Sambung lagi Cognitive Bias (Kepingcangan Kognitif?).
6. Pessimism bias - Kecenderungan sistematik untuk menjadi terlampau pesimistik tentang hasil sesuatu tindakan yang terancang. Bagi sesuatu peristiwa yang akan berlaku, seseorang yang berjenis 'pessimism bias' lebih mungkin memikirkan hasil yang negatif daripada yang positif.
Contoh : Esok keputusan peperiksaan keluar, sekolah aku pasti ranking antara yang terbawah sekali.
Contoh : Tak perlu buat apa-apa. Bazir masa, tenaga dan wang sahaja. Susah-susah pun keputusan tak akan berubah. (Betul? Atau tak pernah cuba? Mengakui kalah sebelum cuba?)
7. The halo effect - Sejenis kepincangan kognitif di mana persepsi sesuatu ciri-ciri seseorang mempengaruhi persepsi satu atau lebih ciri-ciri lain orang itu. 'Halo effect' biasanya berlaku jika kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang ciri-ciri yang lain. Oleh yang demikian, satu atau dua ciri-ciri yang jelas itu 'mentenggelami' ciri-ciri yang lain.
Contoh: Budak ini nampaknya 'handsome', pakaian pun bersih. Mesti pandai belajar. (Suka saya mengkongsi satu peristiwa yang pahit lebih daripada 40 puluh tahun dahulu. Pada masa itu, saya terpaksa menaiki sebuah bas yang lalu ladang kelapa sawit sebelum sampai ke sekolah. Selalunya baju saya sudah berwarna oren dengan habuk dari jalan tanah merah apabila saya sampai ke sekolah. Pernah dipanggil oleh seorang guru yang 'relief' kelas saya ke depan untuk dipamerkan sebagai murid yang kotor dan tak pandai. Tak akan lupakan peristiwa ini. Peringatan yang baik kepada diri saya apabila saya menjadi seorang guru banyak tahun kemudian.)
Contoh: Budak itu pandai cakap. Sesuai menjadi peguam. (Ya? Apakah kandungan cakapan itu?)
Contoh: Budak itu datang ke sekolah dengan kereta Mercedes. Mestilah anak orang kaya. (Ya? Adakah kemungkinan dia anak kepada drebar orang kaya atau anak foreman kedai membaiki kereta Mercedes?)
8. A self-serving bias - Berlaku apabila pada seseorang yang selalu mengaitkan sesuatu kejayaan kepada faktor kehandalan diri sendiri tetapi sesuatu kegagalan kepada faktor-faktor luar yang di luar kawalan. Dengan kata lain: Berjaya--kerana diri sendiri; tak berjaya--kerana faktor yang tidak dapat dielakkan.
Contoh : Tahun lepas keputusan baik. Sebab? Teknik pengajaran dan pembelajaran yang kreatif saya amat berkesan. Tahun ini keputusan tak baik. Sebab? Kumplan budak tahun ini luar biasa malas.
Contoh : Calon SPM-Saya mendapat A dalam semua subjek kecuali Sejarah. Rahsia kejayaan saya? Saya orang yang amat berdisiplin. Bangun awal-awal untuk belajar. Buat banyak latihan mirip soalan SPM. Sentiasa membincang dengan rakan-rakan yang pandai. (Peranan guru tidak sekali pun dinyatakan.) Mengapa saya tidak dapat A dalam Sejarah? Sebabnya, guru Sejarah amat membosankan. (Kalau tidak berjaya, gurulah orang pertama yang ditembak.) Sukatan pelajaran pun tidak menarik. Format soalan tidak adil dan peperiksaan diadakan pada waktu petang. Cuaca pun panas. Dewan peperiksaan pun tiada air-con. (Tiada sekali pun kegagalan itu disebabkan oleh faktor diri sendiri.)
No comments:
Post a Comment