Sunday, July 1, 2012

Bengkel Pengajaran Sains, 30-6-2012, UKM (2)

Sering kita dapati pelbagai seruan, cogan kata, panggilan, desakan,.... yang berhenti pada situ sahaja, iaitu pada bunyi sahaja. Oleh itu, 'Science is Fun' tidak harus menjadi satu tambahan kepada kategori di atas. 'Science is Fun' harus menjadi satu usaha, satu amalan, satu misi dan satu tindakan profesional yang berterusan. Untuk tujuan itu, perlu kita takrifkan apa itu 'fun'. Mengikut Wiktionary, Fun - Enjoyable, amusing....; Fun - amusement, enjoyment or pleasure..... Kata-kata kunci yang boleh dikaitkan dengan 'Fun' ialah keseronokan, ketawa, gembira, mudah, jenaka, terlibat, buat, faham,....
Tidak dinafikan bahawa mengajar sains bukan sesuatu yang mudah. (Teaching of science is an intellectually rigorous job.) Belajar sains lagi mencabar. (Learning is even tougher.). Antara cabaran guru sains ialah menjadikan sesi pengajaran sains itu menarik dan juga berkesan. Kita tidak boleh menganggap korelasi positif yang automatik antara menarik dan berkesan. Sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran boleh menarik tetapi tidak berkesan. Tiada satu kaedah adalah sesuai untuk semua keadaan.Terdapat banyak pemboleh ubah yang perlu diambil kira dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah faktor sosio budaya, keadaan fizikal, kemampuan intelek murid-murid, kedudukan geografi dan trend atau fesyen terkini.
Kalau hendak menjadikan sains itu seronok, kita mesti boleh mengaitkan unsur-unsur keseronokan dengan sains. Ahli psikologi menggunakan istilah 'priming' untuk menerangkan  kesan implisit pada ingatan di mana sesuatu pendedahan kepada suatu rangsangan mempengaruhi respons kepada satu rangsangan yang lain kemudian. Jika kita menggunakan satu rangsangan yang menarik seperti gambar, kartun, cerita untuk mengaitkan sesuatu konsep sains yang diajar, pembelajaran sains akan menjadi lebih kontekstual dan bermakna. Penggunaan kartun yang sesuai dapat membantu dalam banyak aspek pengajaran sains, antaranya termasuk memudahkan murid-murid untuk melihat (visualise), melibat (engage), berimaginasi, berfikir, berkomunikasi dan berkreatif. Peranan kartun dalam mengkontekstualkan konsep sains untuk memudahkan (simplify), menarik minat (arouse interest), mengkonsepsikan  dan beresonans amat penting dalam usaha untuk memupuk pengajaran yang kreatif dan efektif. Setiap orang guru harus ingat bahawa minat murid menjadi penentu yang penting dalam keberkesanan sesuatu sesi pembelajaran.

No comments: