Friday, September 3, 2010

SEDIKIT HADIAH UNTUK HARI RAYA


Pernah saya singgah di sebuah tempat,
Yang tiada istilah ’gagal’ dan sentiasa selamat;
Empat dinding selesa yang saya berada,
Tidak banyak berbeza dengan penjara.

Betapa ingin saya melakukan pelbagai perkara,
Yang tidak pernah saya mencuba;
Tetapi, akhirnya tetap kekal, saya di sana,
Melangkah ke depan dan ke belakang di atas lantai yang sama.

Sering kali saya menyatakan ‘tidak mengapa’,
Kalau tidak saya melakukan banyak perkara;
Pernah saya memberitahu diri saya,
Jangan peduli tentang impian, matlamat dan seumpamanya.

Kadangkala saya mencipta sebab dan alasan,
Lengkap dengan pelbagai kesibukan dan kesusahan;
Sebenarnya terbenam dalam sanubari saya,
Ialah sesuatu yang berlainan untuk berjaya.

Kehidupan saya tidak harus dibiarkan berlalu sebegitu,
Menyaksikan orang lain menang dan menerima restu;
Dengan tarikan nafas yang panjang saya melangkah keluar,
Menerima perubahan dengan hati yang berkobar-kobar.

Selangkah ke depan dengan tenaga yang baru,
Yang tidak pernah saya merasa dan menghidu;
Kepada tempat itu saya mengucapkan ’Selamat Tinggal’,
Daripada cengkaman yang kini saya tertanggal.

Tempat itu sering diberi gelaran,
Yang tepat dan jitu tetapi tidak diperakukan;
Sangkal-menyangkal tentang kewujudan,
Tempat yang bernama ’Zon Keselesaan’.

Sajak yang tak macam sajak ini,
Ingin saya  berkongsi di sini;
Kalau tak ikut format sebenar,
Harap rakan-rakan beri tunjuk dan ajar.

Sedikit ’input’ profesional daripada saya,
Sempena cuti sekolah dan Hari Raya;
Semoga hadiah yang istimewa,
Diterima oleh rakan-rakan semua.

Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Cahaya silaturahim sentiasa berseri;
Maaf zahir dan batin,
Ucapan ikhlas dengan izin.

No comments: