Saturday, December 25, 2010

'Chalk-n-talk'

Banyak telah dibahaskan tentang 'chalk-n-talk' dalam bilik darjah. Kadang-kadang perbahasan (atau perbincangan) adalah sedemikian seolah-olahnya 'chalk-n-talk' adalah sesuatu yang salah atau sekurang-kurangnya sesuatu yang tak betul. (Secara kritikalnya, istilah 'salah' dan 'tak betul' adalah berlainan. Setujukah anda?)

Kalau 'chalk-n-talk' adalah salah, mengapa setiap kelas masih dibekalkan dengan papan hitam dan guru-guru dibekalkan dengan kapur (chalk)? Jangan kata sesetengah kelas tiada papan hitam dan kapur tidak digunakan-papan putih dan 'whiteboard marker' juga sama. Cuma, elakkan 'chalk-n-talk only'. Elakkan juga 'chalk-n-chalk' (tulis sahaja, tak cakap pun); 'talk-n-talk' (cakap sahaja, tak tulis pun); 'no chalk no talk' (masuk, duduk sahaja, apa pun tak buat).

'Chalk-n-talk' masih penting dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi harus diintegrasikan dengan kaedah lain yang mungkin melibatkan multimedia juga untuk menarik perhatian dan minat murid-murid. Suka tak suka, tidak dapat dinafikan bahawa dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran (melainkan di makmal atau bengkel), sebahagian besar masa diperuntukkan untuk 'chalk-n-talk'.

Saya dapati bahawa kemahiran menggunakan papan hitam dan kapur jarang dibincangkan. Sebenarnya jika kapur boleh digunakan dengan efektif, terdapat banyak faedahnya. Hari ini ialah hari cuti perayaan Kristmas dan saya mengambil kesempatan ini untuk pergi ke sebuah 'hypermarket' untuk membeli-belah. Perhatian saya tertarik kepada beberapa paparan lukisan dan penulisan yang dihasilkan dengan penggunaan kapor pelbagai warna di atas papan-papan hitam. Walaupun setakat menggunakan kapor berwarna dan papan hitam yang biasa, hasil karya sungguh menarik. Barangkali guru-guru boleh meneliti hasil-hasil karya tersebut, membandingkan dengan hasil-hasil diri di atas papan hitam kelas dan membuat satu keputusan sama ada terdapat sesuatu yang boleh dipelajari dari paparan-paparan 'hypermarket' itu.

Berkenaan penggunaan kapur kalau stok kapur putih cepat habis tetapi stok kapur warna tak habis-habis, kemungkinan besar guru-guru jarang menggunakan kapur selain daripada kapur putih. Kalau begitu, jangan salahkan murid-murid jika mereka cepat bosan. Dunia mereka berwarna-warni dan mereka sangat benci (harap tidak dituduh membuat generalisasi tanpa sokongan data) alam hitam (papan hitam) dan putih (kapur putih). Apa lagi, dengan dos pekat-pekat ubat tidur dalam bentuk tulisan yang susah dibaca, berwarna putih, macam cakar ayam dan tanpa ilustrasi.

Apa kata jika terdapat bengkel tentang kemahiran menggunakan kapur berwarna dengan berkesan? Jangan ketawa, bengkel seperti ini kalau dapat dijalankan dengan betul-betul boleh mendatangkan jauh lebih manfaat daripada kursus-kursus yang 'berglamour' tetapi dengan amat sedikit nilai tambah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Perhatikan gambar-gambar di sebelah kanan. Tujuan paparan-paparan itu adalah untuk menarik perhatian pelanggan untuk membeli item-item yang diiklankan. Sudah pasti lukisan dan tulisan yang berwarna-warni lebih mudah menarik perhatian pelanggan. Begitu juga, tulisan dan lukisan di atas papan hitam di dalam bilik darjah harus berkreatif dan inovatif untuk menarik perhatian murid-murid (pelanggan). Jangan anggap murid-murid di dalam kelas adalah berlainan dengan pelanggan-pelanggan di sebuah 'hypermarket' dengan memberi sebab murid-murid adalah 'captive audience' yang tidak ada pilihan manakala pelanggan-pelanggan di dalam 'hypermarket' mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan. Murid-murid hanya di'tawan' secara fizikal tetapi minda mereka tetap bebas seperti pelanggan-pelanggan di 'hypermarket'. Oleh itu konsep iklan untuk menarik pelanggan tetap sama tidak kira di bilik darjah atau di 'hypermarket'. Saya tahu bahawa ada guru yang akan kata kalau hendak melukis seperti gambar-gambar itu, sukatan pelajaran tidak akan habis diajar. Betulkah? Bukankah itu jawapan standard untuk cadangan-cadangan seperti berikut?

  • Menggunakan alat bantu mengajar.
  • Menggunakan ICT dan multimedia.
  • Menggalakkan 'hands-on' waktu pengajaran dan pembelajaran.
  • Menggunakan simulasi, main peranan, perbincangan berkumpulan,.....
Chorus: SUKATAN TAK HABIS.....SUKATAN TAK HABIS.....SUKATAN TAK HABIS.......Cerita pun habis.


Sahaja 'Thinking Allowed' sempena cuti Kristmas ini. Jangan marah dan 'MERRY CHRISTMAS'.






   




2 comments:

Unknown said...

salam. kali pertama saya mengunjungi di sini dan teruja membaca altikel ini. gambar yang menarik ini membuatkan saya ingat kembali zaman persekolahan saya yang hanya ada kapur di dalam kelas. setiap kali menyambut hari kanak-kanak atau hari guru, papan hitam akan dijadikan sebagai backdrop dan hanya akan dihias dengan lukisan mirid yang menggunakan kapur sahaja. murid-murid dengan kreatifnya menggunakan kapur menghasilkan pelbagai corak dan begitu mahir menggabungan warna untuk menghasilkan backdrop yang cukup menarik.

mengajar menggunakan kapur merupakan satu cara yang paling saya gemar, bukan kerana senang, tetapi saya sungguh seronok melihat pelajar mengikut setiap pegerakkan saya di atas pentas dan bukannya melihat pada skrin besar di hadapan. pelajar mengikuti lukisan yang dilukis , setiap langkah kerja untuk pengiraan...bagi saya, memang gunakan kapur lebih live.

Thinking Allowed said...

Terima kasih. Sudah lama tiada orang komen blog saya. Barangkali majoriti tidak suka fikir susah-susah. :-)