Thursday, September 10, 2009

Faktor-faktor 'Lain' Untuk Menjayakan Perubahan

Sering kita membuat satu kesilapan sama dengan atau tanpa kesedaran. Kita mungkin sedar tetapi komitmen kita adalah setakat 'asal ada buat' sahaja. Atau, kita tidak sedar dan menganggap apa yang kita buat, yang sebenarnya tidak mencukupi itu, adalah sebaik yang mungkin. Apa maksud saya?

Katakan kita ingin melakukan sesuatu perubahan, sama ada kepada sesuatu dasar atau amalan, di mana pengikut kita perlu belajar ilmu dan cara yang baru dan membuat pengubahsuaian dalam kaedah yang lama. Pengikut kita perlu mengubah 'mindset' mereka untuk menghijrah dari amalan lama ke amalan baru. Soalnya ialah setakat mana kita berjaya menggerakkan mereka untuk menerima dan menggunakan kaedah baru dengan berkesan? Adakah setakat memberi kursus pendedahan dan menganggapkan bahawa segala-gala yang lain akan berikut secara automatik? Bolehkah kita yakin bahawa perubahan akan pasti berjaya jika semua pengikut kita telah dilatih?

Di sini saya ingin mencadangkan buku 'The Tipping Point - How Little Things Can Make a Big Difference' oleh Malcom Gladwell sebagai rujukan yang baik untuk melihat bagaimana sesuatu perkara atau perubahan boleh berjaya. Di sini kita menganggap sesuatu perkara atau perubahan sebagai sesuatu idea. Mengikut Gladwell, sesuatu idea itu sekiranya dapat melepasi sesuatu titik kritikal (threshold) di mana 'critical mass' dicapai, satu lonjakan yang besar akan dihasilkan. Sebatang mancis dalam keadaan normal mengandungi sebatang kayu dengan sedikit bahan kimia pada satu hujungnya (kepala mancis). Tetapi, jika mancis itu digosok dengan daya yang mencukupi, di atas sesuatu permukaan yang disalut dengan sejenis bahan kimia yang khas (di sisi kotak mancis), satu perubahan yang drastik akan berlaku dan kepala mancis itu 'meletup' dan berapi. Kepala mancis itu mengalami sesuatu perubahan yang drastik apabila syarat-syarat (bahan kimia dan geseran yang mencukupi) dicapai--mancis itu melepasi titik kritikal. Begitu juga, sesuatu idea akan diterima ramai dan berjaya diterjemahkan kepada realiti jika 'critical mass' dapat dicapai. Gladwell juga menegaskan bahawa sesuatu idea boleh merebak seperti virus dalam epidemik, sekiranya masa, suasana dan konteks yang sesuai dikenakan.

Faktor manusia amat penting dalam penyebaran dan penerimaan sesuatu idea. Mengikut 'The law of the few', Malcom Gladwell menerangkan bahawa sesuatu trend dijanakan, biasanya, oleh sekumpulan kecil orang sahaja. Orang-orang inilah yang 'merebak' dan 'menjangkit' ramai orang lain dengan sesuatu idea hingga menjana suatu trend. Berkenaan dengan kebolehan sesuatu idea, mesej atau produk untuk melekat pada minda orang ramai, faktor-faktor 'stickiness' perlu diterlitikan. Ini merangkumi faktor seperti idea itu senang diingati dan dikenangi, pratikal, ada unsur personal dan inovatif. Satu lagi aspek yang digelari sebagai 'The power of context', sesuatu idea itu lebih mudah dilekat atau diterima jika penyebarannya adalah pada masa dan tempat yang betul.

Berfokus kepada faktor manusia, tiga jenis orang menjadi penyumbang utama kepada penghasilan tipping point. Connectors merupakan orang-orang yang mempunyai jaringan sosial yang besar. Mereka dapat merebak sesuatu idea dengan luas melalui hubungan mereka dengan orang lain. Mavens merupakan orang-orang yang mempunyai ilmu dan kepakaran yang tinggi dan sudi mengongsi ilmu mereka dengan orang lain. Jenis ketiga ialah salesmen. Salesmen merupakan orang-orang yang mempunyai kemahiran tinggi mempengaruhi orang lain. Mereka mempunyai karisma untuk menarik pengikut.

Saya harap dapat membincang lebih lanjut lagi dan jika minda saya mengizinkan, dalam konteks kepimpinan di peringkat sekolah, pada masa akan datang.

No comments: