Sunday, August 23, 2009

Ijazah Untuk Semua

Pagi ini saya membaca berita utama dari Sunday Star berkenaan macam-macam jenis ijazah yang dapat dibeli melalui Internet. Nampaknya begitu banyak universiti yang barangkali hanya wujud dalam alam siber yang menjual pelbagai jenis muncul seperti cendawan selepas musim hujan. Mengikut teori 'supply and demand', ini bermaksud mestilah terdapat ramai orang yang ingin memperoleh satu ijazah (ada yang membeli beberapa ijazah untuk mendapat gelaran yang panjang di belakang nama mereka).

Pagi ini, semasa membaca berita tersebut, tiba-tiba saya memperoleh inspirasi untuk menulis sedikit berkenaan mempelbagaikan aspek pendidikan di universiti yang amat perlu untuk tujuan-tujuan spesifik dalam pembangunan negara. Harap pembaca terhibur di samping merenung tentang mesej yang ingin saya sampaikan. Harap juga tiada pembaca yang naik marah - pemikiran yang terlampau tersekat, terkongkong atau terbatas (sama erti sahaja?) tidak dapat menyemaikan biji benih kreativiti. Bukankah Kreativiti, Inovasi dan Daya Saingan menjadi fokus sekarang?

Dalam zaman yang moden ini, jenis kursus yang ditawarkan oleh universiti tidak patut dihadkan kepada kurikulum yang tradisi dan terhad. Barangkali keadaan sekarang di mana jenis opsyen yang ditawarkan oleh universiti tidak mencukupi, ramai graduan baru atau dipanggil NMG(newly minted graduates) oleh Tan Sri Dr Lin See-Yan tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk menghadapi dunia pekerjaan yang sebenar. (Untuk maklumat lanjutan, sila baca The Star, 22 Ogos : 'Najib's New Way Forward' oleh Tan Sri Dr Lin See-Yan.)

Apakah NMG perlu untuk meningkatkan kebolehpasaran (marketability) mereka? Atau, apakah jenis latihan tambahan yang ORG (old rusty graduates) perlu untuk meningkatkan keberkesanan kerja mereka? Bukankah kepentingan 'outcome' lebih daripada 'output' satu seruan yang membangunkan ramai untuk berubah? Berikut merupakan beberapa cadangan yang ditulis berasaskan prinsip 'Thinking Allowed'. Sekali lagi, jangan marah.

Kita boleh andaikan beberapa universiti baru diwujudkan untuk menampungi keperluan ramai yang kini tiada pilihan lain selain daripada membeli ijazah melalui Internet. Semoga institusi-institusi pengajian tinggi ini boleh memberi latihan yang sebenar berbanding dengan ijazah-ijazah palsu. Berikut ialah universiti-universiti yang dicadangkan:
  1. Konsortium Universiti Teknologi Unggu (KUTU) - Merupakan gabungan banyak cawangan, dihampir setiap bandar, besar atau kecil, yang menawarkan ijazah kepada mereka yang bekerja sebagai pensolek atau penggunting rambut. Antara opsyen wajib ialah latihan amali amalan kesihatan rambut dan pencegahkan tumbuhan organisma-organisma halus di rambut.
  2. Perbadanan Universiti Teknologi Untuk Semua (PUTUS) - Satu peluang yang baik bagi mereka yang sangat minat untuk meneruskan pendidikan lanjutan tetapi atas sesuatu sebab tertentu tidak dapat menyambung pelajaran mereka selepas peringkat sekolah menengah.
  3. Universiti Rakyat Urus Tegang (URUT) - Satu universiti moden yang menawarkan pelbagai jenis latihan fisikal bertradisional untuk mengurangkan ketegangan kehidupan zaman moden dan meningkatkan kemahiran pekerja sejenis perniagaan yang semakin popular di bandar-bandar besar.
  4. Tahan Institut Keberanian Untuk Semua (TIKUS) - Satu institut bertaraf universiti yang melatih ketahanan, keberanian dan ketabahan fisikal yang terletak di puncak Gunung Tahan. Institut ini menawarkan kursus jangka pendek untuk ORG yang berpangkat pengurus dan ke atas.
  5. Universiti Sahsiah Insan Keunggulan (USIK) - Satu institut pengajian tinggi yang berkonsepkan 'Back to Basics' dan 'Back to Nature' di mana kurikulum memusatkan kepada peningkatan nilai-nilai moral dan keagamaan berasaskan ajaran-ajaran asal tokoh-tokoh agama dan moral zaman dahulu untuk menjamin masyarakat yang lebih bersih.

Akhir sekali, satu usaha dengan kolaborasi antarabangsa untuk mewujudkan satu saluran teknikal yang cepat di mana seorang murid berumur 15 tahun boleh melalui institut teknik, politeknik dan kemudian memperoleh ijazah universiti dalam lima tahun. Saluran ini dikenali sebagai Technical Institut, Polytechnic, Unversiti. Cuba teka : Apakah nama singkatan untuk saluran ini? Sekali lagi, jangan marah tetapi beri komen. Terima kasih.

No comments: