Seorang guru yang cemerlang tidak semestinya seorang guru cemerlang. Sebaliknya pun mungkin. Satu soalan yang boleh ditanya di sini ialah: Yang mana satu adalah lebih benar: Seorang guru yang cemerlang mencemerlangkan sekolah, atau, sekolah yang mencemerlangkan seorang guru? Kalau mengikut kaedah perbincangan saintifik, adakah kecemerlangan seseorang guru itu satu pembolehubah yang bersandar kepada ekosistem sekolah yang dihasilkan oleh gabungan faktor-faktor seperti kepimpinan ketua, suasana fizikal sekolah, persekitaran, sosio-ekonomi ibu bapa, elemen pemuafakatan, budaya dan etika kerja. Atau, faktor kecemerlangan seorang guru adalah satu pembolehubah yang tak bersandar (independent variable) yang tetap tidak berubah tidak kira apa keadaan sekitar atau ekosistem beliau berada?
Perkara ini harus difikir sedalam-dalamnya dan dikaitkan dengan isu-isu yang saya senaraikan di bawah. Isu-isu ini masih tidak eksklusif lagi.
- Adakah benar sesetengah sekolah amat kurang guru yang cemerlang kerana memang sekolah itu dibekalkan dengan guru-guru yang kurang bermutu berbanding dengan sekolah yang mempunyai ramai guru yang cemerlang? Setakat saya tahu, penempatan seseorang guru itu tidak merujuk kepada kecemerlangan beliau, hanya mengikut opsyen dan keperluan sekolah.
- Adakah patutnya sekolah yang mempunyai ramai guru yang cemerlang mengkongsi dengan sekolah lain sama ada dipinjam atau dipindahkan? Kalau mengikut (1), semua sekolah ada guru yang berpotensi untuk cemerlang.
- Kalau sekolah masing-masing tidak mewujudkan ekosistem yang membolehkan guru-guru mengembangkan potensi mereka untuk menjadi cemerlang, adakah adilnya, sekolah lain yang ada usaha melatih, membimbing dan menggalakkan guru-guru menjadi cemerlang itu didenda dengan kehilangan guru-guru seperti ini kepada sekolah yang kurang usaha ke arah itu?
- Jika kecemerlangan seseorang guru adalah bersandar kepada ekosistem asal, apakah yang menjamin beliau terus usaha dalam ekosistem yang kurang subur? Mungkinkah ini mengakibatkan situasi kalah-kalah atau rugi-rugi?
- Bukankah baiknya, sekolah yang ingin memperoleh ramai guru yang cemerlang berusaha untuk menyemai guru-guru sendiri supaya menjadi cemerlang? Bukankah baiknya, kita suburkan tanah di kebun sendiri supaya pokok-pokok di taman kita menghasilkan buah yang manis daripada membazir terlalu banyak masa cuba memetik buah-buahan yang manis ditanam oleh jiran?
No comments:
Post a Comment