Hari ini seluruh warga Malaysia merayakan ulang tahun kemerdekaan ke 51. SMK Jalan Mengkibol sekali lagi menyumbang beberapa pasukan untuk memeriahkan perayaan di peringkat daerah. Sambil-sambil bergembira dan perlu juga kita menyemak realiti dan membuat sedikit refleksi.
Kalau pada tahun lepas kita merayakan hari jadi Malaysia yang ke-50, satu angka yang sangat signifikan dan dalam konteks Malaysia, sudah layak untuk bersara, perayaan pada tahun ini tidak harus secara kurang signifikan--dari aspek pemikiran secara kritikal dan kreatif tentang dahulu, sekarang dan masa depan. Mengikut kebiasaan, seorang akan diraikan hari jadi ke-50 dengan lebih meriah berbandingkan dengan hari jadi ke-51 beliau. Tetapi, bolehkah hari jadi ke-51 dijadikan lebih bermakna, dengan suasana yang lebih senyap sunyi, untuk pemikiran yang lebih serius? Bolehkah pemikiran tentang kebebasan dialihkan daripada kebebasan daripada kongkongan penjajah kepada kebebasan daripada kongkongan minda diri? Sebelum ada pembaca yang salah faham, saya ingin menegaskan bahawa sejarah kemerdekaan amat penting dan tidak boleh dilupakan.
Maksud saya di sini ialah, dalam zaman globalisasi ini, kita tidak berhenti pada cerita kemerdekaan daripada penjajah luaran sahaja. Kita harus juga berusaha membebaskan diri daripada penjajah dalaman yang singgah di dalam minda kita. Di sini, saya ingin membincang dari aspek pendidikan sahaja kerana skop tajuk ini amat luas. Saya cuba menyenaraikan beberapa aspek kongkongan minda yang harus dicapai kemerdekaan dan saya berharap apabila kita merayakan ulang tahun kemerdekaan ke-52 pada tahun depan, lebih ramai akan merayakan dengan lebih banyak jenis kebebasan.
- Kongkongan status quo : Contoh - Mengapa macam ini? Dulu pun tak pernah buat macam ini? Mengapa tidak boleh ikut cara dahulu? Bukankah senang ikut sahaja? Senarai nama pun tak perlu tukar.
- Kongkongan zaman : Contoh 1 - E-mail? Saya hanya ada setem biasa, belum beli setem e-mail lagi. Adakah setem e-mail dibeli dari pejabat pos yang sama atau perlu pergi ke pejabat e-pos? Contoh 2 : Yang penting ada kelas, ada guru dan ada murid. Dahulu saya macam itu pun dapat ijazah. Mengapa susah-susah guna ICT, audit akademik....?
- Kongkongan ilmu : Strategi Lautan Biru? Bilakah lautan tak berwarna biru? Lautan merah? Oh, saya tahu--Red Sea yang dekat dengan Afrika.
- Kongkongan zon selesa : Contoh - Mengapa nak ubah ini, ubah itu? Bukankah cara biasa cukup baik? Saya dah ulang cara ini selama 30 tahun dan gaji tetap naik!
- Kongkongan ego : Apa ini, saya makan garam lebih banyak daripada awak makan beras--nak tunjuk ajar saya?
- Kongkongan kongkongan : Mana ada kongkongan?
- ...........................
- .............................
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Harap, harap jangan marah.
No comments:
Post a Comment