Saya pernah menulis satu artikel bertajuk 'Form And Substance' dalam blog saya. Dalam artikel itu, saya menerangkan penulisan Richard Feynman berkenaan dengan pseudoscience, satu amalan yang dinyatakan sebagai sains tetapi tidak mematuhi kaedah sains yang sepatutnya, tidak dapat diuji benar secara saintifik dan mempunyai kebolehpercayaan yang rendah. Pagi ini, saya terbaca satu artikel yang hampir serupa berkenaan dengan amalan sekumpulan orang asli di sesuatu kawasan terpencil yang menyembah sejenis 'burung' yang besar, dengan badan yang licin dan kilat, terbang dengan cepat tanpa menggerakkan kepak, mempunyai kaki yang luar biasa dan mengeluarkan asap semasa terbang. Mereka tidak mengenali jenis burung itu. Itu tidak penting. Yang lebih penting, mereka tahu bahawa setiap kali burung itu bersinggah di satu kawasan yang lapang, mereka akan mendapat bekalan makanan yang percuma.
Satu masa kemudian, 'burung' itu tidak lagi terbang ke kawasan mereka. Dengan harapan untuk mendapat bekalan makanan percuma semula, penghuni-penghuni itu mula menggunakan bahan-bahan sekitar mereka seperti kayu, ranting dan daun untuk membina seekor 'burung' itu dan mula menyembah kepadanya. Mereka tetap tidak dapat makanan yang percuma seperti diharapkan.
Apa kata jika penghuni-penghuni di atas diberi seekor 'burung' yang sebenar itu? Dapatkah mereka menikmati makanan yang percuma seperti dahulu? Pasti tidak--kerana faktor kejayaan (maksud di sini ialah bekalan makanan yang percuma) tidak bergantung kepada 'burung' itu sahaja. Terdapat banyak faktor yang lain yang wajib untuk menentukan kejayaan itu. Selain pemandu 'burung' yang mahir, perlu juga staf sokongan yang memastikan terdapat satu kawasan yang lapang dan selamat untuk disinggah oleh 'burung' itu. Selain itu, perlu ada pembekal makanan secara percuma, sistem pengangkutan makanan yang cekap, pembantu-pembantu yang menilai, merekod, menganalisis dan melapor kesesuaian kuantiti dan kualiti makanan, prestasi penghuni-penghuni yang menerima makanan, dan banyak lagi. Mana-mana satu faktor yang kurang akan menjejaskan pencapaian objektif yang diidam-idamkan.
Adakah rakan-rakan mendapati penulisan saya macam semakin kabur dan tidak jelas apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan? Minta maaf jika ada yang berfikiran begitu. Kini zaman yang kabur. Tak percaya, sila pandang ke arah langit.
No comments:
Post a Comment