Saturday, September 5, 2009

Kursus Kepemimpinan Transformasional 3

Barangkali komponen humor perlu dimasukkan ke dalam kandungan kursus Kepemimpinan Transformasional. Ini adalah kerana humor amat diperlukan dalam suasana kerja seorang pemimpin sekolah penuh dengan tekanan dan cabaran. Lebih-lebih lagi, dengan tambahan ancaman wabak H1N1 baru-baru ini, dibimbangkan senyuman pemimpin sekolah semakin berkurangan dan jualan pill tekanan darah semakin meningkat.

Buku 'Humor Dalam Pengajaran' oleh Abdul Ghani Abdullah, Abd. Rahman Abd. Aziz dan Abdul Rashid Mohamed, menerangkan bahawa di Britain, humor digunakan di kalangan anggota polis bagi menghilangkan ketegangan ketika menjalankan tugas. Juga, di Amerika Syarikat dan Eropah, korporat-korporat dapat meningkatkan produktiviti pekerja jika mereka dibenarkan berjenaka dan ketawa semasa kerja. Buku itu menyarankan penggunaan humor dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah untuk meningkatkan minat murid-murid dalam pelajaran mereka. Dan, ini dapat diterjemahkan kepada peningkatan prestasi akademik murid-murid. Kembali ke pemimpin sekolah, adakah anda bersetuju bahawa humor dapat membantu seorang memimpin sekolah? Soalan ini amat menarik dan patut dibahaskan dalam pletfom yang sesuai. Secara peribadi, saya amat percaya humor berkait rapat dengan kreativiti dan tenaga positif (minda).


Walau bagaimana pun, semasa kursus Kepemimpinan Transformasional, unsur humor memang wujud, tidak secara terancang, tetapi secara sambilan dan spontan, khasnya semasa peserta-peserta menjalankan bengkel dan 'gallery walk'. Banyak suara ketawa didengar. Bukankah kaedah ini lebih seronok dan berkesan? Bolehkah perkara seperti ini berlaku di sekolah?

No comments: