Saturday, August 23, 2008

5 Larangan

Semalam saya memberi ceramah kepada guru-guru baru daerah Kluang. Antara kandungan yang diberi ialah '5 Larangan'. Saya masukkan kandungan ini dalam blog saya untuk disebar lebih luas lagi semoga lebih ramai guru boleh membuat refleksi tentang amalan mereka di dalam bilik darjah. Tahniah kepada mereka yang mengamalkan 5 larangan yang berikut.

Larangan 1 : Budaya Takut (Fear Culture)
Jangan jadikan kelas seperti neraka. Murid-murid hanya dapat belajar dengan berkesan dalam suasana yang gembira. Jangan garang sangat. Walaupun kelas lebih diam apabila guru yang garang masuk, suasana yang terlalu tegang tidak kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Larangan 2 : Syok Sendiri
Mungkin disebabkan oleh faktor-faktor berikut kita mengamalkan kaedah 'Syok Sendiri'. Saya cuma boleh komen bahawa kaedah ini bukan untuk p&p tetapi p sahaja--iaitu pengajaran sahaja tanpa pembelajaran melainkan beberapa orang murid yang berpotensi mendapat hadiah Nobel satu masa nanti. Mengapa menggunakan kaedah 'Syok Sendiri'?
  • Lebih senang mengajar. Tidak perlu ambil kira keadaan murid yang terlampau berlainan.
  • Perlu cepat. Kalau tidak tak habis sukatan.
  • Dahulu pensyarah saya menggunakan kaedah ini.
  • Inilah satu cara saya menunjukkan kehandalan saya.
  • Saya lebih berani melihat muka papan hitam daripada muka murid-murid.
  • ........banyak lagi....pembaca boleh tambah sendiri.

Larangan 3 : Kata Tak Sama Buat
Jika kita menilaikan murid-murid, tahukah murid-murid juga menilai kita? Pada halnya seorang guru hanya mempunyai sepasang mata (dua pasang jika mengambil kira cermin mata) untuk melihat murid-murid tetapi berpuluh-puluh atau beratus-ratus pasang mata melihat guru tersebut. Guru seharusnya sedar bahawa murid belajar bukan sahaja daripada apa yang dia ajar tetapi juga daripada apa yang dia buat.


Larangan 4 : Ambil Jalan Mudah
Untuk mempertahankan dan memartabatkan profesion keguruan seorang guru harus melaksanakan tugas seperti tuntutan profesion itu. Jangan biar orang lain kata siapa-siapa pun boleh menjadi guru. Daya penolak (driving force) utama seharusnya intrinsik dan bukan ekstrinsik. Guru mengajar dengan betul, menanda buku, membenarkan murid-murid menjalankan eksperiment atau aktiviti hands-on kerana perkara-perkara ini adalah antara komponen wajib untuk mendidik murid-murid dengan berkesan. Jangan kata atau fikir bahawa kerja-kerja seperti tersebut di atas dilakukan kerana ada semakan atau pemantauan dari pihak atasan. Kalau begitu pasti akan berlaku banyak 'kebocoran' sebab tidak susah mencari banyak jalan mudah.


Larangan 5 : Pembunuh Harapan
Jangan menjadi pembunuh harapan. Sebaliknya, menjadi pemberi harapan. Bukan semua murid boleh mencapai prestasi akademik yang tinggi atas sebab pelbagai faktor yang semua guru sudah belajar semasa menyiapkan tugasan berkenaan menjadi seorang guru yang baik di maktab atau unversiti pada satu masa dahulu (sesetengah guru--pada zaman dahulu). Akan tetapi, setiap individu ada potensi tersendiri yang boleh dikembangkan jika dikenalpasti dan diberi motivasi dan bimbingan yang betul. Elakkan mengisikan minda murid-murid dengan negatif... negatif.... salah....salah.... sahaja.

Akhir sekali, sebelum ada pembaca blog saya naik marah kerana saya menyentuh 5 perkara yang dianggap sensitif atau yang menjadi 'senjata rahsia' itu tak rahsi lagi, saya cuma minta artikel ini dibaca dengan minda yang terbuka. Minda manusia adalah seperti payung terjun--hanya berfungsi jika dibuka.

Berita yang baik : Ramai guru telah lama mengamalkan 5 larangan ini.

2 comments:

lucia said...

hello friend,
sungguh menarik and memang apa yang saya juga maklumkan kepada guru-guru dan rakan seperjuangan saya semasa menjadi guru dan pengetua sewaktu dahulu.
Jelas sekali dan saya harap dapat dipanjangkan kepada semua IPG supaya mengingatkan bakal guru-guru kita dan saya rasa sesuai untuk guru-guru semasa yang bersikap seperti yang tertulis dan yang mempraktikkan 5 larangan ini.
Keep up the blogging...i enjoy them very much.

Thinking Allowed said...

Thanks Lucia. Your comment and encouragement is very timely.

Kadang-kadang kita boleh cakap sampai bibir mulut berbuih-buih dan biasanya para pendengar bersetuju sepenuhnya. Tetapi, apabila sampai ke amalan...

Tak apa, masih perlu terus bercakap tentang perkara ini. Perjuangan perlu diteruskan.