Terdapat banyak takrifan kepada istilah kreativiti dan inovasi. Kadang-kadang kita dengar perbahasan tentang apa itu kreativiti dan apa itu inovasi dan apa perbezaan antara dua istilah itu tanpa kesimpulan yang jelas. Secara kasarnya, kreativiti boleh difahami dengan kebolehan untuk menghasilkan idea yang baru dan berguna. Kreativiti juga merangkumi kebolehan untuk mencantumkan dua atau lebih idea atau perkara yang nampaknya macam tidak berkaitan untuk menghasilkan sesuatu yang berguna. Kreativiti juga berkaitan dengan pemikiran yang berlainan untuk menghasilkan bahan yang lebih baik, proses yang lebih cepat dan kos yang lebih rendah.
Ciptaan dan inovasi merupakan manifestasi amalan praktikal idea-idea kreatif. Sebagai contoh, idea yang kreatif berkenaan keperluan satu sistem amaran untuk mengingatkan pemandu kereta untuk memakai tali pinggang keledar dan aplikasi teknologi elektronik membolehkan idea kreatif itu untuk menghasilkan inovasi sistem lampu dan bunyi amaran yang diaktifkan secara automatik jika seorang pemandu itu menghidupkan enjin kereta tanpa memakai tali pinggang keledar.
Untuk mencipta sesuatu, seseorang perlu daya imaginasi yang tinggi, pemikiran yang analitik, maklumat yang cukup, keberanian untuk melepaskan dari skema pemikiran tradisi dan sudi mencabar prosedur yang stereotaip. Kreativiti jelas dinampak pada kanak-kanak. Kita tidak menjadikan kanak-kanak itu kreatif kerana mereka pada semulajadinya adalah kreatif. Sebaliknya, kita yang beransur-ansur menjadikan mereka semakin kurang kreatif. Kita harus menerima hakikat ini dan berusaha untuk mengurangkan halangan-halangan kreativiti jika kita benar-benar serius untuk mempromosikan kreativiti dalam 'thinking classroom'. Sumbangan yang paling besar kalangan guru dan ibu bapa dalam perkembangan kreativiti kanak-kanak ialah dengan mewujudkan satu suasana atau ekosistem yang selamat dan bebas untuk meneroka, mencipta dan MEMBUAT KESILAPAN. Sering kali seorang kanak-kanak terikat pada kesedaran diri melalui proses berterusan tentang perbuatan 'sepatutnya' dan 'tidak sepatutnya' yang dikuatkuasakan oleh pelbagai daya sosial, budaya, tradisi, peraturan dan panduan yang tidak lari daripada pengukuhan yang positif atau negatif, sama ada eksplisit atau tidak eksplisit (dalam bentuk pujian, teguran, ganjaran material, hukuman atau peringatan tentang keperluan untuk 'masuk ke dalam barisan'). Masih ingat cartoon di sebelah? Sistem pendidikan yang terlampau menegaskan ganjaran dan hukuman akan memperlahankan perkembangan kreativiti di kalangan murid-murid.
Kreativiti juga tidak seharusnya diukur oleh insiden-insiden terpencil. Sebagai contoh, satu pasukan rekacipta sekolah yang memenangi pertandingan walau sehingga ke peringkat antarabangsa pun tidak semestinya menunjukkan budaya sekolah yang kreatif. Kadang-kadang insiden seperti ini boleh disebabkan oleh faktor-faktor luar seperti : kebetulan seorang murid yang berkenaan itu mempunyai seorang bapa yang memang kreatif dan juga seorang pencipta; mungkin sekolah itu 'mengkontrakkan' kerja rekacipta itu kepada orang luar, bekas murid yang sekarang menjadi jurutera dan lain-lain. Malangnya perkara seperti ini terus berlaku kerana terdapat penilai-penilai yang kurang kritikal. (Ini bukan bermaksud 'tak dapat makan anggur kata anggur masam'.) Baik berhenti di sini untuk disambung kemudian sebelum saya terlari terlalu jauh dari topik asal.
No comments:
Post a Comment