Tuesday, November 30, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 7

Terdapat banyak takrifan kepada istilah kreativiti dan inovasi. Kadang-kadang kita dengar perbahasan tentang apa itu kreativiti dan apa itu inovasi dan apa perbezaan antara dua istilah itu tanpa kesimpulan yang jelas. Secara kasarnya, kreativiti boleh difahami dengan kebolehan untuk menghasilkan idea yang baru dan berguna. Kreativiti juga merangkumi kebolehan untuk mencantumkan dua atau lebih idea atau perkara yang nampaknya macam tidak berkaitan untuk menghasilkan sesuatu yang berguna. Kreativiti juga berkaitan dengan  pemikiran yang berlainan untuk menghasilkan bahan yang lebih baik, proses yang lebih cepat dan kos yang lebih rendah.

Ciptaan dan inovasi merupakan manifestasi amalan praktikal idea-idea kreatif. Sebagai contoh, idea yang kreatif berkenaan keperluan satu sistem amaran untuk mengingatkan pemandu kereta untuk memakai tali pinggang keledar dan aplikasi teknologi elektronik membolehkan idea kreatif itu untuk menghasilkan inovasi sistem lampu dan bunyi amaran yang diaktifkan secara automatik jika seorang pemandu itu menghidupkan enjin kereta tanpa memakai tali pinggang keledar.

Untuk mencipta sesuatu, seseorang perlu daya imaginasi yang tinggi, pemikiran yang analitik, maklumat yang cukup, keberanian untuk melepaskan dari skema pemikiran tradisi dan sudi mencabar prosedur yang stereotaip. Kreativiti jelas dinampak pada kanak-kanak. Kita tidak menjadikan kanak-kanak itu kreatif kerana mereka pada semulajadinya adalah kreatif. Sebaliknya, kita yang beransur-ansur menjadikan mereka semakin kurang kreatif. Kita harus menerima hakikat ini dan berusaha untuk mengurangkan halangan-halangan kreativiti jika kita benar-benar serius untuk mempromosikan kreativiti dalam 'thinking classroom'. Sumbangan yang paling besar kalangan guru dan ibu bapa  dalam perkembangan kreativiti kanak-kanak ialah dengan mewujudkan satu suasana atau ekosistem yang selamat dan bebas untuk meneroka, mencipta dan MEMBUAT KESILAPAN. Sering kali seorang kanak-kanak terikat pada kesedaran diri melalui proses berterusan tentang perbuatan 'sepatutnya' dan 'tidak sepatutnya' yang dikuatkuasakan oleh pelbagai daya sosial, budaya, tradisi, peraturan dan panduan yang tidak lari daripada pengukuhan yang positif atau negatif, sama ada eksplisit atau tidak eksplisit (dalam bentuk pujian, teguran, ganjaran material, hukuman atau peringatan tentang keperluan untuk 'masuk ke dalam barisan'). Masih ingat cartoon di sebelah? Sistem pendidikan yang terlampau menegaskan ganjaran dan hukuman akan memperlahankan perkembangan kreativiti di kalangan murid-murid.

Kreativiti juga tidak seharusnya diukur oleh insiden-insiden terpencil. Sebagai contoh, satu pasukan rekacipta sekolah yang memenangi pertandingan walau sehingga ke peringkat antarabangsa pun tidak semestinya menunjukkan budaya sekolah yang kreatif. Kadang-kadang insiden seperti ini boleh disebabkan oleh faktor-faktor luar seperti : kebetulan seorang murid yang berkenaan itu mempunyai seorang bapa yang memang kreatif dan juga seorang pencipta; mungkin sekolah itu 'mengkontrakkan' kerja rekacipta itu kepada orang luar, bekas murid yang sekarang menjadi jurutera dan lain-lain. Malangnya perkara seperti ini terus berlaku kerana terdapat penilai-penilai yang kurang kritikal. (Ini bukan bermaksud 'tak dapat makan anggur kata anggur masam'.) Baik berhenti di sini untuk disambung kemudian sebelum saya terlari terlalu jauh dari topik asal.

Monday, November 29, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 6

Saya simpan kartun ini tak kurang daripada 10 tahun dan dalam beberapa ketika telah menggunakannya dalam ceramah saya. Apa yang menarik minat saya ialah mesej yang disampaikan amat relevan dengan keadaan sebenar di banyak bilik darjah. Budak dalam kartun itu sebenarnya bukan tidak pandai jika kita menilai alasan yang diberi olehnya ketika tidak dapat menjawab soalan matematik yang diberi. Mungkin kecenderungan budak itu bukan pada matematik-logik. Mungkin guru budak itu tidak mahir merangsangkan minatnya untuk belajar matematik. Jika dilihat dari sudut yang positif, budak ini agak kreatif.  Siapa tahu dia mungkin akan menjadi seorang jurujual (salesman) yang berjaya? Oleh itu, kita tidak harus melabelkan budak ini berkebolehan rendah.

Mengapa kebanyakan murid kurang kreatif jika diperhatikan dari beberapa aspek yang antaranya,
  • kurang rela memberi jawapan?
  • takut menjawab atau memberi pandangan?
  • pasif dan lebih cenderung kepada memberi jawapan berasaskan LOTS (lower order thinking skills)?
  • suka menjadi neutral atau tidak ingin melibatkan diri sama ada dalam menjawab atau perbincangan?
  • kurang mahir untuk memberi pandangan yang luar dari norma/biasa?
  • aktif menjawab semasa kecil tetapi semakin pasif apabila umur semakin meningkat? 
Jawapannya kurang jelas tetapi rajah di sebelah mungkin boleh mendorongkan kita membuat refleksi bersama-adakah kita telah mewujudkan terlalu banyak peraturan dan secara sedar atau tidak sedar beransur-ansur membunuh kreativiti murid-murid?

Sunday, November 28, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 5

1. Lat lagi : Isu patriotisme. Sila bincang.
  • Adakah bendera itu menjadi seorang lebih patriotik?
  • Adakah bendera itu menjadikan pemandu itu kurang salah?
  • Bolehkah faktor bendera itu diambil kira dalam pertimbangan keberatan pelanggaran undang-undang seperti terlampau berat atau terlampau banyak asap hitam dikeluarkan?
  • Yang mana satu lebih patriotik-Mengkibar bendera atau mematuhi undang-undang?
2. Akauntabiliti dan tanggungjawab: Apabila sesuatu usaha itu berjaya, ramai akan berkejar-kejar ke depan untuk menuntut pengiktirafan sumbang diri kepada kejayaan itu. Tetapi, apabila sesuatu usaha itu tidak berjaya, ramai juga akan berkejar-kejar untuk mencari mangsa untuk memikul tanggungjawab itu. Setuju tidak? Sila bincang.

Rakan-rakan sekalian, terdapat banyak grafik yang boleh anda pilih untuk digunakan di dalam bilik darjah. Sesiapa yang menyatakan tidak sesuai, buang masa, tak habis sukatan pelajaran hanya mencari alasan sahaja. Sekali lagi kenyataan saya tidak semestinya anda setujui. Saya cuma nak kata pengajaran dan pembelajaran bukan seperti mengisi tin dengan air. Kalau kita berjaya merangsangkan pemikiran murid-murid, kemungkinan besar mereka dapat belajar dengan lebih berkesan. Pernahkah rakan-rakan dengar kata 'Teach less, learn more'? (Jangan salah faham dan amalkan 'teach less' sahaja!)


Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 4

Anggap dan salah anggap : Itu sahaja tajuk yang diberi.

Minta respons daripada murid-murid selepas menunjukkan mereka gambar pertama. Selepas itu, tunjukkan gambar yang kedua dan minta respons daripada murid-murid tanpa merujuk kepada gambar yang pertama. Kemudian, minta murid-murid menggabungkan kedua-dua gambar itu untuk membuat sesuatu kesimpulan. Guru boleh membimbing mereka untuk mengaitkan perbincangan mereka dengan kehidupan harian dari segi anggapan, salah anggapan, membuat kesimpulan yang salah berasaskan anggapan yang sering dipengaruhi oleh norma masyarakat, kepercayaan yang salah dan sebagainya.

Kata-kata kunci sebagai panduan perbincangan (jika perlu sahaja):

Gambar 1:
  • Pemerhatian : Ada budak, ada girafa, ada sungai, budak melompat,....
  • Tahap yang lebih tinggi lagi : Air dalam (ada inferens terlibat), budak yakin (inferens dari cara budak itu melompat), giraf relaks-boleh dibahaskan,....
Gambar 2:
  • Pemerhatian: Budak cedera, giraf naik ke darat, kaki giraf pendek....
  • Tahap yang lebih tinggi lagi: Budak marah, giraf relaks, air cetek,....
Gabungan Gambar 1 dan 2:
  • Tahap yang lebih tinggi (Higher order thinking skills atau HOTS): Anggapan bahawa semua girafa berkaki panjang adalah salah. Anggapan yang salah itu menyebabkan kesimpulan yang salah berkenaan kedalaman air itu. Akibat daripada kesimpulan yang salah, perbuatan yang salah dilakukan (melompat). Akibat daripada perbuatan yang salah itu, kecederaan/kerugian ditimpai.
  • Tahap yang lebih tinggi lagi: Kaitkan perkara ini dengan perkara yang berlaku di sekitar kita. Contoh: a)Perbuatan yang tergesa-gesa tanpa kajian dan penyelidikan yang menyeluruh menyebabkan penggubalan dasar yang kurang sesuai. b)Melaksanakan sesuatu perkara berasaskan kayu ukur yang tidak norma boleh mendatangkan kesan yang buruk. c)Kesedaran selepas kesilapan kadang-kadang mendatangkan kerugian yang besar dari segi kehilangan wang, masa dan peluang. d)Dari 'hero' ke 'zero'. .....



Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 3

Tips untuk guru Sivik dan guru Bimbingan dan Kaunseling.

Guru Sivik : Tayangkan gambar ini. Jangan terangkan apa-apa. Minta murid-murid untuk menerangkan gambar ini sendiri sebelum mendatangkan kesimpulan. Boleh juga meminta murid-murid secara bergiliran-seorang kemukakan satu perkataan untuk mendiskripsikan gambar ini. Saya harap Lat tidak marah kerana saya menggunakan bahan beliau. Saya percaya Lat akan berasa gembira untuk mengetahui hasil karya beliau dapat membantu dalam 'thinking classroom'.

Guru Bimbingan dan Kaunseling : Boleh menggantungkan gambar ini di dalam Bilik Kaunseling. Saya percaya sebahagian daripada masalah murid-murid yang mendapat khidmat kaunseling akan selesai selepas melihat gambar ini. (Betul ke? Jangan lupa, jangan percaya sebegitu sahaja. Tetapi, jangan tolak terus. Boleh cuba, boleh eksperimen tanpa prejudis.) Ramai kanak-kanak hidup dalam zaman yang selesa, serba ada dan berada di alam manja sehingga mereka kurang biasa dengan cabaran dan kegagalan. Apa kata jika mereka disedarkan dengan realiti tentang kegagalan yang memang merupakan sebahagian wajib kepada sesiapa yang mencari kejayaan?

Dalam kelapangan yang dapat kita mencari, khasnya dalam cuti ini, rakan-rakan boleh mencari pelbagai bahan yang serupa yang tidak susah diperoleh dengan bantuan Internet dan mewujudkan satu 'Bank Multimedia' yang banyak membantu dalam kerjaya kita.


Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 2

Dalam ceramah saya yang bertajuk 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P' kepada guru-guru daripada program 'Guru Program Pelajar Cemerlang' saya telah menggunakan dua kartun seperti yang ditunjukkan di sebelah kanan sebagai permulaan subtopik untuk menyampaikan mesej satu perkara yang sering mengganggu fikiran saya. Saya tidak pasti mesej itu dapat dikomunikasikan dengan jelas atau tidak sewaktu ceramah itu.

Saya berfikir (kali ini 'Thinking Allowed') perkataan 'cemerlang' terlalu bebas digunakan, atau lebih tepat lagi, disalahgunakan. Kita ada pengetua cemerlang, guru cemerlang, murid cemerlang dan sekarang guru baru cemerlang. Kadang-kadang kita sesama diri bergurau-gurau jika satu hari terlalu banyak kategori cemerlang muncul dan terlalu 'liberal' digunakan, perkataan itu dengan sendirinya akan hilang erti sebenarnya. Pada ketika itu, yang tidak memakai label 'cemerlang' kan menjadi golongan yang gembira. Adakah gejala ini menyebabkan perkataan yang lebih dahsyat seperti 'gemilang' dan 'terbilang' muncul?

Dalam interaksi saya dengan golongan-golongan yang memakai gelaran 'cemerlang', ramai di kalangan mereka memang cemerlang dan layak memakai label ini. Akan tetapi,....... Oleh itu, melalui dua kartun ini, saya ingin menyampaikan beberapa pandangan untuk direnung bersama. Rakan-rakan tidak semestinya setuju. (Jangan lupa, untuk mempromosikan 'the thinking classroom', jangan memaksakan persetujuan bersama atau penerimaan fakta sebegitu sahaja tanpa perbahasan.)

Label 'cemerlang' merupakan satu pengiktirafan berasaskan rekod yang lepas dan harus dipertahankan dengan usaha yang lebih cemerlang lagi. Label ini tidak seharusnya dianggapkan semata-mata sebagai satu penganugerahan atau hasil daripada nasib yang baik seperti kena loteri. Label 'cemerlang' harus datang bersama dengan tanggungjawab dan komitmen kepada 'core business' yang digariskan. Kalau tidak, kita mungkin berlayar di lautan kecemerlangan, setakat berhanyut tetapi tanpa hala tuju yang jelas. Ada kala, dengan nasib yang baik, ombak dan angin membawa kita ke satu tempat di mana kita diperhatikan sebagai cemerlang tetapi pada kebanyakan masa, kita berapung-apung di lautan kecemerlangan dan menikmati hasil penganugerahan yang kita terima tanpa jelas sumbangan kita yang setimpal dengan label itu. Kita yakin dan pasti akan berhanyut kerana rakit yang kita terima itu kukuh dan tahan sehingga kita bersara. Kita mungkin boleh menghiaskan rakit kita supaya nampak seperti motorbot atau jentera moden yang canggih untuk memikat hati mereka yang kurang kritikal dan analitikal walaupun masih tidak mempunyai kompas,enjin dan kemudi.

Sebaliknya, kita harus mendaki gunung kegemilangan, yang curam dan berbatu keras. Kita tidak boleh berhanyut-hanyut di pertengahan gunung tetapi kita boleh mengakui kalah dan menurun ke tapak. Kalau tidak, kita perlu kemahiran yang sebenar untuk menarik diri ke puncak. Atau, kita boleh memberitahu diri kita, mengapa kita perlu bersusah payah kerana kita sudah puas dengan label 'cemerlang'...apa lagi, tidak perlu, belum wujud lagi, label 'gemilang'. Apa kata kalau esok ada label rasmi 'gemilang', mungkin kita akan kata belum wujud lagi label 'terbilang'.

Setakat ini, adakah penulisan saya berkaitan dengan 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P'? Ada kaitan dengan 'thinking classroom'? Ya, saya masih dalam perbincangan yang berkaitan dengan penggunaan kartun sebagai senjata dalam p&p. Kontroversi dan percangganan (contradiction) merupakan suasana yang subur untuk menggalakkan pemikiran inovasi dan kreativiti. Budaya inovasi dan kreativiti susah disemaikan di dalam ekosistem yang stereotaip, yang mementingkan 'form' daripada 'substance', yang mengutamakan 'label' daripada 'content', yang melonggokkan semua manusia seperti keluaran kilang (yang keluaran dari kilang pun ada yang cacat, yang tidak memenuhi kepiawaian....), yang menilai kilang intan dan kilang batu dengan kayu ukur yang sama.

Rakan-rakan boleh tidak bersetuju dengan pendapat saya, boleh setuju untuk tidak setuju (agree to disagree), boleh kemukakan pandangan diri yang mungkin banyak berlainan. Yang saya bimbang ialah ada orang yang (1) setuju 100% (2) tidak setuju 100% (3) marah kerana rasa tercabar (4) tak senang hati kerana saya sentuh tentang realiti walau pun sudah dijelaskan, dari sudut pandangan diri saya.....kerana, orang-orang ini tidak akan mempercepatkan pembudayaan 'the thinking classroom'. Setuju tidak? (Berhati-hati sebelum menjawab soalan ini.)  :-)




Saturday, November 27, 2010

Kreativiti Dan Inovasi Dalam P&P - 1

Pada 24 November 2010 saya dijemput oleh Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Johor(JPNJ) untuk memberi sedikit input tentang 'The Thinking Classroom'. Saya sungguh gembira perkara ini dihidupkan semula dan berharap akan menjadi amalan yang lebih berkekalan di sekolah. Memandangkan perkara berkenaan dengan 'Thinking Classroom' sudah diberi nafas yang baru oleh pihak yang berkuasa, saya mengambil kesempatan ini untuk mengkongsi sedikit pengalaman saya berkenaan dengan topik ini.

Pada 12 Oktober, saya dijemput oleh Sektor Pengurusan Sekolah, JPNJ untuk melatih sekumpulan guru baru di La Bella Resort, Mersing. Tajuk saya ialah 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P'. Latihan ini merupakan sebahagian daripada program 'Guru Program Pelajar Cemerlang' dan peserta-peserta merupakan guru-guru baru yang pernah dihantar ke luar negeri untuk latihan khas. Saya ingin mengambil sedikit daripada kandungan kursus itu untuk diterbitkan di dalam blog ini. (Pihak PPD Mersing sebenarnya telah merakamkan sesi latihan selama hampir 5 jam itu. Setakat ini saya tidak terima sebarang berita tentang hasil rakaman itu. Mungkin sudah telah diserang oleh virus digital!)

Inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) adalah pemangkin kepada 'the thinking classroom'. Namun demikian, kejayaan pembudayaan 'thinking classroom' bukan hanya terletak di atas bahu guru. Kejayaannya amat bergantung kepada satu ekosistem sekolah dan dasar pendidikan yang kondusif. 

Penggunaan Kartun
Rakan-rakan saya tahu kartun merupakan satu senjata penting saya dalam p&p. Walaupun saya telah banyak menulis tentang penggunaan kartun, saya masih tidak puas hati kerana masih tidak ramai guru yang ingin meneroka potensi senjata ini. Kartun boleh digunakan untuk menyampaikan mesej yang memberi impak yang besar berbanding dengan penggunaan perkataan sahaja.
Lihat rajah di sebelah kanan dengan terliti. Apakah yang dapat anda pelajari dari gambar ini? Apakah mesej utama yang ingin disampaikan oleh gambar ini? Cuba buat sedikit refleksi: Kadang-kadang kita sibuk, menggerakkan banyak tenaga manusia, menggunakan banyak masa, wang dan resos untuk melakukan sesuatu yang kurang atau tidak menghasil. Bukankah gambar ini sesuai sebagai pencetus perbahasan tentang beberapa perkara yang berikut?
  • Lebih rajin tidak semestinya lebih output.
  • Lebih ramai tidak semestinya lebih baik.
  • Sibuk tidak semestinya menghasil.
  • ........


Kartun selanjutnya sesuai untuk melatih kemahiran berfikir dengan cara yang menyeronokkan. Mengapa Hagar menyatakan bahawa apa yang berada di dalam laut mestilah yang sangat besar dan lapar selepas melihat keadaan pengayuh sampan itu? Tayangkan gambar ini dan minta respons daripada murid-murid.

Lihat rajah yang ketiga di sebelah kanan. Mengapa minda dikatakan serupa dengan payung terjun? Sila bincang.

Bagaimana pula tentang kartun yang dilukiskan oleh Lat ini? Bolehkan murid-murid menulis ayat-ayat atau karangan pendek berasaskan gambar ini? Cuba terlitikan durian yang terletak di kanan sekali dalam gambar ini dan cuba bayangkan apa akan berlaku apabila pelanggan perempuan itu bertunduk untuk memilih durian. Saya pasti gambar ini dapat menarik minat kanak-kanak yang memang memiliki sifat kenakalan pada setiap mereka.
 
Akan disambung lagi...........