Dalam artikel Faktor-faktor 'Lain' Untuk Menjayakan Perubahan 2 saya telah membincang tentang kepentingan komunikasi untuk menyebar sesuatu mesej, khasnya, berkenaan sesuatu perubahan. Sama ada mesej itu dapat melekat atau tidak, selain daripada kandungannya, bergantung juga kepada cara mesej itu dipakejkan. Sesuatu mesej jika dapat dipakejkan suapaya menarik, mudah difahamkan dan dikenangi mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk melekat, merebak dan menggerakkan kita untuk bertindak.
Menurut Malcom Gladwell (The Tipping Point - How Little Things Can Make a Big Difference), faktor lekatan (stickiness factor) akan menentukan sama ada sesuatu mesej itu dapat merebak seperti epidemik (wabak) atau tidak. Penelitian diberi kepada bagaimana sesuatu idea itu dikomunikasikan, yang merangkumi nilai tambah dengan bantuan aspek visualisasi, emosi, motivasi, struktur dan format mesej akan mempengaruhi tahap mesej itu melekat pada penerima. Di sini kita sering dapat sesuatu mesej tidak mudah diterima (atau tidak melekat) kerana orang yang dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan mesej itu tidak menggunakan usaha dan tenaga yang cukup untuk mengorientasikan atau mempakejkan mesej itu untuk mudah difahami, mudah disebar luas selanjutnya dan mudah diterjemahkan kepada tindakan. Ini adalah seperti orang yang ditugaskan untuk menebangkan sebatang pokok tidak membuat kerja awalan seperti memilih kapak yang sesuai, mengasahkan kapak dan menentukan bahagian mana pokok itu patut dipotong. Sesuatu perkara itu mungkin baik dan mempunyai matlamat positif yang akan membawa kemajuan. Tetapi, jika mesej itu tidak dikomunikasikan dengan jelas, sebaliknya, terlindung di belakang konsep-konsep yang abstrak, formula-formula yang terlalu teknikal atau dalam konteks yang berlainan dengan penerima, mesej itu tidak akan melekat. Saya percaya pembaca dapat memberi contoh-contoh berdasarkan pengalaman sendiri.
No comments:
Post a Comment