Friday, June 19, 2009

Belajar Untuk Skor

Isu hangat sekarang ialah bilangan A yang diperoleh oleh seorang calon SPM dan kualiti sebenar calon itu. Tidak boleh dinafikan bahawa calon yang memperoleh banyak A ialah calon yang cemerlang mengikut takrifan, kriteria dan skema pemarkahan yang ditetapkan oleh peperiksaan tersebut. Oleh itu, adalah tidak adil sekiranya kita mensyaki kebolehan seseorang yang skor banyak A dalam SPM.

Sering kita dengar bahawa ada calon yang begitu bijak meneka soalan. Ada yang hafal 'skema' dan tahu cara untuk mendapat markah seperti yang dikehendaki oleh skema. Ada tahu menyempitkan skop belajar yang mencukupi untuk skor sahaja. Ringkas kata, ada calon yang menjadi pakar belajar untuk skor. Beliau tidak semestinya menguasai kandungan secara mendalam dan menyeluruh. Bagi saya semua ciri ini juga merupakan ciri orang yang bijak, orang yang boleh menyesuaikan diri mengikut kehendak dan keperluan sistem. Kemungkinan besar orang yang sama ini juga akan muncul sebagai calon yang cemerlang dalam jika berada di dalam sistem yang berlainan. Kita mesti menghargai calon yang cemerlang dalam lingkungan yang ditetapkan oleh kita sama ada dari segi mutu soalan atau dari segi gred.

Balik kepada fenomena 'belajar untuk skor', kita tidak boleh salahkan murid-murid 'belajar untuk skor' jika itulah persepsi orang ramai. Bacalah surat khabar untuk melihat bagaimana publisiti yang begitu banyak diberi kepada mereka yang skor. Lihatlah anugerah yang diberi kepada individu atau institusi untuk melihat begitu banyak fokus diberi kepada mereka yang skor.

Masuk ke dalam kedai buku yang menjual buku ulangkaji dan lihat tajuk-tajuk yang menarik seperti Skor A Dalam...., Studi Untuk Skor,....macam-macam skor lagi. Saya boleh mencadangkan beberapa tajuk jika belum lagi dipakai: Pasti Skor Dalam...., Tak Beli Tak Skor..., Skor Sampai Jemu...., Tak Skor Boleh Koyakkan (lagi suka kerana sudah bayar dan mungkin perlu beli lagi),...... Cuba anda berikan tajuk buku seperti : Tak Semestinya Skor Tetapi Boleh Meningkatkan Pemikiran Kritis dan Kreatif, Belajar Tak Semestinya Untuk Skor, Boleh Tambah Banyak Ilmu Lain Di Luar Sukatan,.... saya hanya memberi nasihat anda telah memilih jalan untuk bankrap. Jangan salahkan murid yang tidak membeli buku anda kerana beliau mematuhi norm yang ditetapkan oleh sistem.

Perlu ingatkan diri supaya tidak menggunakan masa yang lama sangat untuk blog kerana ini tidak merupakan sebahagian sukatan untuk skor. Oleh itu cukup sampai sini sahaja. Apa pandangan anda?

No comments: