Pendidikan holistik perlu mengambil kira JERIS-Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial(tambahan). Tidak perlu dibincang dengan panjang lebar di sini kerana semua yang terlibat dalam bidang pendidikan di Malaysia tahu (atau patut tahu). Amalan? Cerita lain.
Hujung tahun ialah musim perbandingan prestasi Peperiksaan Percubaan PMR dan kemudian Peperiksaan Percubaan SPM antara satu sekolah dengan sekolah lain di dalam daerah atau pun negeri. Masih ingat satu masa dahulu, kami dari sekolah 'biasa' tidak berani duduk di depan dalam majlis perjumpaan pengarah dengan pengetua-pengetua satu negeri. Lagipun, dalam sistem perbandingan yang sedia ada, adalah lebih wajar pengetua-pengetua dari sekolah-sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah kawalan duduk di depan--lebih menjimat masa semasa menerima anugerah di atas pentas.
Kami amat peka apabila ranking mengikut gred purata di paparkan dalam PowerPoint dan dicetak untuk edaran semua. Kami, dari sekolah 'biasa', bermula dari muka surat belakang buku ranking untuk mencari kedudukan sekolah sendiri. Bukan kata perbandingan tidak baik. Perbandingan akan mencetuskan persaingan dan usaha untuk meningkatkan kecemerlangan akademik (kalau sementara ini, mengetepikan pendidikan holistik dalam perbincangan ini). Ranking adalah baik untuk perbandingan antara sekolah yang sama jenis.
Tetapi, jika ranking dibuat secara menyeluruh, merangkumi semua jenis sekolah, perlu difikirkan formula yang lebih wajar dan jitu supaya memberi gambaran yang lebih benar. Sebagai contoh, sebuah sekolah menengah tertentu hanya menerima murid-murid straight A dalam UPSR. Jika sekolah itu menghasilkan 50% murid straight A dalam peperiksaan PMR, adakah sekolah itu lebih cemerlang jika dibandingkan dengan sebuah sekolah menengah yang menerima murid-murid yang 'baki' tetapi berjaya menghasilkan 1% murid straight A dalam PMR? Kadang-kadang perbandingan seperti ini menyebabkan guru/pentadbir sesetengah sekolah berusaha berlipat ganda untuk mencemerlangkan murid-murid. Usaha ini harus disanjungi walaupun hasil masih belum pasti lagi. Tetapi, di sesetengah sekolah, sistem perbandingan ini membolehkan murid-murid cemerlang mencemerlangkan guru/pentadbir. (Thinking allowed-boleh tidak bersetuju.)
Persaingan sihat akan menghasilkan kecemerlangan. Namun demikian mekanisme atau formula perbandingan boleh dimurnikan untuk mencerminkan keadaan yang lebih jitu dan menggerakkan sesetengah orang dari zon keselesaan. Saya ingin mencadangkan formula yang berikut sebagai permulaan. Formula ini mungkin masih boleh diperbaiki lagi, tetapi setakat ini peranan saya hanya untuk mencetuskan pemikiran yang lebih kritikal untuk kebaikan semua.
Formula:
Saya ingin mencadangkan penggunaan indeks perbandingan, I, di mana
I = (Gred purata keseluruhan peperiksaan / Gred purata UPSR) x 100
untuk Tingkatan 1, 2 dan 3.
Semakin kecil nilai I, semakin cemerlang sekolah itu dalam aspek peperiksaan berkenaan.
Contoh:
Sekolah A (Kawalan)
Pengambilan murid ke Tingkatan 1, semua straight A. Gred purata keseluruhan yang menjadi TOV ialah 1.0.
Gred purata keseluruhan peperiksaan akhir tahun = 1.96.
Indeks perbandingan,
I = 1.96/1.0 x 100 = 196
Sekolah B (Biasa)
Pengambilan murid ke Tingkatan 1 - Gred purata keseluruhan UPSR yang menjadi TOV ialah 3.25.
Gred purata keseluruhan peperiksaan akhir tahun = 3.87.
Indeks perbandingan,
I = 3.87/3.25 x 100 = 119
Jika ranking dibuat, sekolah B adalah lebih tinggi daripada sekolah A. Ada perluang untuk duduk di depan. Setuju atau tidak?
Cadangan, pandangan atau kritikan dialu-alukan.
1 comment:
Pada pandangan saya, kalau sebuah sekolah A (Kawalan) yang hanya menerima murid straight A, telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 80% bukan merupakan suatu perkara yang luar biasa. Tetapi, kalau sebuah sekolah B (Biasa)yang hanya menerima pelajar 'baki', telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 10%, ia baru dikatakan sebagai suatu perkara yang luar biasa dan harus diberi kepujian. 10Q
Post a Comment