
Selepas setiap aktiviti berkumpulan di mana satu atau dua isu berkenaan dengan pendidikan dibincangkan, hasil perbincangan itu ditulis (kadang-kadang dilukis) dalam kertas mahjong, dipaparkan untuk dikomen dan dinilai oleh ahli-ahli kumpulan-kumpulan lain. Sesi ini yang dibimbing oleh En Hassan Topit dengan bantuan En Adam Adas dan rakan-rakan di Urusetia, walau pun panjang (8 pagi hingga 1 petang), bukan sahaja tidak membosankan, sebaliknya berjaya menyebabkan suasana interaktif yang berproduktif. Jika suara keseronokan dan ketawa yang berjangkit-jangkit boleh menjadi kayu ukur sesi ini, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada tuan penceramah dan pembantu-pembantu beliau.
Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengemukakan dua perkara yang timbul di dalam minda saya ketika mengikuti sesi tersebut. Yang pertama, saya ingin mengaitkan dengan satu aktiviti yang bernama 'Continue-Stop-Start' semasa sesi input itu. Dalam aktiviti ini, setiap kumpulan diminta menulis perkara-perkara berkenaan pendidikan di sekolah yang harus diteruskan, ditamatkan dan dimulakan. Walaupun macam-macam respons diberi oleh kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada orang-orang yang mempunyai pengalaman dan latar belakang yang berlainan, terdapat beberapa respons yang popular dikemukakan oleh hampir semua kumpulan, antaranya berkenaan dengan audit akademik, yuran murid, BISP, tandas terbuka, PPSMI .... Adakah hasil aktiviti itu memberi sesuatu mesej penting berkenaan isu-isu yang genting di sekolah?
Yang kedua, jika sesi yang aktif itu berjaya memikat hati peserta-peserta yang 'tua-tua', apa lagi kalau kaedah yang serupa dapat dijalankan di dalam bilik darjah di mana orang-orang muda pasti lebih bertenaga dan aktif. Mesej yang ingin saya membawa di sini ialah pembelajaran yang aktif disukai ramai. Berkenaan pengajaran yang aktif dan kreatif, saya mengakhiri dengan peringatan : Jangan lupa; semua suka.
No comments:
Post a Comment