Beberapa minggu yang lalu berita telur tiruan yang dijual di Malaysia hampir setanding hebat dengan berita tsunami di Jepun. Pada ketika itu ada dakwaan bahawa terdapat telur tiruan yang dijual di beberapa tempat beli-belah di Pulau Pinang. Setelah dilaporkan tentang kewujudan telur tiruan dipasaran, pihak berkuasa bertindak dengan begitu cepat untuk merampaskan beberapa ratus biji telur di beberapa tempat jualan yang dakwaan itu berlaku. Dengan kadar yang hampir segera, terdengar dan terbaca pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkuasa, pakar-pakar, pertubuhan-pertubuhan pengguna yang bersaing-saing dan berlumba-lumba, tentang bahayanya telur tiruan ke atas kesihatan, isu moral menjual telur tiruan, desakan untuk tindakan diambil dan macam-macam lagi yang dapat diluahkan. Namun begitu, beberapa hari kemudian, telah dibuktikan oleh pihak yang boleh dipercayai bahawa isu itu telah pun diselesaikan dan siaran oleh pihak berkuasa menyatakan bahawa isu telur tiruan yang berlaku di Pulau Pinang adalah tidak benar. Setelah diuji oleh Jabatan Veterina yang telah mengambil sampel telur yang didakwa telur tiruan itu didapati semua telur itu adalah telur asli.
Saya tidak pasti sama ada murid-murid di sekolah sempat meluangkan masa untuk mengikut berita ini. Saya harap atas kerajinan mereka untuk mengulangkaji buku-buku teks mereka terlepas mengikuti berita yang hangat ini. Mengapa? Sebabnya ialah jika mereka tanya guru (khasnya guru sains) mereka mengapa pihak yang berkuasa dan pakar-pakar boleh buat kesimpulan dengan cepat-cepat tanpa menguji sesuatu hipotesis yang dibuat tetapi murid-murid di sekolah tidak boleh, saya pasti guru akan menghadapi cabaran yang besar untuk menjawab. Bagaimanakah guru dapat menegaskan kepada murid-murid tentang suatu penyiasatan saintifik, sesuatu hipotesis mesti diuji sebelum dipastikan hipotesis itu benar atau tidak jika mereka telah membaca berita telur palsu yang palsu itu? Mereka mungkin akan menuntut markah yang lebih jika mereka buat kesimpulan tanpa menguji sesuatu hipotesis dengan merujuk kepada kes telur tiruan yang dilaporkan itu. Cabaran baru guru - Tidak mudah lagi untuk memberi markah yang biasa diberi kepada mereka yang melompat ke sesuatu kesimpulan tanpa menjalankan siasatan saintifik, iaitu, markah telur.
No comments:
Post a Comment