Dalam ceramah saya yang bertajuk 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P' kepada guru-guru daripada program 'Guru Program Pelajar Cemerlang' saya telah menggunakan dua kartun seperti yang ditunjukkan di sebelah kanan sebagai permulaan subtopik untuk menyampaikan mesej satu perkara yang sering mengganggu fikiran saya. Saya tidak pasti mesej itu dapat dikomunikasikan dengan jelas atau tidak sewaktu ceramah itu.
Saya berfikir (kali ini 'Thinking Allowed') perkataan 'cemerlang' terlalu bebas digunakan, atau lebih tepat lagi, disalahgunakan. Kita ada pengetua cemerlang, guru cemerlang, murid cemerlang dan sekarang guru baru cemerlang. Kadang-kadang kita sesama diri bergurau-gurau jika satu hari terlalu banyak kategori cemerlang muncul dan terlalu 'liberal' digunakan, perkataan itu dengan sendirinya akan hilang erti sebenarnya. Pada ketika itu, yang tidak memakai label 'cemerlang' kan menjadi golongan yang gembira. Adakah gejala ini menyebabkan perkataan yang lebih dahsyat seperti 'gemilang' dan 'terbilang' muncul?
Dalam interaksi saya dengan golongan-golongan yang memakai gelaran 'cemerlang', ramai di kalangan mereka memang cemerlang dan layak memakai label ini. Akan tetapi,....... Oleh itu, melalui dua kartun ini, saya ingin menyampaikan beberapa pandangan untuk direnung bersama. Rakan-rakan tidak semestinya setuju. (Jangan lupa, untuk mempromosikan 'the thinking classroom', jangan memaksakan persetujuan bersama atau penerimaan fakta sebegitu sahaja tanpa perbahasan.)
Label 'cemerlang' merupakan satu pengiktirafan berasaskan rekod yang lepas dan harus dipertahankan dengan usaha yang lebih cemerlang lagi. Label ini tidak seharusnya dianggapkan semata-mata sebagai satu penganugerahan atau hasil daripada nasib yang baik seperti kena loteri. Label 'cemerlang' harus datang bersama dengan tanggungjawab dan komitmen kepada 'core business' yang digariskan. Kalau tidak, kita mungkin berlayar di lautan kecemerlangan, setakat berhanyut tetapi tanpa hala tuju yang jelas. Ada kala, dengan nasib yang baik, ombak dan angin membawa kita ke satu tempat di mana kita diperhatikan sebagai cemerlang tetapi pada kebanyakan masa, kita berapung-apung di lautan kecemerlangan dan menikmati hasil penganugerahan yang kita terima tanpa jelas sumbangan kita yang setimpal dengan label itu. Kita yakin dan pasti akan berhanyut kerana rakit yang kita terima itu kukuh dan tahan sehingga kita bersara. Kita mungkin boleh menghiaskan rakit kita supaya nampak seperti motorbot atau jentera moden yang canggih untuk memikat hati mereka yang kurang kritikal dan analitikal walaupun masih tidak mempunyai kompas,enjin dan kemudi.
Sebaliknya, kita harus mendaki gunung kegemilangan, yang curam dan berbatu keras. Kita tidak boleh berhanyut-hanyut di pertengahan gunung tetapi kita boleh mengakui kalah dan menurun ke tapak. Kalau tidak, kita perlu kemahiran yang sebenar untuk menarik diri ke puncak. Atau, kita boleh memberitahu diri kita, mengapa kita perlu bersusah payah kerana kita sudah puas dengan label 'cemerlang'...apa lagi, tidak perlu, belum wujud lagi, label 'gemilang'. Apa kata kalau esok ada label rasmi 'gemilang', mungkin kita akan kata belum wujud lagi label 'terbilang'.
Setakat ini, adakah penulisan saya berkaitan dengan 'Kreativiti dan Inovasi dalam P&P'? Ada kaitan dengan 'thinking classroom'? Ya, saya masih dalam perbincangan yang berkaitan dengan penggunaan kartun sebagai senjata dalam p&p. Kontroversi dan percangganan (contradiction) merupakan suasana yang subur untuk menggalakkan pemikiran inovasi dan kreativiti. Budaya inovasi dan kreativiti susah disemaikan di dalam ekosistem yang stereotaip, yang mementingkan 'form' daripada 'substance', yang mengutamakan 'label' daripada 'content', yang melonggokkan semua manusia seperti keluaran kilang (yang keluaran dari kilang pun ada yang cacat, yang tidak memenuhi kepiawaian....), yang menilai kilang intan dan kilang batu dengan kayu ukur yang sama.
Rakan-rakan boleh tidak bersetuju dengan pendapat saya, boleh setuju untuk tidak setuju (agree to disagree), boleh kemukakan pandangan diri yang mungkin banyak berlainan. Yang saya bimbang ialah ada orang yang (1) setuju 100% (2) tidak setuju 100% (3) marah kerana rasa tercabar (4) tak senang hati kerana saya sentuh tentang realiti walau pun sudah dijelaskan, dari sudut pandangan diri saya.....kerana, orang-orang ini tidak akan mempercepatkan pembudayaan 'the thinking classroom'. Setuju tidak? (Berhati-hati sebelum menjawab soalan ini.) :-)
No comments:
Post a Comment