

Beberapa soalan untuk refleksi :
1. Sudikah guru-guru menambahkan sedikit usaha untuk menghasilkan ABM? (Mengapa susah-susah? Gaji tetap sama.)
2. Adakah usaha dari unit-unit profesional seperti Jawatankuasa Kurikulum, Majlis Guru Cemerlang, Panitia dan lain-lain mencukupi untuk membudayakan amalan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif? (Mengapa susah sangat? Bukankah senang kalau buat 'bawa-cantum-cetak' modul sahaja?)
3. Adakah insentif untuk mengajar secara kreatif jelas dan mencukup? (Pernah diingatkan : Tak perlu eksperimen, latih tubi, hafal jawapan, ... asal sukatan habis pada bulan Julai...itulah cara yang baik.)
4. Adakah usaha ke arah ini sentiasa ditemui dengan daya-daya tentangan yang boleh melemahkan semangat? (Saya masih ingat setelah memenangi Anugerah Toray kerana mencipta sejenis catur untuk belajar tajuk keradioaktifan, dicalonkan untuk menerima Anugerah Guru Inovatif Peringkat Negeri---Tidak berjaya kerana terlalu jujur menjawab soalan : Berapakah peratus peningkatan dalam SPM setelah menggunakan catur ini? Jawapan jujur : Keradioaktifan hanya sebahagian kecil dalam peperiksaan SPM, perbezaan keputusan tidak cukup signifikan untuk dikesan--tak dapat anugerah. Jawapan tak jujur : Selepas menggunakan catur ini, keputusan meningkat begitu banyak, ... dengan sokongan carta bar yang berwarna-warni, brosur yang cantik dan kulit yang tebal (bukan kulit brosur tetapi muka)---peluang yang baik menerima anugerah.)
Jawapan kepada soalan-soalan di atas mungkin ya, mungkin tidak--bergantung kepada individu. Mesejnya jelas dan penting. Jenis kaedah yang kita gunakan untuk mengajar anak-anak pada hari ini akan menentukan jenis rakyat yang kita mempunyai pada masa depan. Saya secara peribadinya, kurang selesa melihat murid-murid menyalin kerja-kerja kursus dari 'senior' atau kawan atau secara terbimbing 100% kerana kalau amalan ini menjadi sesuatu yang lazim, bukankah murid-murid kita diberi mesej yang salah bahawa menyalin itu sesuatu perkara yang biasa sehingga mereka ditegur oleh pensyarah pada peringkat pengajian tinggi (kalau ditegur)? Namun demikian mampukah mereka melakukan semua tugasan sendiri dalam realiti kekangan masa, fisikal (kerja lapangan, temuduga,....), asas bahasa, kematangan dan kemahiran kaedah penyelidikan. Nampaknya saya telah lari dari tajuk utama saya---'Idea Market'. Saya akan bincangkan isu ini pada masa lain.
Balik ke 'Idea Market', saya berharap lebih ramai pendidik dapat kembali ke asas (back to basics) untuk melihat apa itu sebenarnya pendidikan, amalan teori-teori Piaget, Pavlov, Skinner, pelbagai kecerdasan, taksonomi Bloom, pembelajaran kontekstual, konstruktivisme dalam konteks amalan yang memanfaatkan murid-murid dan menjadikan pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan. Akhir sekali, tak kira apa teori atau pinsip, yang menceriakan murid-murid, yang memudahkan pembelajaran, yang mewujudkan suasana harmoni dan kondusif untuk pembelajaran adalah kaedah yang baik. 'Idea Market' tidak semestinya dalam bentuk ABM. Perkataan 'Market' memberi gambaran tempat di mana macam-macam jenis barangan untuk dijual. 'Idea Market' tidak beza sangat dengan pasar awam yang menjual pelbagai jenis sayur-sayuran, daging, .... Pelanggan akan memilih barangan yang sesuai untuk mereka. Begitu juga sekira terdapat banyak 'Idea Market' untuk pelbagai mata pelajaran, macam-macam idea yang baik dan sesuai dapat diperoleh. Baik saya berhenti di sini sebelum dimarah kerana mengemukakan macam-macam idea atau cadangan yang 'menyusahkan' orang. Bukankah aktiviti menyediakan 'bawa-cantum-cetak' modul mencukupi untuk mengisikan takwim dan ruang laporan tahunan? Jangan marah. Hanya 'Thinking Allowed' sahaja.
No comments:
Post a Comment