Sunday, July 20, 2008

Macam-macam

Macam-macam perkara berkenaan pendidikan dalam minda walau pun sepatutnya pada hari Ahad berfikir tentang perkara lain seperti cabut rumput atau cuci kereta. Apa boleh buat, tak boleh kawal. Baru-baru ini terbaca/terdengar pelbagai jenis komen, pandangan, nasihat atau kritik tentang sistem pendidikan oleh orang-orang yang sudah bersara dari perkhidmatan pendidikan. Ada di antara mereka pernah memegang jawatan yang tinggi dan sepatutnya mempunyai kuasa untuk mencadangkan sesuatu perubahan pada masa mereka masih berkhidmat. Tetapi saya boleh faham, mereka mungkin pernah mengemukakan pendapat dan pandangan mereka. Saya juga faham kadang-kadang tidak mudah mengemukakan pandangan yang berlainan kerana saya sendiri pernah kena banyak kali dengan tembakan seperti 'Don't argue with the boss', 'The boss is always right', 'Jangan cari alasan' dan macam-macam cara lembut atau keras untuk menguburkan idea yang tak seiring.

Antara peristiwa yang saya tidak akan lupa (tetapi tak marah lagi) ialah satu yang berlaku pada tahun 1983. Masa itu, saya masih baru dalam perkhidmatan, terlalu berani, semangat tinggi (masih tinggi), tak tahu betapa tinggi langit dan betapa tebal bumi, menghadiri satu seminar berkenaan peningkatan prestasi matematik di sekolah menengah. Antara isu yang dibangkitkan ialah masalah murid-murid tidak menguasai kemahiran matematik (isu lama tetapi tak selesai). Saya kemukakan pandangan saya bahawa antara masalah ialah sistem peperiksaan Matematik SRP (sekarang PMR) yang hanya ada kertas objektif. Perkara ini mungkin menjadikan latihan langkah-langkah kiraan tidak ditegaskan dengan secukupnya. Selanjutnya saya mencadangkan supaya adakan satu kertas lagi dalam bentuk subjektif. Sungguh malu saya ditegur, di hadapan peserta yang begitu ramai, oleh seorang pegawai tinggi (tak kenal beliau tetapi dari cara beliau dilayan dengan pelbagai lapisan protokol mestilah orang 'besar') kerana kemukakan sesuatu yang bukan-bukan. Saya tak lupa dan saya sungguh gembira apabila kertas 2 (subjektif) diperkenalkan beberapa tahun kemudian. Saya hendak tegaskan di sini kertas 2 ini bukan hasil daripada cadangan saya yang telah dikuburkan di dalam dewan seminar itu.

Saya menulis artikel ini setelah membaca berita berkenaan KPPM mengalu-alukan pandangan daripada siapa-siapa pun berkenaan PPSMI melalui e-mail peribadi beliau. Barangkali ini merupakan satu anjakan dari konsep 'The boss is always right' atau 'Don't argue with the boss' kepada 'The experts are all over' atau 'Engage the expert power'. Minta maaf, saya tidak boleh menulis lebih lanjut lagi berkenaan isu PPSMI ketika ini kerana minda saya beralih kepada satu masalah yang lebih besar--bagaimana melayan VVIP ke Persidangan PKPSM Kebangsaan pada hujung bulan ini setelah diberitahu saya akan dilantik sebagai salah seorang LO untuk VVIP. Baru sedar saya mempunyai banyak buku sains, matematik, pengurusan dan kepimpinan tetapi tiada sebuah pun berkenaan protokol dan cara melayan VVIP. Perlu beli sebuah pada kesempatan yang terdekat.

No comments: