Kolaborasi antara Pejabat Pelajaran Daerah Kluang (PPDK) dengan pihak pengurusan Kluang Mall dalam melaksanakan aktiviti Pertandingan Silat Seni Daerah Kluang pada 19 dan 20 April 2011 merupakan satu kejayaan kepada kedua-dua pihak. Kita dapat mengkaji dengan lebih lanjut lagi kejayaan ini berdasarkan aspek-aspek tersenarai di dalam grid Hapuskan-Kurangkan-Tingkatkan-Ciptakan.
Hapuskan
Pada kebanyakan masa, sekolah kerajaan adalah terpencil dari masyarakat. Orang awam tidak mempunyai pemahaman yang cukup tentang apa yang sebenarnya berlaku di sekolah. Tambahan lagi dengan media-media massa yang sering menyiarkan isu-isu negatif seperti masalah disiplin di sekolah, keadaan ini mudah memberi satu persepsi yang negatif di kalang orang ramai tentang sekolah kerajaan. Aktiviti-aktiviti sekolah seperti pertandingan silat di pusat beli-belah dapat menanggalkan sempadan sekolah-masyarakat dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang pelbagai aktiviti sihat yang dijalankan di sekolah.
Pihak penganjur pertandingan tersebut harus dipuji kerana berani mencuba idea yang baru dengan ‘membawa sekolah ke masyarakat’ setelah menghapuskan mitos dan stereotaip di mana pertandingan mesti dijalankan di tempat yang spesifik seperti sekolah, gelanggang stadium dalaman atau dewan seperti yang berlaku pada masa-masa yang lepas.
Kurangkan
Sudah pasti apabila pihak Kluang Mall dengan besar hatinya membenarkan kemudahan seperti ruang legar, sistem pembesar suara, pentas, lampu-lampu, penyaman udara dan perabot digunakan untuk pertandingan tersebut, semuanya secara percuma, perbelanjaan untuk menguruskan pertandingan itu telah dikurangkan dengan banyak. Kemudahan fizikal Kluang Mall yang lengkap, kemudahan untuk membeli makanan dan minuman dan lokasi yang mudah di akses oleh pelbagai jenis pengangkutan telah mengurangkan banyak masalah logistik yang biasa dihadapi pada masa-masa yang lepas. Juga, dengan memindahkan pertandingan keluar dari sekolah, masalah gangguan pengajaran dan pembelajaran dapat dikurangkan. Tambahan lagi pertandingan di pusat beli-belah yang merupakan satu amalan yang baru dan segar dapat mengurangkan kebosanan para peserta.
Tingkatkan
Kerjasama antara sekolah dan pihak swasta dapat ditingkatkan melalui aktiviti ini. Selain daripada meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sekolah, pertandingan ini juga membuka peluang untuk kaum-kaum yang bukan Melayu untuk memahami satu tradisi penting orang Melayu. Sudah pasti jika pertandingan silat dijalankan di sekolah orang ramai, khasnya, dari kaum yang bukan Melayu tidak berpeluang untuk menyaksinya. Suasana pertandingan di pusat beli-belah adalah lebih kondusif berbanding dengan sekolah kerana sistem penyaman udara, alatan pembesar suara, sistem cahaya dan tempat duduk penonton yang bertahap profesional sedia ada di situ. Mengadakan aktiviti di tempat orang ramai juga dapat melatih meningkatkan keyakinan serta keberanian para perserta yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah dan menengah. Perkara ini dapat membantu sekolah dalam usaha meningkatkan ketrampilan dan kemahiran lembut (soft skills) murid-murid.
Ciptakan
Kolaborasi ini telah melahirkan satu simbiosis di mana saling membantu antara institusi pendidikan kerajaan dengan pihak swasta telah menguntungkan kedua-dua pihak berkenaan. Usaha ini juga dapat menarik penonton yang tidak terancang. Maksud penonton yang tidak terancang ialah penonton yang sebenarnya bukan menghadiri diri untuk tujuan menyaksikan pertandingan itu. Mereka secara kebetulannya berada di sana untuk membeli-belah dan tertarik oleh pertandingan itu. Kumpulan orang ini juga termasuk pelancong yang sedang berada pada ketika itu. Konsep pendidikan tanpa sempadan yang dilahirkan oleh usaha pentandingan dalam pentas terbuka merupakan satu langkah yang inovatif dan positif ke arah memartabatkan sekolah kerajaan. Di samping itu, usaha ini membuka ruang dan peluang untuk promosi dua hala di mana sekolah dapat mempromosikan aktiviti-aktiviti dalam sistem pendidikan kerajaan kepada orang ramai dan pihak swasta dapat mempromosikan perniagaan mereka.