-halangan kreativiti jika kita benar-benar serius untuk mempromosikan kreativiti dalam 'thinking classroom'. Sumbangan yang paling besar kalangan guru dan ibu bapa dalam perkembangan kreativiti kanak-kanak ialah dengan mewujudkan satu suasana atau ekosistem yang selamat dan bebas untuk meneroka, mencipta dan MEMBUAT KESILAPAN. Sering kali seorang kanak-kanak terikat pada kesedaran diri melalui proses berterusan tentang perbuatan 'sepatutnya' dan 'tidak sepatutnya' yang dikuatkuasakan oleh pelbagai daya sosial, budaya, tradisi, peraturan dan panduan yang tidak lari daripada pengukuhan yang positif atau negatif, sama ada eksplisit atau tidak eksplisit (dalam bentuk pujian, teguran, ganjaran material, hukuman atau peringatan tentang keperluan untuk 'masuk ke dalam barisan'). Masih ingat cartoon di sebelah? Sistem pendidikan yang terlampau menegaskan ganjaran dan hukuman akan memperlahankan perkembangan kreativiti di kalangan murid-murid.Kreativiti juga tidak seharusnya diukur oleh insiden-insiden terpencil. Sebagai contoh, satu pasukan rekacipta sekolah yang memenangi pertandingan walau sehingga ke peringkat antarabangsa pun tidak semestinya menunjukkan budaya sekolah yang kreatif. Kadang-kadang insiden seperti ini boleh disebabkan oleh faktor-faktor luar seperti : kebetulan seorang murid yang berkenaan itu mempunyai seorang bapa yang memang kreatif dan juga seorang pencipta; mungkin sekolah itu 'mengkontrakkan' kerja rekacipta itu kepada orang luar, bekas murid yang sekarang menjadi jurutera dan lain-lain. Malangnya perkara seperti ini terus berlaku kerana terdapat penilai-penilai yang kurang kritikal. (Ini bukan bermaksud 'tak dapat makan anggur kata anggur masam'.) Baik berhenti di sini untuk disambung kemudian sebelum saya terlari terlalu jauh dari topik asal.
Monday, November 29, 2010
Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 6
Mengapa kebanyakan murid kurang kreatif jika diperhatikan dari beberapa aspek yang antaranya,
- kurang rela memberi jawapan?
- takut menjawab atau memberi pandangan?
- pasif dan lebih cenderung kepada memberi jawapan berasaskan LOTS (lower order thinking skills)?
- suka menjadi neutral atau tidak ingin melibatkan diri sama ada dalam menjawab atau perbincangan?
- kurang mahir untuk memberi pandangan yang luar dari norma/biasa?
- aktif menjawab semasa kecil tetapi semakin pasif apabila umur semakin meningkat?
Sunday, November 28, 2010
Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 5
- Adakah bendera itu menjadi seorang lebih patriotik?
- Adakah bendera itu menjadikan pemandu itu kurang salah?
- Bolehkah faktor bendera itu diambil kira dalam pertimbangan keberatan pelanggaran undang-undang seperti terlampau berat atau terlampau banyak asap hitam dikeluarkan?
- Yang mana satu lebih patriotik-Mengkibar bendera atau mematuhi undang-undang?
Rakan-rakan sekalian, terdapat banyak grafik yang boleh anda pilih untuk digunakan di dalam bilik darjah. Sesiapa yang menyatakan tidak sesuai, buang masa, tak habis sukatan pelajaran hanya mencari alasan sahaja. Sekali lagi kenyataan saya tidak semestinya anda setujui. Saya cuma nak kata pengajaran dan pembelajaran bukan seperti mengisi tin dengan air. Kalau kita berjaya merangsangkan pemikiran murid-murid, kemungkinan besar mereka dapat belajar dengan lebih berkesan. Pernahkah rakan-rakan dengar kata 'Teach less, learn more'? (Jangan salah faham dan amalkan 'teach less' sahaja!)
Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 4
Minta respons daripada murid-murid selepas menunjukkan mereka gambar pertama. Selepas itu, tunjukkan gambar yang kedua dan minta respons daripada murid-murid tanpa merujuk kepada gambar yang pertama. Kemudian, minta murid-murid menggabungkan kedua-dua gambar itu untuk membuat sesuatu kesimpulan. Guru boleh membimbing mereka untuk mengaitkan perbincangan mereka dengan kehidupan harian dari segi anggapan, salah anggapan, membuat kesimpulan yang salah berasaskan anggapan yang sering dipengaruhi oleh norma masyarakat, kepercayaan yang salah dan sebagainya.Kata-kata kunci sebagai panduan perbincangan (jika perlu sahaja):
Gambar 1:
- Pemerhatian : Ada budak, ada girafa, ada sungai, budak melompat,....
- Tahap yang lebih tinggi lagi : Air dalam (ada inferens terlibat), budak yakin (inferens dari cara budak itu melompat), giraf relaks-boleh dibahaskan,....
- Pemerhatian: Budak cedera, giraf naik ke darat, kaki giraf pendek....
- Tahap yang lebih tinggi lagi: Budak marah, giraf relaks, air cetek,....
- Tahap yang lebih tinggi (Higher order thinking skills atau HOTS): Anggapan bahawa semua girafa berkaki panjang adalah salah. Anggapan yang salah itu menyebabkan kesimpulan yang salah berkenaan kedalaman air itu. Akibat daripada kesimpulan yang salah, perbuatan yang salah dilakukan (melompat). Akibat daripada perbuatan yang salah itu, kecederaan/kerugian ditimpai.
- Tahap yang lebih tinggi lagi: Kaitkan perkara ini dengan perkara yang berlaku di sekitar kita. Contoh: a)Perbuatan yang tergesa-gesa tanpa kajian dan penyelidikan yang menyeluruh menyebabkan penggubalan dasar yang kurang sesuai. b)Melaksanakan sesuatu perkara berasaskan kayu ukur yang tidak norma boleh mendatangkan kesan yang buruk. c)Kesedaran selepas kesilapan kadang-kadang mendatangkan kerugian yang besar dari segi kehilangan wang, masa dan peluang. d)Dari 'hero' ke 'zero'. .....
Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 3
Guru Sivik : Tayangkan gambar ini. Jangan terangkan apa-apa. Minta murid-murid untuk menerangkan gambar ini sendiri sebelum mendatangkan kesimpulan. Boleh juga meminta murid-murid secara bergiliran-seorang kemukakan satu perkataan untuk mendiskripsikan gambar ini. Saya harap Lat tidak marah kerana saya menggunakan bahan beliau. Saya percaya Lat akan berasa gembira untuk mengetahui hasil karya beliau dapat membantu dalam 'thinking classroom'.
Guru Bimbingan dan Kaunseling : Boleh menggantungkan gambar ini di dalam Bilik Kaunseling. Saya percaya sebahagian daripada masalah murid-murid yang mendapat khidmat kaunseling akan selesai selepas melihat gambar ini. (Betul ke? Jangan lupa, jangan percaya sebegitu sahaja. Tetapi, jangan tolak terus. Boleh cuba, boleh eksperimen tanpa prejudis.) Ramai kanak-kanak hidup dalam zaman yang selesa, serba ada dan berada di alam manja sehingga mereka kurang biasa dengan cabaran dan kegagalan. Apa kata jika mereka disedarkan dengan realiti tentang kegagalan yang memang merupakan sebahagian wajib kepada sesiapa yang mencari kejayaan?Dalam kelapangan yang dapat kita mencari, khasnya dalam cuti ini, rakan-rakan boleh mencari pelbagai bahan yang serupa yang tidak susah diperoleh dengan bantuan Internet dan mewujudkan satu 'Bank Multimedia' yang banyak membantu dalam kerjaya kita.
Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 2
Dalam ceramah saya yang bertajuk 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P' kepada guru-guru daripada program 'Guru Program Pelajar Cemerlang' saya telah menggunakan dua kartun seperti yang ditunjukkan di sebelah kanan sebagai permulaan subtopik untuk menyampaikan mesej satu perkara yang sering mengganggu fikiran saya. Saya tidak pasti mesej itu dapat dikomunikasikan dengan jelas atau tidak sewaktu ceramah itu.Saya berfikir (kali ini 'Thinking Allowed') perkataan 'cemerlang' terlalu bebas digunakan, atau lebih tepat lagi, disalahgunakan. Kita ada pengetua cemerlang, guru cemerlang, murid cemerlang dan sekarang guru baru cemerlang. Kadang-kadang kita sesama diri bergurau-gurau jika satu hari terlalu banyak kategori cemerlang muncul dan terlalu 'liberal' digunakan, perkataan itu dengan sendirinya akan hilang erti sebenarnya. Pada ketika itu, yang tidak memakai label 'cemerlang' kan menjadi golongan yang gembira. Adakah gejala ini menyebabkan perkataan yang lebih dahsyat seperti 'gemilang' dan 'terbilang' muncul?
Dalam interaksi saya dengan golongan-golongan yang memakai gelaran 'cemerlang', ramai di kalangan mereka memang cemerlang dan layak memakai label ini. Akan tetapi,....... Oleh itu, melalui dua kartun ini, saya ingin menyampaikan beberapa pandangan untuk direnung bersama. Rakan-rakan tidak semestinya setuju. (Jangan lupa, untuk mempromosikan 'the thinking classroom', jangan memaksakan persetujuan bersama atau penerimaan fakta sebegitu sahaja tanpa perbahasan.)
Label 'cemerlang' merupakan satu pengiktirafan berasaskan rekod yang lepas dan harus dipertahankan dengan usaha yang lebih cemerlang lagi. Label ini tidak seharusnya dianggapkan semata-mata sebagai satu penganugerahan atau hasil daripada nasib yang baik seperti kena loteri. Label 'cemerlang' harus datang bersama dengan tanggungjawab dan komitmen kepada 'core business' yang digariskan. Kalau tidak, kita mungkin berlayar di lautan kecemerlangan, setakat berhanyut tetapi tanpa hala tuju yang jelas. Ada kala, dengan nasib yang baik, ombak dan angin membawa kita ke satu tempat di mana kita diperhatikan sebagai cemerlang tetapi pada kebanyakan masa, kita berapung-apung di lautan kecemerlangan dan menikmati hasil penganugerahan yang kita terima tanpa jelas sumbangan kita yang setimpal dengan label itu. Kita yakin dan pasti akan berhanyut kerana rakit yang kita terima itu kukuh dan tahan sehingga kita bersara. Kita mungkin boleh menghiaskan rakit kita supaya nampak seperti motorbot atau jentera moden yang canggih untuk memikat hati mereka yang kurang kritikal dan analitikal walaupun masih tidak mempunyai kompas,enjin dan kemudi.
Sebaliknya, kita harus mendaki gunung kegemilangan, yang curam dan berbatu keras. Kita tidak boleh berhanyut-hanyut di pertengahan gunung tetapi kita boleh mengakui kalah dan menurun ke tapak. Kalau tidak, kita perlu kemahiran yang sebenar untuk menarik diri ke puncak. Atau, kita boleh memberitahu diri kita, mengapa kita perlu bersusah payah kerana kita sudah puas dengan label 'cemerlang'...apa lagi, tidak perlu, belum wujud lagi, label 'gemilang'. Apa kata kalau esok ada label rasmi 'gemilang', mungkin kita akan kata belum wujud lagi label 'terbilang'.
Setakat ini, adakah penulisan saya berkaitan dengan 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P'? Ada kaitan dengan 'thinking classroom'? Ya, saya masih dalam perbincangan yang berkaitan dengan penggunaan kartun sebagai senjata dalam p&p. Kontroversi dan percangganan (contradiction) merupakan suasana yang subur untuk menggalakkan pemikiran inovasi dan kreativiti. Budaya inovasi dan kreativiti susah disemaikan di dalam ekosistem yang stereotaip, yang mementingkan 'form' daripada 'substance', yang mengutamakan 'label' daripada 'content', yang melonggokkan semua manusia seperti keluaran kilang (yang keluaran dari kilang pun ada yang cacat, yang tidak memenuhi kepiawaian....), yang menilai kilang intan dan kilang batu dengan kayu ukur yang sama.
Rakan-rakan boleh tidak bersetuju dengan pendapat saya, boleh setuju untuk tidak setuju (agree to disagree), boleh kemukakan pandangan diri yang mungkin banyak berlainan. Yang saya bimbang ialah ada orang yang (1) setuju 100% (2) tidak setuju 100% (3) marah kerana rasa tercabar (4) tak senang hati kerana saya sentuh tentang realiti walau pun sudah dijelaskan, dari sudut pandangan diri saya.....kerana, orang-orang ini tidak akan mempercepatkan pembudayaan 'the thinking classroom'. Setuju tidak? (Berhati-hati sebelum menjawab soalan ini.) :-)
Saturday, November 27, 2010
Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 1
Pada 12 Oktober, saya dijemput oleh Sektor Pengurusan Sekolah, JPNJ untuk melatih sekumpulan guru baru di La Bella Resort, Mersing. Tajuk saya ialah 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P'. Latihan ini merupakan sebahagian daripada program 'Guru Program Pelajar Cemerlang' dan peserta-peserta merupakan guru-guru baru yang pernah dihantar ke luar negeri untuk latihan khas. Saya ingin mengambil sedikit daripada kandungan kursus itu untuk diterbitkan di dalam blog ini. (Pihak PPD Mersing sebenarnya telah merakamkan sesi latihan selama hampir 5 jam itu. Setakat ini saya tidak terima sebarang berita tentang hasil rakaman itu. Mungkin sudah telah diserang oleh virus digital!)
Inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) adalah pemangkin kepada 'the thinking classroom'. Namun demikian, kejayaan pembudayaan 'thinking classroom' bukan hanya terletak di atas bahu guru. Kejayaannya amat bergantung kepada satu ekosistem sekolah dan dasar pendidikan yang kondusif.
Penggunaan Kartun
Rakan-rakan saya tahu kartun merupakan satu senjata penting saya dalam p&p. Walaupun saya telah banyak menulis tentang penggunaan kartun, saya masih tidak puas hati kerana masih tidak ramai guru yang ingin meneroka potensi senjata ini. Kartun boleh digunakan untuk menyampaikan mesej yang memberi impak yang besar berbanding dengan penggunaan perkataan sahaja.
Lihat rajah di sebelah kanan dengan terliti. Apakah yang dapat anda pelajari dari gambar ini? Apakah mesej utama yang ingin disampaikan oleh gambar ini? Cuba buat sedikit refleksi: Kadang-kadang kita sibuk, menggerakkan banyak tenaga manusia, menggunakan banyak masa, wang dan resos untuk melakukan sesuatu yang kurang atau tidak menghasil. Bukankah gambar ini sesuai sebagai pencetus perbahasan tentang beberapa perkara yang berikut?- Lebih rajin tidak semestinya lebih output.
- Lebih ramai tidak semestinya lebih baik.
- Sibuk tidak semestinya menghasil.
- ........

Kartun selanjutnya sesuai untuk melatih kemahiran berfikir dengan cara yang menyeronokkan. Mengapa Hagar menyatakan bahawa apa yang berada di dalam laut mestilah yang sangat besar dan lapar selepas melihat keadaan pengayuh sampan itu? Tayangkan gambar ini dan minta respons daripada murid-murid.
Lihat rajah yang ketiga di sebelah kanan. Mengapa minda dikatakan serupa dengan payung terjun? Sila bincang.
Bagaimana pula tentang kartun yang dilukiskan oleh Lat ini? Bolehkan murid-murid menulis ayat-ayat atau karangan pendek berasaskan gambar ini? Cuba terlitikan durian yang terletak di kanan sekali dalam gambar ini dan cuba bayangkan apa akan berlaku apabila pelanggan perempuan itu bertunduk untuk memilih durian. Saya pasti gambar ini dapat menarik minat kanak-kanak yang memang memiliki sifat kenakalan pada setiap mereka.Akan disambung lagi...........
Sunday, October 24, 2010
1_Sahaja
- Apa maksud konsep-konsep itu?
- Mengapa begitu berani mencipta begitu banyak konsep? Pada halnya satu konsep pun sudah mencukupi untuk menerangkan banyak perkara dan bukan mudah difahami pun.
- Kalau 1_SJM (nama sekolah saya), boleh difahami. Tetapi siapakah saya untuk menciptakan konsep 1_PPD dan 1_JPNJ?
- ........................
Setakat ini, saya percaya pembaca pun sudah tahu penerangan yang akan saya berikan sekejap lagi (kecuali yang buta komputer-harap ada istilah ini. Akan tetapi yang buta komputer tidak akan melayari blog saya. Mungkin boleh juga dengan bantuan anak yang mencari dan mencetak untuk dibaca. Kalau begitu, nasihat saya, jangan bazir kertas kerana artikel ini tidak cukup kualiti untuk membazirkan kertas yang semakin mahal. Kalau terlayar, terjumpa, terbaca,...ok.)
Jawapan saya tentang 1_XXXXX untuk beberapa folder saya seperti 1_JPNJ, 1_PPD Klg dan 1_SJM ialah semua ini bukanlah konsep besar-besar. Hanya nama folder sahaja. Saya namakan sebegini supaya apabila saya sort folder saya mengikut nama, folder-folder ini akan disusun di atas, mudah untuk saya mencari fail-fail penting yang berkaitan dengan profesion sahaja. Bukankah saya sudah menyatakan bahawa sistem penamaan ini senang difahami, senang diamalkan, senang dibudayakan, jelas dinampak kebaikannya, mempunyai korelasi yang tinggi dengan realiti yang membawa kepada kemajuan?
Saya tahu ramai kaki komputer pun menggunakan sistem yang serupa. Oleh itu, jangan marah kalau rasa macam saya mengajar ikan untuk berenang. Saja mencetuskan pemikiran untuk perkara yang 'simple' pada hunjung minggu. Lagi pun sudah agak lama tidak upload artikel dalam blog ini.
Selamat membaca dan salam 1Malaysia.
Friday, September 17, 2010
Thinking Allowed Bergambar Sahaja
Monday, September 13, 2010
Kreativiti Dan Inovasi
- Cognitive Research Trust (CoRT Thinking) yang dipimpin oleh Edward de Bono memperkenalkan pelbagai alatan yang membantu melatih pemikiran kritis dan kreatif.
- Peta Minda yang dicipta oleh Tony Buzan untuk membuat nota yang kreatif dan efektif.
- Otak Kiri dan Otak Kanan yang diperkenalkan oleh Roger Wolcott Sperry.
- Sistem 4-MAT oleh Bernice McCarthy.
- KBKK - Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif.
- KBSB - Kemahiran Berfikir dan Strategi Berfikir.
- Pelbagai pedagogi seperti pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, teori pelbagai kecerdasan dan kajian masa depan.
Namun demikian, masih ada ruang dan peluang untuk kemajuan sekiranya setiap individu tidak kira pangkat atau peringkat ( Bukankah PM kata bahawa inovasi dan kreativiti milik semua, bukan untuk cerdik pandai sahaja?) cuba memikir dan bertindak secara aktif. Lebih-lebih lagi, dengan kemajuan ICT, internet telah menjadi satu saluran yang baik untuk mendapat dan mengkongsi pemikiran. Setakat ini, para guru yang sepatutnya berada di barisan depan masih kurang aktif dalam hal penulisan dan perkongsian pemikiran. Bagaimana kita dapat mendorong generasi yang muda untuk memikir secara aktif sekiranya kita sendiri tidak aktif? Saya berharap kita semua boleh membuat refleksi tentang hal ini semoga impian PM menjadi realiti.
Akhir sekali, adakah 'kreativiti dan inovasi' satu kewajiban atau satu pilihan sahaja? Secara peribadi saya berfikir, melainkan kita puas hati dengan keadaan di mana kita semakin ketinggalan, jawapannya ialah 100% wajib.
Sunday, September 12, 2010
XXXXX-Out
- Cop-Out : Yang tidak mempunyai cita-cita dan tidak mempunyai apa-apa komitmen.
- Hold-Out : Yang tidak yakin sama ada dapat berjaya atau tidak, oleh itu tidak komited.
- Drop-out : Yang berusaha ke arah mencapai cita-cita tetapi berputus asa setiap kali menghadapi kesukaran.
- All-out : Yang komited pada cita-cita dan matlamat serta sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapainya.
Setujukah anda bahawa hanya terdapat 4 xxxxx-out sahaja. Mari kita bersama-sama memanjangkan senarai ini berdasarkan pemerhatian atau pengalaman diri. Saya mengambil inisiatif untuk memulakan 'permainan pemikiran (thinking game)' ini dan harap-harap ada orang lain yang menyambung. (Saya juga terjangkit dengan cognitive bias-pessimism bias kerana berdasarkan pengalaman yang lepas, saya jangka lebih mungkin tidak ada orang yang sudi melibat bersama kerana budaya menulis masih pada tahap tamaddun yang awal.)
- Get-out : Yang cuba mencari kesempatan untuk cabut selepas menandatangani kehadiran. Komitmen-minima. Malangnya, sentiasa dinampak.
- Kicked-out : Yang menentang tak kira apa pun. Akhirnya tidak dilibatkan kerana lebih aman dan damai jika orang berkenaan tidak wujud. Mungkin sengaja merancang untuk di kick-out kerana langsung tidak ada komitmen.
- Kong-out : Yang rajin, cuba nak buat semua sekali sendiri, sangat komited tetapi akhirnya tak mampu, bimbang, stress, sakit,....akhirnya pengsan atau lebih serius lagi.
- Inside-out : Yang banyak berpengalaman, tahu segala selok-belok seperti mengetahui tangan sendiri dan dapat menjangka banyak perkara yang akan berlaku. Yang boleh memberi amaran, nasihat atau bimbangan---kalau baik dengannya. Kalau tidak,...... Komitmen? Berkorelasi positif dengan komitmen pemimpin sendiri.
- Eat-out : Yang berkhidmat di satu tempat tetapi komitmen di tempat yang lain. Sentiasa mencari-cari idea atau perkara yang baik untuk diekspot keluar tetapi kalau ada yang baik dari luar, diam-diam sahaja.
- Crawl-out : Yang sudah lama di dalam zon selesa. Komitmen boleh tinggi kalau diberi tugasan yang lama dan sama, atau, selesa kerana langsung tidak beri tugasan yang setimpal. Tetapi, jika diminta berubah, diberi tugasan yang baru atau diminta bertindak dengan lebih cepat, akan geram, marah, bising,...dan mengheret-heret kaki keluar dari 'Gua Selesa'.

Sebenarnya tengah syok menulis tetapi malangnya time-out kerana isteri dan anak nak saya bawa keluar makan supper. :-)
Friday, September 10, 2010
Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?) 3
6. Pessimism bias - Kecenderungan sistematik untuk menjadi terlampau pesimistik tentang hasil sesuatu tindakan yang terancang. Bagi sesuatu peristiwa yang akan berlaku, seseorang yang berjenis 'pessimism bias' lebih mungkin memikirkan hasil yang negatif daripada yang positif.
Contoh : Esok keputusan peperiksaan keluar, sekolah aku pasti ranking antara yang terbawah sekali.
Contoh : Tak perlu buat apa-apa. Bazir masa, tenaga dan wang sahaja. Susah-susah pun keputusan tak akan berubah. (Betul? Atau tak pernah cuba? Mengakui kalah sebelum cuba?)
7. The halo effect - Sejenis kepincangan kognitif di mana persepsi sesuatu ciri-ciri seseorang mempengaruhi persepsi satu atau lebih ciri-ciri lain orang itu. 'Halo effect' biasanya berlaku jika kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang ciri-ciri yang lain. Oleh yang demikian, satu atau dua ciri-ciri yang jelas itu 'mentenggelami' ciri-ciri yang lain.
Contoh: Budak ini nampaknya 'handsome', pakaian pun bersih. Mesti pandai belajar. (Suka saya mengkongsi satu peristiwa yang pahit lebih daripada 40 puluh tahun dahulu. Pada masa itu, saya terpaksa menaiki sebuah bas yang lalu ladang kelapa sawit sebelum sampai ke sekolah. Selalunya baju saya sudah berwarna oren dengan habuk dari jalan tanah merah apabila saya sampai ke sekolah. Pernah dipanggil oleh seorang guru yang 'relief' kelas saya ke depan untuk dipamerkan sebagai murid yang kotor dan tak pandai. Tak akan lupakan peristiwa ini. Peringatan yang baik kepada diri saya apabila saya menjadi seorang guru banyak tahun kemudian.)
Contoh: Budak itu pandai cakap. Sesuai menjadi peguam. (Ya? Apakah kandungan cakapan itu?)
Contoh: Budak itu datang ke sekolah dengan kereta Mercedes. Mestilah anak orang kaya. (Ya? Adakah kemungkinan dia anak kepada drebar orang kaya atau anak foreman kedai membaiki kereta Mercedes?)
8. A self-serving bias - Berlaku apabila pada seseorang yang selalu mengaitkan sesuatu kejayaan kepada faktor kehandalan diri sendiri tetapi sesuatu kegagalan kepada faktor-faktor luar yang di luar kawalan. Dengan kata lain: Berjaya--kerana diri sendiri; tak berjaya--kerana faktor yang tidak dapat dielakkan.
Contoh : Tahun lepas keputusan baik. Sebab? Teknik pengajaran dan pembelajaran yang kreatif saya amat berkesan. Tahun ini keputusan tak baik. Sebab? Kumplan budak tahun ini luar biasa malas.
Contoh : Calon SPM-Saya mendapat A dalam semua subjek kecuali Sejarah. Rahsia kejayaan saya? Saya orang yang amat berdisiplin. Bangun awal-awal untuk belajar. Buat banyak latihan mirip soalan SPM. Sentiasa membincang dengan rakan-rakan yang pandai. (Peranan guru tidak sekali pun dinyatakan.) Mengapa saya tidak dapat A dalam Sejarah? Sebabnya, guru Sejarah amat membosankan. (Kalau tidak berjaya, gurulah orang pertama yang ditembak.) Sukatan pelajaran pun tidak menarik. Format soalan tidak adil dan peperiksaan diadakan pada waktu petang. Cuaca pun panas. Dewan peperiksaan pun tiada air-con. (Tiada sekali pun kegagalan itu disebabkan oleh faktor diri sendiri.)
Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?) 2
3.Confirmation bias-Kecenderungan untuk menyebelahi maklumat yang menyokong prakonsepsi atau hipoteses diri tanpa mengambil kira sama ada maklumat itu benar atau tidak. Akibatnya, terdapat kecendurungan untuk mengumpul maklumat atau mengingat fakta-fakta dari ingatan secara 'pilih kasih' dan membuat pentaksiran pincang kepada keputusan yang diharapkan.
Contoh: Saya tidak akan lupa laporan berikut walau pun peristiwa itu telah berlaku satu masa yang sangat lama dahulu, ketika sains diperkenalkan semula di sekolah rendah. Kata seorang guru besar: Saya mengaturkan murid-murid Tahun 6 melawat makmal sains sebuah sekolah menengah premier sekali. Hasilnya--Keputusan Sains UPSR naik! (Mengapa tak lawat 10 kali supaya semua calon mendapat A?)
Contoh: Kita dah buat macam-macam program, termasuk baca beramai-ramai 5 minit sebelum waktu pertama, beri pil vitamin secara percuma-seorang sebiji pada awal Penggal 2, nyanyian lagu-lagu motivasi pada pagi peperiksaan, pasang banyak cermin untuk meningkatkan imej kendiri dan banyak lagi program yang sekolah lain tak buat. Hasilnya? Keputusan naik sedikit. (Apakah asas perbandingan itu? Adakah mungkinnya keputusan naik lebih banyak kalau program-program mengganggu itu dikurangkan? Atau-adakah naik/turun dalam 'error margin' sahaja? Sekali lagi, jangan salah faham--bukan tiada program tetapi berhati-hati dengan kesimpulan yang dibuat.)
4. The exposure effect - Suatu psikologi psikososial yang juga dikenali sebagai familiarity principle atau prinsip kebiasaan. Dalam kajian tentang daya tarikan interpersonal, semakin kerap seorang dilihat oleh orang lain, semakin orang itu disukai. Fenomena ini juga menerangkan mengapa seseorang lebih mungkin meminati dan memiliki barang atau perkara yang dia lebih biasa dengan.
Contoh: Mengapa orang itu dipilih walaupun ada orang lain yang lebih senior dan berkelayakan? Jawapan: Dia sentiasa menunjukkan muka diri. Dia selalu main golf dengan orang besar-besar.
Contoh: Mengapa bertahun-tahun, orang yang sama melakukan kerja yang sama? Jawapan: Dah biasa, lebih mudah nak buat. Mereka pun suka, bertahun-tahun buat sampai tutup mata pun boleh buat. (Tetapi dulu buat, muda lagi, DG 41 lagi, sekarang dah meningkat secara kronologi(kurang sensitif), dah DG44 atau DG48, masih buat kerja yang sama? Bukan tak boleh tetapi siapa yang buat kerja yang lebih kompleks? Yang DC41?)
5. Negativity bias- Suatu fenomena psikologi di mana orang lebih menumpukan perhatian dan memberi keberatan yang lebih kepada pengalaman yang negatif daripada yang positif.
Contoh: Guru A kepada Guru B : Murid ini kreatif, cepat pemikirannya, aktif dan respon dengan cepat kepada soalan-soalan guru. Cuma satu perkara-seperti budak-budak yang IQ tinggi budak ini kurang sabar dan suka bising di kelas. Kesimpulan Guru B : Budak ini kurang sabar dan selalu bising di kelas. Saya perlu disiplinkan dia.
