Wednesday, December 23, 2009

Kayu Ukur Yang Berbeza (Sepatutnya) 2

Rajah menunjukkan tiga sekolah A, B dan C masing-masing dengan min prestasi murid Min A, Min B dan Min C pada awal tahun. Sekolah A menghadapi cabaran yang besar dengan nilai min TOV yang rendah dan varians yang besar (ketidakseragaman yang besar). Sebaliknya, sekolah C mempunyai murid dengan min TOV yang tinggi dan varians yang kecil (keseragaman yang tinggi). Enrolmen sekolah C jauh kurang berbanding dengan sekolah A dan B. Dengan 'bahan mentah' yang begitu tingginya kualitinya bertambah dengan 'advantage' enrolmen yang kecil, cabaran sekolah C ialah untuk meningkatkan kualiti 'produk' yang dihasilkan.

Katakan secara hipotetikal, pada hujung tahun, terdapat perubahan dalam pencapaian ketiga-tiga sekolah seperti ditunjukkan dalam rajah yang sama.
  • Sekolah A menunjukkan sedikit peningkatan dalam nilai min dan jumlah bilangan cemerlang bertambah. Tetapi, taburan masih besar dengan varians yang hampir sama dengan awal tahun. Walau bagaimana pun, pada keseluruhan ada peningkatan kualiti yang jelas diperhatikan dengan satu anjakan graf ke kanan.
  • Sekolah B telah menunjukkan peningkatan dalam nilai min dan penurunan dalam nilai varians (graf menjadi semakin 'kurus'). Sekolah ini berjaya mengurangkan bilangan murid yang berprestasi rendah dan menganjakkan sebilangan murid ke prestasi tinggi dan mengurangkan ketidakseragaman kebolehan murid.
  • Sekolah C menunjukkan kemerosotan nilai min berbanding dengan awal tahun. Lebar graf yang hampir sama menunjukkan keseragaman kebolehan murid dikekalkan. Namun demikian, anjakan graf ke kiri telah menunjukkan kemerosotan pada keseluruhan.
Walau bagaimana pun, kalau kita perhatikan rajah itu sekali lagi, jelas diperhatikan bahawa jika kayu ukur yang sama digunakan dan ketiga-tiga buah sekolah dilonggokkan bersama (dan semua sekolah yang lain) dan disusun dengan 'ranking' mengikut prestasi min markah, sekolah C masih di atas sekolah B dan A.

Ucapan tahniah kepada sekolah yang mana satu? Anugerah kepada sekolah yang mana satu? Yang mana satu mencerminkan kejayaan kepimpinan sekolah? Itu pun hanya dilihat dari aspek akademik. Apa pula dengan aspek yang lain? Bukankah yang sentiasa ditegaskan ialah pendidikan holistik, kebolehpasaran, ketrampilan.....?

Minta maaf, banyak soalan tetapi tiada jawapan. Cuma 'thinking allowed' dan 'thinking aloud' sahaja. Terima kasih.

No comments: