Friday, September 17, 2010

Thinking Allowed Bergambar Sahaja

Idea datang 1 minit sebelum tamatnya Perayaan Hari Malaysia 2010. Sudah lewat. Biar 'Thinking Allowed' dalam bentuk gambar sahaja. Harap-harap ada pelbagai taksiran yang berlainan tentang mesej yang ingin saya sampaikan. Lebih banyak taksiran lebih baik. Bukankah kita sentiasa menggalakkan kemahiran berfikir secara mencapah? Selamat Hari Malaysia.

Monday, September 13, 2010

Kreativiti Dan Inovasi

Inovasi dan kreativiti milik semua, bukan untuk cerdik pandai sahaja........ Dalam menghala ke arah model ekonomi baru yang berpaksikan pengetahuan dan inovasi, hanya negara yang mempunyai perisian intelek dan berteknologi canggih serta terkini dapat berada di barisan hadapan dalam perlumbaan mengejar kemajuan.... Bukti-bukti jelas menunjukkan bahawa kunci kepada kejayaan negara maju adalah inovasi dan kreativiti.–YAB Perdana Menteri.

Saya percaya tiada seorang pun yang berfikiran waras dapat menafikan kebenaran kenyataan YAB Perdana Menteri kita. Sepatutnya kenyataan tersebut menjadikan 'wake-up call' kepada ramai yang masih dalam keadaan relaks dengan anggapan bahawa hari esok masih akan sama dengan hari ini. Amalan hari ini masih boleh dipakai selama-lamanya.

Izinkan saya memberi sedikit pandangan bernilai '5 sen' berkenaan dengan kreativiti dan inovasi dalam konteks pendidikan di sekolah. Dalam tempoh masa hampir 28 tahun saya berkecimpung dalam pendidikan di sekolah menengah saya perhatikan terdapat banyak usaha dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui pelbagai peringkat untuk menjadikan kreativiti dan inovasi satu komponen yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelbagai idea, konsep dan teori yang pernah dicuba dan dibukti berjaya di negara-negara yang lain telah diperkenalkan dari peringkat atas(KPM atau JPN) ke peringkat sekolah. Namum demikian mengapa masalah tentang kekurangan pemikiran kreatif dan inovatif di kalangan murid masih menjadi isu yang sama serius seperti dekad-dekad yang lalu? Adakah lebih banyak idea, konsep dan teori yang baru dapat menangani masalah in? Atau, perlukah kita lihat juga aspek-aspek yang lain seperti sistem, struktur, sikap dan insentif dalam urusan penyemaian budaya kreativiti dan inovasi?

Kreativiti dan inovasi berasas dari pemikiran dan sejak awal-awal lagi KPM sedar tentang perkara ini. Oleh itu pelbagai jenis kursus dan latihan berkaitan dengan kemahiran berfikir pernah dijalankan oleh KPM. Banyak kandungan yang sangat baik telah diperkenalkan tetapi atas sebab kelemahan sistem latihan yang berperingkat, biasanya amat sedikit yang sampai peringkat terbawah sekali, yang sebenarnya paling perlu, yang menjadi penentu kejayaan--peringkat sekolah. Pencairan mungkin disebabkan oleh jurulatih sendiri yang kurang mampu menurunkan ilmu/kemahiran yang mereka peroleh (atau belum diperoleh pun walaupun telah dilatih), faktor masa (contoh: 1 minggu di peringkat kebangsaan, 3 hari di peringkat negeri, 1 hari di peringkat daerah dan akhir sekali 2 jam di peringkat sekolah. Melainkan IQ menjadi semakin tinggi di peringkat semakin bawah, masa yang diperlukan untuk memahami kandung baru sepatutnya semakin panjang di peringkat yang semakin bawah.) dan faktor sikap-'asal ada buat'.

Antara kandungan yang pernah diperkenalkan oleh KPM (setakat ingatan saya sahaja) termasuk
  1. Cognitive Research Trust (CoRT Thinking) yang dipimpin oleh Edward de Bono memperkenalkan pelbagai alatan yang membantu melatih pemikiran kritis dan kreatif.
  2. Peta Minda yang dicipta oleh Tony Buzan untuk membuat nota yang kreatif dan efektif.
  3. Otak Kiri dan Otak Kanan yang diperkenalkan oleh Roger Wolcott Sperry.
  4. Sistem 4-MAT oleh Bernice McCarthy.
  5. KBKK - Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif.
  6. KBSB - Kemahiran Berfikir dan Strategi Berfikir.
  7. Pelbagai pedagogi seperti pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, teori pelbagai kecerdasan dan kajian masa depan.
Senarai sebenar patut lebih panjang lagi tetapi yang soal yang lebih penting ialah sama ada ilmu dan kemahiran ini diterapkan lalu diamalkan oleh guru atau tidak dan kalau ada, diturunkan kepada murid-murid atau tidak. Pembentukan budaya kreatif dan inovatif mengambil masa dan keputusan tidak jelas dilihat dalam jangka masa yang pendek tetapi mendatangkan banyak manfaat dalam jangka panjang. Dalam situasi di mana keputusan jangka pendek, khasnya aspek akademik, diberi fokus yang terlampau intensif, tidak ramai guru atau pentadbir ingin dan berani mengambil risiko untuk menjadi terlalu inovatif. Melainkan terdapat satu anjakan paradigma yang sebenar (berlawan dengan 'lip service' sahaja), pendidikan holistik yang memberi harapan kepada pembudayaan kreativiti dan inovasi masih menjadi satu ilusi sahaja.

Namun demikian, masih ada ruang dan peluang untuk kemajuan sekiranya setiap individu tidak kira pangkat atau peringkat ( Bukankah PM kata bahawa inovasi dan kreativiti milik semua, bukan untuk cerdik pandai sahaja?) cuba memikir dan bertindak secara aktif. Lebih-lebih lagi, dengan kemajuan ICT, internet telah menjadi satu saluran yang baik untuk mendapat dan mengkongsi pemikiran. Setakat ini, para guru yang sepatutnya berada di barisan depan masih kurang aktif dalam hal penulisan dan perkongsian pemikiran. Bagaimana kita dapat mendorong generasi yang muda untuk memikir secara aktif sekiranya kita sendiri tidak aktif? Saya berharap kita semua boleh membuat refleksi tentang hal ini semoga impian PM menjadi realiti.

Akhir sekali, adakah 'kreativiti dan inovasi' satu kewajiban atau satu pilihan sahaja? Secara peribadi saya berfikir, melainkan kita puas hati dengan keadaan di mana kita semakin ketinggalan, jawapannya ialah 100% wajib.

    Sunday, September 12, 2010

    XXXXX-Out

    Saya agak tertarik oleh penulisan John C. Maxwell (The 21 Indispensable Qualities Of A Leader atau versi BM: 21 Kunci Pemimpin Efektif)berkenan dengan komitmen. Berkenaan komitmen, beliau menyatakan terdapat hanya empat jenis manusia.
    1. Cop-Out : Yang tidak mempunyai cita-cita dan tidak mempunyai apa-apa komitmen.
    2. Hold-Out : Yang tidak yakin sama ada dapat berjaya atau tidak, oleh itu tidak komited.
    3. Drop-out : Yang berusaha ke arah mencapai cita-cita tetapi berputus asa setiap kali menghadapi kesukaran.
    4. All-out : Yang komited pada cita-cita dan matlamat serta sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapainya.

    Setujukah anda bahawa hanya terdapat 4 xxxxx-out sahaja. Mari kita bersama-sama memanjangkan senarai ini berdasarkan pemerhatian atau pengalaman diri. Saya mengambil inisiatif untuk memulakan 'permainan pemikiran (thinking game)' ini dan harap-harap ada orang lain yang menyambung. (Saya juga terjangkit dengan cognitive bias-pessimism bias kerana berdasarkan pengalaman yang lepas, saya jangka lebih mungkin tidak ada orang yang sudi melibat bersama kerana budaya menulis masih pada tahap tamaddun yang awal.)

    1. Get-out : Yang cuba mencari kesempatan untuk cabut selepas menandatangani kehadiran. Komitmen-minima. Malangnya, sentiasa dinampak.
    2. Kicked-out : Yang menentang tak kira apa pun. Akhirnya tidak dilibatkan kerana lebih aman dan damai jika orang berkenaan tidak wujud. Mungkin sengaja merancang untuk di kick-out kerana langsung tidak ada komitmen.
    3. Kong-out : Yang rajin, cuba nak buat semua sekali sendiri, sangat komited tetapi akhirnya tak mampu, bimbang, stress, sakit,....akhirnya pengsan atau lebih serius lagi.
    4. Inside-out : Yang banyak berpengalaman, tahu segala selok-belok seperti mengetahui tangan sendiri dan dapat menjangka banyak perkara yang akan berlaku. Yang boleh memberi amaran, nasihat atau bimbangan---kalau baik dengannya. Kalau tidak,...... Komitmen? Berkorelasi positif dengan komitmen pemimpin sendiri.
    5. Eat-out : Yang berkhidmat di satu tempat tetapi komitmen di tempat yang lain. Sentiasa mencari-cari idea atau perkara yang baik untuk diekspot keluar tetapi kalau ada yang baik dari luar, diam-diam sahaja.
    6. Crawl-out : Yang sudah lama di dalam zon selesa. Komitmen boleh tinggi kalau diberi tugasan yang lama dan sama, atau, selesa kerana langsung tidak beri tugasan yang setimpal. Tetapi, jika diminta berubah, diberi tugasan yang baru atau diminta bertindak dengan lebih cepat, akan geram, marah, bising,...dan mengheret-heret kaki keluar dari 'Gua Selesa'.

    Sebenarnya tengah syok menulis tetapi malangnya time-out kerana isteri dan anak nak saya bawa keluar makan supper. :-)

    Friday, September 10, 2010

    Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?) 3

    Sambung lagi Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?).

    6. Pessimism bias - Kecenderungan sistematik untuk menjadi terlampau pesimistik tentang hasil sesuatu tindakan yang terancang.
    Bagi sesuatu peristiwa yang akan berlaku, seseorang yang berjenis 'pessimism bias' lebih mungkin memikirkan hasil yang negatif daripada yang positif.

    Contoh : Esok keputusan peperiksaan keluar, sekolah aku pasti ranking antara yang terbawah sekali.

    Contoh : Tak perlu buat apa-apa. Bazir masa, tenaga dan wang sahaja. Susah-susah pun keputusan tak akan berubah. (Betul? Atau tak pernah cuba? Mengakui kalah sebelum cuba?)

    7. The halo effect - Sejenis kepincangan kognitif di mana persepsi sesuatu ciri-ciri seseorang mempengaruhi persepsi satu atau lebih ciri-ciri lain orang itu. 'Halo effect' biasanya berlaku jika kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang ciri-ciri yang lain. Oleh yang demikian, satu atau dua ciri-ciri yang jelas itu 'mentenggelami' ciri-ciri yang lain.

    Contoh: Budak ini nampaknya 'handsome', pakaian pun bersih. Mesti pandai belajar. (Suka saya mengkongsi satu peristiwa yang pahit lebih daripada 40 puluh tahun dahulu. Pada masa itu, saya terpaksa menaiki sebuah bas yang lalu ladang kelapa sawit sebelum sampai ke sekolah. Selalunya baju saya sudah berwarna oren dengan habuk dari jalan tanah merah apabila saya sampai ke sekolah. Pernah dipanggil oleh seorang guru yang 'relief' kelas saya ke depan untuk dipamerkan sebagai murid yang kotor dan tak pandai. Tak akan lupakan peristiwa ini. Peringatan yang baik kepada diri saya apabila saya menjadi seorang guru banyak tahun kemudian.)

    Contoh: Budak itu pandai cakap. Sesuai menjadi peguam. (Ya? Apakah kandungan cakapan itu?)

    Contoh: Budak itu datang ke sekolah dengan kereta Mercedes. Mestilah anak orang kaya. (Ya? Adakah kemungkinan dia anak kepada drebar orang kaya atau anak foreman kedai membaiki kereta Mercedes?)

    8. A self-serving bias - Berlaku apabila pada seseorang yang selalu mengaitkan sesuatu kejayaan kepada faktor kehandalan diri sendiri tetapi sesuatu kegagalan kepada faktor-faktor luar yang di luar kawalan. Dengan kata lain: Berjaya--kerana diri sendiri; tak berjaya--kerana faktor yang tidak dapat dielakkan.

    Contoh : Tahun lepas keputusan baik. Sebab? Teknik pengajaran dan pembelajaran yang kreatif saya amat berkesan. Tahun ini keputusan tak baik. Sebab? Kumplan budak tahun ini luar biasa malas.

    Contoh : Calon SPM-Saya mendapat A dalam semua subjek kecuali Sejarah. Rahsia kejayaan saya? Saya orang yang amat berdisiplin. Bangun awal-awal untuk belajar. Buat banyak latihan mirip soalan SPM. Sentiasa membincang dengan rakan-rakan yang pandai. (Peranan guru tidak sekali pun dinyatakan.) Mengapa saya tidak dapat A dalam Sejarah? Sebabnya, guru Sejarah amat membosankan. (Kalau tidak berjaya, gurulah orang pertama yang ditembak.) Sukatan pelajaran pun tidak menarik. Format soalan tidak adil dan peperiksaan diadakan pada waktu petang. Cuaca pun panas. Dewan peperiksaan pun tiada air-con. (Tiada sekali pun kegagalan itu disebabkan oleh faktor diri sendiri.)

    Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?) 2

    Sambung lagi penulisan berkenaan Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?).

    3.Confirmation bias-Kecenderungan untuk menyebelahi maklumat yang menyokong prakonsepsi atau hipoteses diri tanpa mengambil kira sama ada maklumat itu benar atau tidak. Akibatnya, terdapat kecendurungan untuk mengumpul maklumat atau mengingat fakta-fakta dari ingatan secara 'pilih kasih' dan membuat pentaksiran pincang kepada keputusan yang diharapkan.

    Contoh: Saya tidak akan lupa laporan berikut walau pun peristiwa itu telah berlaku satu masa yang sangat lama dahulu, ketika sains diperkenalkan semula di sekolah rendah. Kata seorang guru besar: Saya mengaturkan murid-murid Tahun 6 melawat makmal sains sebuah sekolah menengah premier sekali. Hasilnya--Keputusan Sains UPSR naik! (Mengapa tak lawat 10 kali supaya semua calon mendapat A?)

    Contoh: Kita dah buat macam-macam program, termasuk baca beramai-ramai 5 minit sebelum waktu pertama, beri pil vitamin secara percuma-seorang sebiji pada awal Penggal 2, nyanyian lagu-lagu motivasi pada pagi peperiksaan, pasang banyak cermin untuk meningkatkan imej kendiri dan banyak lagi program yang sekolah lain tak buat. Hasilnya? Keputusan naik sedikit. (Apakah asas perbandingan itu? Adakah mungkinnya keputusan naik lebih banyak kalau program-program mengganggu itu dikurangkan? Atau-adakah naik/turun dalam 'error margin' sahaja? Sekali lagi, jangan salah faham--bukan tiada program tetapi berhati-hati dengan kesimpulan yang dibuat.)

    4. The exposure effect - Suatu psikologi psikososial yang juga dikenali sebagai familiarity principle atau prinsip kebiasaan. Dalam kajian tentang daya tarikan interpersonal, semakin kerap seorang dilihat oleh orang lain, semakin orang itu disukai. Fenomena ini juga menerangkan mengapa seseorang lebih mungkin meminati dan memiliki barang atau perkara yang dia lebih biasa dengan.

    Contoh: Mengapa orang itu dipilih walaupun ada orang lain yang lebih senior dan berkelayakan? Jawapan: Dia sentiasa menunjukkan muka diri. Dia selalu main golf dengan orang besar-besar.

    Contoh: Mengapa bertahun-tahun, orang yang sama melakukan kerja yang sama? Jawapan: Dah biasa, lebih mudah nak buat. Mereka pun suka, bertahun-tahun buat sampai tutup mata pun boleh buat. (Tetapi dulu buat, muda lagi, DG 41 lagi, sekarang dah meningkat secara kronologi(kurang sensitif), dah DG44 atau DG48, masih buat kerja yang sama? Bukan tak boleh tetapi siapa yang buat kerja yang lebih kompleks? Yang DC41?)


    5. Negativity bias- Suatu fenomena psikologi di mana orang lebih menumpukan perhatian dan memberi keberatan yang lebih kepada pengalaman yang negatif daripada yang positif.

    Contoh: Guru A kepada Guru B : Murid ini kreatif, cepat pemikirannya, aktif dan respon dengan cepat kepada soalan-soalan guru. Cuma satu perkara-seperti budak-budak yang IQ tinggi budak ini kurang sabar dan suka bising di kelas. Kesimpulan Guru B : Budak ini kurang sabar dan selalu bising di kelas. Saya perlu disiplinkan dia.

    Contoh: Penceramah : Amalan kepimpinan transformasional menuntut pemimpin sebagai contoh, boleh mempengaruhi guru untuk meningkatkan mutu, boleh membawa sekolah ke satu tahap kecemerlangan yang lebih tinggi. Usaha ini amat penting membantu mentransformasikan negara ke tahap negara yang maju. Suka tak suka, ini bermaksud pemimpin perlu mementingkan organisasi lebih daripada diri dan perlu memikul beban yang besar. Peserta : Tambah beban, lebih banyak kerja. Stress!

    Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?)

    Pagi Hari Raya Puasa Aidilfitri. Hujan renyai-renyai di luar. Saya selesa di halaman rumah menulis blog. Isteri komen-cuti pun nak kerja? Ada orang fikir buka komputer mesti kerja. Kadang-kadang saya sendiri pun keliru. Menulis blog ialah kerja? Khasnya blog berkenaan profesion saya. Kerja? Hobi? Kewajiban? 'Busy-body'? Saya tak tahu. Saya tak perlu tahu. Saya tak nak tahu. Saya hanya ingat kata Richard Feynman (seorang saintis, pemenang hadiah Nobel dalam bidang Fizik, guru yang amat cemerlang, pemain muzik, pelukis dan idola saya selain daripada Leonardo da Vinci) : Kadangkala saya sendiri tidak jelas bila masa kerja saya tamat dan hobi saya bermula.

    Pagi ini saya ingin menulis sedikit berkenaan 'cognitive bias'. Saya tidak dapat mencari satu istilah yang setara dalam Bahasa Malaysia. Oleh itu saya cuba menterjemahkan kepada 'kepincangan kognitif'. Mengikut Wikipedia : A cognitive bias is the human tendency to make systematic errors in certain circumstances based on cognitive factors rather than evidence. Such biases can result from information-processing shortcuts called heuristics. They include errors in statistical judgment, social attribution, and memory. Cognitive biases are a common outcome of human thought, and often drastically skew the reliability of anecdotal and legal evidence. It is a phenomenon studied in cognitive science and social psychology.

    Terdapat beberapa jenis kepincangan kognitif yang rakan-rakan dapat membaca dari laman Wikipedia. Saya percaya rakan-rakan akan mendapati bahan-bahan bacaan ini amat berkaitan dengan profesion sendiri. Saya akan mengemukakan beberapa contoh dan cuba kaitkan dengan konteks profesion saya mengikut taksiran diri sendiri. Sama ada taksiran itu jitu atau tidak, boleh dibincangkan selanjutnya. Lagi pun, kita sentiasa diminta berfikir secara kritis dan kreatif, membincang, membaca dan menulis demi untuk memberi harapan kepada negara dalam usaha menjadikan negara kita sebuah negara yang maju di mana inovasi menjadi jentera utama untuk kemajuan. Saya ingin mengemukakan beberapa contoh amalan di sekolah yang mungkin boleh membinggungkan perasaan pembaca (yang makan cili sendiri rasa pedas) tetapi harap berfikiran positif kerana provokasi pemikiran ini adalah bertujuan untuk membuat refleksi tentang beberapa amalan selama ini.

    1. The quick fix mentality, juga dikenali sebagai the magic pill mentality - Pemikiran bahawa kebanyakan perkara dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah jika anda mencari penyelesaian yang betul.

    Contoh: Ramai murid dari SJK tidak menguasai Bahasa Melaysia - Adakan 'Latihan Dalam Perkhidmatan' atau LDP dan buat mudul belajar. Semuanya 'kautim' (beres atau selesai).

    Contoh: Beg murid-murid besar dan berat -a) Sediakan loker di sekolah, 'kautim'. b) Semua murid dibekalkan laptop dan ebook, 'kautim' c) Adakan jadual anjal, kurangkan subjek sehari, 'kautim'.

    Contoh: Murid-murid hanya mementingkan peperiksaan, mendapat A (atau A+ memandangkan A sudah tak cukup), kurang aktif, kurang inovatif dan kurang inisiatif - a) Adakan Kelab Aktif, Inovatif dan Inisiatif, 'kautim'. b) Mansuhkan peperiksaan, 'kautim'.

    2.The bandwagon effect - Percaya dan melakukan sesuatu perkara hanya kerana ramai orang lain percaya dan buat perkara itu.

    Contoh: Kelas tuisyen malam. Mengapa buat? Orang lain buat.

    Contoh: Ceramah Teknik Menjawab Soalan-soalan Peperiksaan Awam. Nampaknya macam tak berkesan-- begitu lewat, tinggal beberapa hari lagi sudah periksa; beramai-ramai di'sardin'kan di dalam kantin di atas bangku panjang tanpa meja; bersaing-saing bercakap--suara yang paling tak didengar ialah suara penceramah; panas, lapar dan tak dapat tumpu perhatian. Mengapa buat? Jawapan: Orang lain buat. Ramai buat. Dulu buat. Tak senang kalau tak buat. (Jangan salah faham. Kalau buat biar strategik dengan mengambil kira faktor kesesuaian masa, tempat, kumpulan sasaran, cara penyampaian dll.)

    Thursday, September 9, 2010

    'Jigsaw Puzzle'

    Satu permainan popular yang harus digalakkan di kalangan kanak-kanak dan 'lebih-lebih lagi' dewasa ialah permainan 'jigsaw puzzle'. Permainan ini memerlukan banyak kesabaran dan harus dimain dengan berhati-hati. Sedikit kesilapan boleh menjejaskan usaha yang telah menelan masa yang panjang. Suara yang kuat-kuat boleh menyebabkan kepingan-kepingan yang dicantum itu ditanggalkan semula. Ketukan kuat-kuat seperti perbuatan orang mabuk boleh menyebabkan kepingan-kepingan bercerai semula dan jatuh ke dalam longkang. Bagi orang besar-besar, yang ingat diri besar, yang 'reject', yang kuat-kuat, yang ingat diri masih kuat-kuat, yang berpengaruh besar, yang ingat masih ada pengaruh, saya mencadangkan mereka berhenti sebentar dan cuba main 'jigsaw puzzle' Malaysia. Saya tak pasti sama ada 'jigsaw puzzle' itu dapat dibeli dari kedai atau tidak.

    Monday, September 6, 2010

    Mengapa Tak Cari Yang Serupa?

    Sejak kecil kita sering main satu permainan (atau latihan?) iaitu mencari tempat-tempat yang beza di antara dua gambar yang hampir-hampir serupa. Gambar A dan Gambar B di sebelah merupakan satu contoh permainan seperti ini yang mudah dijumpai dalam buku, majalah atau surat khabar. Anda digalakkan untuk memain permainan ini mengikut peraturan lama ini untuk kali yang terakhir. (Saya tiada kuasa untuk memerintah arahan tetapi hanya berharap sahaja.) Barangkali kita terlalu kerap terdedah kepada permainan ini sehingga menjadi begitu mahir dan cepat untuk mencari yang berbeza walau pun sebenarnya terdapat jauh lebih banyak perkara yang sama.

    Demi untuk kebaikan yang tak terhingga banyaknya, kita harus menukar peraturan permainan itu, iaitu, untuk mencari perkara-perkara yang sama dalam dua gambar itu walaupun kita semua akui, tidak dapat dielakkan, terdapat perkara-perkara yang berbeza. Apa kata jika kita bermula dengan Gambar C dan Gambar D untuk mencari perkara-perkara yang sama, semoga lama kelamaan kita lebih biasa, mahir, cepat dan sudi untuk melihat aspek-aspek sepunya yang jauh lebih banyak, baik dan harmoni di samping mengakui aspek-aspek yang berbeza yang menjadikan peraturan kehidupan lebih berpelbagai, lebih menarik dan boleh juga berharmoni jika diuruskan seperti sebuah orkestra yang benar-benar profesional.

    Saya cuma 'Thinking Allowed' di kesempatan cuti sekolah ini. Semoga lebih ramai berminat dalam permanian alternatif yang dicadangkan oleh saya ini, bukan sahaja kanak-kanak, malahan atau lebih tepat lagi 'lebih-lebih lagi' orang dewasa'. Setuju atau tidak?

    (Sebelum saya lupa, nama model dalam semua gambar di atas ialah Mona Lokal.)

    Friday, September 3, 2010

    SEDIKIT HADIAH UNTUK HARI RAYA


    Pernah saya singgah di sebuah tempat,
    Yang tiada istilah ’gagal’ dan sentiasa selamat;
    Empat dinding selesa yang saya berada,
    Tidak banyak berbeza dengan penjara.

    Betapa ingin saya melakukan pelbagai perkara,
    Yang tidak pernah saya mencuba;
    Tetapi, akhirnya tetap kekal, saya di sana,
    Melangkah ke depan dan ke belakang di atas lantai yang sama.

    Sering kali saya menyatakan ‘tidak mengapa’,
    Kalau tidak saya melakukan banyak perkara;
    Pernah saya memberitahu diri saya,
    Jangan peduli tentang impian, matlamat dan seumpamanya.

    Kadangkala saya mencipta sebab dan alasan,
    Lengkap dengan pelbagai kesibukan dan kesusahan;
    Sebenarnya terbenam dalam sanubari saya,
    Ialah sesuatu yang berlainan untuk berjaya.

    Kehidupan saya tidak harus dibiarkan berlalu sebegitu,
    Menyaksikan orang lain menang dan menerima restu;
    Dengan tarikan nafas yang panjang saya melangkah keluar,
    Menerima perubahan dengan hati yang berkobar-kobar.

    Selangkah ke depan dengan tenaga yang baru,
    Yang tidak pernah saya merasa dan menghidu;
    Kepada tempat itu saya mengucapkan ’Selamat Tinggal’,
    Daripada cengkaman yang kini saya tertanggal.

    Tempat itu sering diberi gelaran,
    Yang tepat dan jitu tetapi tidak diperakukan;
    Sangkal-menyangkal tentang kewujudan,
    Tempat yang bernama ’Zon Keselesaan’.

    Sajak yang tak macam sajak ini,
    Ingin saya  berkongsi di sini;
    Kalau tak ikut format sebenar,
    Harap rakan-rakan beri tunjuk dan ajar.

    Sedikit ’input’ profesional daripada saya,
    Sempena cuti sekolah dan Hari Raya;
    Semoga hadiah yang istimewa,
    Diterima oleh rakan-rakan semua.

    Selamat Hari Raya Aidilfitri,
    Cahaya silaturahim sentiasa berseri;
    Maaf zahir dan batin,
    Ucapan ikhlas dengan izin.