Tuesday, January 11, 2011

Selamat 11.1.11

Selamat 11.1.11

Sekali sahaja dalam satu abad and bukan semua orang sempat hidup pada tarikh ini. Saya enggan membiarkan tarikh ini berlalu tanpa sebarang penulisan dalam blog saya. Bukan kata saya mempunyai banyak masa lapang, walau pun secara kebetulan hari ini ialah hari pelepasan awam di negeri Johor. Sejak awal-awal pagi ini saya telah mula menulis, bukan blog, tetapi menterjemahkan buku fizik saya ke dalam Bahasa Malaysia. Saya tidak jangka bahawa dalam tempoh sekitar sepuluh tahun, saya bermula menulis buku teks dan buku rujukan fizik dalam Bahasa Malaysia, kemudian terpaksa menulis dalam Bahasa Inggeris apabila PPSMI diperkenalkan dan kini pula balik ke Bahasa Malaysia, semuanya dalam tempoh 10 tahun! Saya perlu mendisiplin diri saya kerana dalam kesibukan pada masa ini, khasnya dengan permulaan penggal yang baru, tidak banyak tenaga yang baki lagi untuk penulisan selepas kerja. Satu pertiga masa yang saya diperuntukkan untuk menyiapkan kerja saya telah berlalu dengan hanya sekitar 10 %  kandungan yang disiapkan.Topik ini barangkali tidak menarik minat para pembaca. Oleh itu saya tukar ke topik yang lain.

Pagi ini saya membaca satu artikel bertajuk ’War and peace with my tweets’ oleh Karim Raslan di surat khabar The Star. Saya amat tertarik oleh artikel ini kerana kandungan ini menyentuh realiti kehidupan moden hari ini. Beliau menjelaskan sejak beliau jatuh cinta dengan Blackberry beliau sembilan bulan dahulu, kehidupan beliau telah berubah dengan pelbagai pengalaman media sosial melalui Internet yang telah mengambil terlalu banyak masa beliau. Beliau menghadapi satu cabaran yang besar menconggak masa antara kehidupan rutin dan kegemaran selama ini dengan media baru seperti Facebook, Twitter, MySpace dan LinkedIn.

Mengikut beliau dalam tempoh sembilan itu, beliau aktif dengan penggunaan Twitter yang menghadkan penulisan kepada 140 karakter sahaja, beliau kini perlu memaksakan diri untuk menumpukan perhatian untuk tempoh masa yang lebih panjang. Untuk menghadapi cabaran itu, beliau mula membaca semula buku ’War and Peace’, sebuah buku dengan kandungan sebanyak 1400 muka surat yang ditulis oleh Tolstoy! Apabila beliau kembali ke minat yang lama, iaitu membaca, beliau baru sedar begitu banyak kemampuan untuk menumpu perhatian telah merosot dalam sembilan bulan yang lalu.

Mengikut beliau, media-media sosial itu telah menjadikan beliau berasa gugup dan kehilangan tenaga. Beliau juga berasa kemahiran beliau untuk berkomunikasi dengan orang lain telah berkurangan. Beliau bertanya--Adakah kita sembunyi di belakang pelbagai kemudahan ‘online’ dan menggunakan media sosial sebagai alasan untuk enggan berinteraksi dengan manusia lain pada tahap yang lebih rapat, mesra dan benar? Adakah kaedah komunikasi yang lebih mudah, cepat dan terus itu membawa maksud pertukaran pandangan dan idea yang sebenar? Beliau selanjutnya menyatakan bahawa adalah bahaya jika kita semakin tak sabar untuk bercakap, membaca atau menulis seperti biasa—kerana kita percaya bahawa perbuatan ini adalah lebih berkesan melalui teknologi.

Mengikut beliau, media sosial adalah alatan yang sangat berguna (saya amat setuju), tetapi ia juga boleh menjadi suatu jerat (saya juga amat setuju; pisau pun begitu). Teknologi masih tidak boleh menggantikan kehidupan sebenar yang masih menjadi sumber inspirasi yang terbaik. Memerhati manusia yang lain tetap menjadi sesuatu perkara yang teknologi tidak boleh menggantikan. Walau bagaimana pun, adalah tak wajar untuk mengetepikan media sosial yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Yang utama ialah bagaimana kita menggunakan media sosial ini yang faedahnya yang sebenar. 

Cukup sampai di sini saya. Isteri sudah panggil untuk makan tengah hari. Selepas itu saya akan mengambil sedikit masa untuk melihat bunga di taman saya. Saya tidak lupa Blog juga satu media sosial, isteri ialah manusia dan bunga ialah ciptaan semulajadi.

Selamat 11.1.11.

1 comment:

Anonymous said...

wow!!! brilliant sebab itulah sebenarnya yang menjadikan kita keliru dengan hakikat kehidupan. Ezah, JB