Sedikit perkongsian hujung minggu—Pagi ini semasa sesi kopi, terbangkitnya perbincangan tentang masalah profesionalisme dalam organisasi. Berlarutan dari perbincangan itu, saya ingin kongsi dengan rakan-rakan pembaca blog saya, satu artikel pendek yang ditulis oleh Fred Lew dan bertajuk Professionalism in Daily Routine, diterbitkan dalam P&Q Digest, Januari 2007.
Mengikut beliau, seorang profesional, selain daripada mempunyai pengetahuan tentang kerja perlu juga mempunyai komitmen dan dedikasi. Dalam bentuk persamaan,
Profesionalisme --> Pengetahuan + Sikap dan nilai positif yang dijiwakan
Mengikut beliau, terdapat empat sumber untuk memperoleh ilmu, iaitu, melalui pendidikan formal, latihan vokasional, menjadi perantis dan melalui pengalaman.
Beliau juga menerangkan bahawa tahap seseorang menjadi profesional, tidak kira apa jenis pekerjaan, bergantung kepada setakat mana beliau mematuhi lima petua yang asas.
- Perancangan--Gelagat profesional menuntutkan perancangan yang rapi supaya pertindihan dapat dielakkan dan kerja dapat dilaksanakan dengan lebih licin.
- Membuat keputusan--Cara kita membuat keputusan boleh menunjukkan setakat mana tahap profesional kita. Keputusan yang dibuat seharusnya berasaskan fakta dan angka, bukan setakat angan-angan sahaja.
- Kemahiran komunikasi--Bagaimana kita berkomunikasi dengan orang lain menunjukkan setakat mana kita berprofesional kepada pelanggan, pegawai-pegawai di atas atau di bawah kita.
- Bagaimana kita menyiapkan sesuatu kerja--Sikap kita dicerminkan oleh kerja yang dilakukan oleh kita. Profesionalisme menuntut menelitian setiap detail tidak kira berapa kecil perkara itu.
- Etika profesionalisme-Profesionalisme menuntut kod etika profesional dipatuhi setiap masa.
Profesionalisme menuntut lebih daripada kelayakan kertas atau sijil dan prinsip untuk kerja secara efisien memerlukan aspek lain termasuk kompetensi dalam kerja yang dipertanggungjawabkan, keyakinan, kebolehpercayaan, akauntabiliti, tanggungjawab dan beramanah. Ciri-ciri lain ialah integriti, jujur, cekap, keterbukaan dan pematuhan kepada etika sosial dan budaya. Seorang profesional tidak patut terlalu beremosi, mempunyai kepentingan diri/percanggahan kepentingan dan memecah amanah yang diberi.
Akhir sekali, beliau mengingatkan bahawa pelajaran berkenaan profesionalisme dalam rutin harian harus untuk membentukkan satu mindset yang positif dalam alam pekerjaan. Dari perspektif perkerjaan, perlu ada usaha untuk terus belajar meningkatkan kemahiran dan ilmu. Dari aspek perhubungan interpersonal, kita perlu terus menjiwakan semua sikap dan nilai positif.

No comments:
Post a Comment