Saturday, June 20, 2009

Persepsi Positif

Sekali lagi Sabtu yang rehat-hari yang saya sangat suka kerana pada hari ini saya biasanya berpeluang untuk membuat refleksi; macam-macam refleksi sama ada berkenaan kerja sendiri atau isu-isu yang hangat di dalam dan luar negara.

Baru-baru ini, saya dijemput sebagai salah seorang ahli panel forum berkenaan pendidikan di sekolah menengah. Daripada soalan-soalan yang ditanya oleh ibubapa saya dapati mereka amat dipengaruhi oleh laporan media massa tentang masalah disiplin di sekolah menengah. Antara soalan yang ditujukan termasuk satu yang menanya mengapa masalah disiplin di sekolah menjadi semakin serius baru-baru ini. Saya memberi penjelasan bahawa masalah disiplin tetap ada di sekolah mengikut norma masyarakat. Di mana-mana setting sosial (melainkan setting yang tidak mencermin keadaan masyarakat secara sebenar-seperti sekolah yang hanya memilih murid yang baik), ketidakseragaman tingkahlaku dan perangai tetap wujud. Sama ada masalah disiplin menjadi semakin serius atau tidak, perkara ini adalah lebih merupakan satu persepsi sahaja.

Persepsi boleh berlainan daripada keadaan sebenar kerana orang ramai sentiasa didedahkan kepada laporan yang berfokuskan peristiwa yang lebih berunsur sensasi seperti pergaduhan, perjudian, gangguan seksual yang biasanya terhad kepada segelintir murid di sekolah sahaja, satu peratusan yang amat kecil berbanding dengan murid-murid yang mencapai pelbagai jenis kejayaan dan kecemerlangan di sekolah.

Masalah disiplin di sekolah tetap perlu diberi perhatian yang serius dan langkah-langkah pencegahan perlu sentiasa diambil melalui pemupukan dan penyemaian nilai-nilai positif tentang diri dan komuniti sekolah. Pihak sekolah, orang ramai, pemimpin-pemimpin dan media-media massa seharusnya menyimbangkan antara aspek-aspek negatif dengan aspek-aspek positif yang berlaku di sekolah. Walaupun adalah lebih mudah menjual berita berkenaan murid-murid yang berjudi di sekolah daripada berita yang berkenaan dengan jauh lebih ramai murid yang menjalankan gotong-royong di persekitaran sekolah, akan tetapi, kita semua seharusnya mempunyai tanggungjawab sosial untuk memupuk nilai-nilai positif yang boleh ditelandi. Ini tidak bermakna menutup berita kejadian yang tidak baik--Harap tidak salah faham. Ini adalah lebih berkenaan dengan membina masyarakat yang lebih positif, lebih yakin dan lebih optimis. Semua ini sememangnya bermula dengan persepsi yang positif.

1 comment:

Ismail Yon said...

Saya, bersetuju dengan pendapat tuan, namun begitu pada pendapat saya kegawatan masalah displin pelajar juga disebabkan pendedahan melampau media masa yang mempengaruhi kelakuan dan sahsiah pelajar, hal ini lebih buruk lagi dengan sikap ibu bapa yang meletakkan kemenjadian murid terus kepada bahu pihak sekolah dan guru. Pada mereka sekolah adalah segala-galanya. Sedangkan sekolah seringkali diperingatkan keutamaannya adalah pencapaian akademik cemerlang, pastikan peratus pencapaian meningkat dan sebagainya.Ibu bapa dan komuniti setempat perlu memberikan sokongan 200 % kepada pihak sekolah untuk menangani masalah disiplin. Apatah gunanya mempunyai pelajar yang cemerlang akademik tapi luntur semagat jati diri bangsanya malah rosak kemenjadianya. ,Peranan kaunselor juga perlu dipergiatkan sebagai agen perubahan peningkatan sahsiah dan disipilin pelajar sebagai kor business yang utama, bukan berfungsi sebagai agen pihak lain untuk mempromosikan kolej swasta mereka.
Namun begitu saya amat bersyukur akan keperihatinan pihak tuan dalam memastikan kemenjadian pelajar SMKJM sebagai hala tuju utama sekolah. Mudah-mudahan SMKJM terus menjadi pilihan masyarakat setempat.