Contoh: Penceramah : Amalan kepimpinan transformasional menuntut pemimpin sebagai contoh, boleh mempengaruhi guru untuk meningkatkan mutu, boleh membawa sekolah ke satu tahap kecemerlangan yang lebih tinggi. Usaha ini amat penting membantu mentransformasikan negara ke tahap negara yang maju. Suka tak suka, ini bermaksud pemimpin perlu mementingkan organisasi lebih daripada diri dan perlu memikul beban yang besar. Peserta : Tambah beban, lebih banyak kerja. Stress!
Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?)
Pagi ini saya ingin menulis sedikit berkenaan 'cognitive bias'. Saya tidak dapat mencari satu istilah yang setara dalam Bahasa Malaysia. Oleh itu saya cuba menterjemahkan kepada 'kepincangan kognitif'. Mengikut Wikipedia : A cognitive bias is the human tendency to make systematic errors in certain circumstances based on cognitive factors rather than evidence. Such biases can result from information-processing shortcuts called heuristics. They include errors in statistical judgment, social attribution, and memory. Cognitive biases are a common outcome of human thought, and often drastically skew the reliability of anecdotal and legal evidence. It is a phenomenon studied in cognitive science and social psychology.
Terdapat beberapa jenis kepincangan kognitif yang rakan-rakan dapat membaca dari laman Wikipedia. Saya percaya rakan-rakan akan mendapati bahan-bahan bacaan ini amat berkaitan dengan profesion sendiri. Saya akan mengemukakan beberapa contoh dan cuba kaitkan dengan konteks profesion saya mengikut taksiran diri sendiri. Sama ada taksiran itu jitu atau tidak, boleh dibincangkan selanjutnya. Lagi pun, kita sentiasa diminta berfikir secara kritis dan kreatif, membincang, membaca dan menulis demi untuk memberi harapan kepada negara dalam usaha menjadikan negara kita sebuah negara yang maju di mana inovasi menjadi jentera utama untuk kemajuan. Saya ingin mengemukakan beberapa contoh amalan di sekolah yang mungkin boleh membinggungkan perasaan pembaca (yang makan cili sendiri rasa pedas) tetapi harap berfikiran positif kerana provokasi pemikiran ini adalah bertujuan untuk membuat refleksi tentang beberapa amalan selama ini.
1. The quick fix mentality, juga dikenali sebagai the magic pill mentality - Pemikiran bahawa kebanyakan perkara dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah jika anda mencari penyelesaian yang betul.
Contoh: Ramai murid dari SJK tidak menguasai Bahasa Melaysia - Adakan 'Latihan Dalam Perkhidmatan' atau LDP dan buat mudul belajar. Semuanya 'kautim' (beres atau selesai).
Contoh: Beg murid-murid besar dan berat -a) Sediakan loker di sekolah, 'kautim'. b) Semua murid dibekalkan laptop dan ebook, 'kautim' c) Adakan jadual anjal, kurangkan subjek sehari, 'kautim'.
Contoh: Murid-murid hanya mementingkan peperiksaan, mendapat A (atau A+ memandangkan A sudah tak cukup), kurang aktif, kurang inovatif dan kurang inisiatif - a) Adakan Kelab Aktif, Inovatif dan Inisiatif, 'kautim'. b) Mansuhkan peperiksaan, 'kautim'.
2.The bandwagon effect - Percaya dan melakukan sesuatu perkara hanya kerana ramai orang lain percaya dan buat perkara itu.
Contoh: Kelas tuisyen malam. Mengapa buat? Orang lain buat.
Contoh: Ceramah Teknik Menjawab Soalan-soalan Peperiksaan Awam. Nampaknya macam tak berkesan-- begitu lewat, tinggal beberapa hari lagi sudah periksa; beramai-ramai di'sardin'kan di dalam kantin di atas bangku panjang tanpa meja; bersaing-saing bercakap--suara yang paling tak didengar ialah suara penceramah; panas, lapar dan tak dapat tumpu perhatian. Mengapa buat? Jawapan: Orang lain buat. Ramai buat. Dulu buat. Tak senang kalau tak buat. (Jangan salah faham. Kalau buat biar strategik dengan mengambil kira faktor kesesuaian masa, tempat, kumpulan sasaran, cara penyampaian dll.)












