Pada minggu lepas (10/9/2009) saya menulis berkenaan dengan faktor-faktor lain untuk menjayakan perubahan di mana saya cuba mengaitkan dengan kandungan dari buku 'The Tipping Point - How Little Things Can Make a Big Difference' oleh Malcom Gladwell. Saya cuba meneruskan perbincangan itu dalam artikel ini dengan memberi fokus kepada amalan di sekolah. Cuba kita mengambil beberapa minit untuk merenung tentang perkara-perkara yang berlaku di sekolah pada masa-masa yang lepas, sama ada, dalam bentuk sesuatu pembaharuan atas inisiatif sendiri atau arahan dari pihak atasan, sesuatu dasar baru yang perlu dilaksanakan, sesuatu amalan yang baru, visi dan misi yang baru, dan sebagainya. Kita tidak mempertikaikan sama ada perkara-perkara itu betul-betul memberi manfaat atau meningkatkan keberkesanan atau tidak dalam artikel ini. Kita menganggapkan semua perkara itu pasti akan memberi 'outcome' yang positif jika dilaksanakan mengikut cara yang sepatutnya. Jika anda menyenaraikan semua perkara itu, adakah anda mendapati bahawa seringkali terdapat banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan dengan cara yang sepatutnya? Buat sementaranya, kita tepikan mereka yang menafikan kenyataan bahawa terdapat banyak perkara tidak dapat dilaksana dengan berjaya melainkan hasil mereka diaudit oleh pihak yang luar dengan instrumen yang merujuk kepada 'outcome' yang patut dicapai, berdasarkan kepada TOV (take-off value) yang sedia ada.(Saya tidak berpanjang lebar di sini. Hanya cukup menyatakan bahawa sebuah sekolah luar biasa yang hanya memilih murid yang cemerlang sahaja tidak boleh menyatakan program mereka lebih berjaya kerana keputusan peperiksaan awam sekolah berkenaan adalah lebih baik daripada sebuah sekolah biasa. Rujuk kepada artikel saya :Perbandingan Yang Lebih Realistik pada 21 September 2008.)
Kita membuat anggapan tiada pemimpin sekolah yang mengamalkan kaedah 'asal ada buat' sahaja (lebih baik daripada langsung tidak buat), yang pasti tidak akan menghasilkan 'outcome' yang dihasratkan. Kita menganggapkan semua pihak di sekolah ingin mencapai 'outcome' yang dihasratkan. Dengan ini, kita lebih bersedia untuk kembali ke soalan mengapa terdapat banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan dengan cara yang sepatutnya, untuk menghasilkan 'outcome' yang sepatutnya.
Cuba kita rujuk kepada 'The Law of the Few' yang dikemukakan oleh Malcom Gladwell dalam usaha memperkenalkan sesuatu perkara yang baru di sekolah. Kita sendiri atau salah seorang ahli sekolah kita telah menghadiri kursus atau taklimat tentang sesuatu perkara baru yang perlu dilaksanakan di sekolah. Adalah amat penting kita memikir dan merangkakan strategi untuk memperkenalkan perkara itu dengan cara yang paling berkesan. Sebelum sesuatu perkara, khasnya yang baru, dapat diterima, dipopularkan, dibudayakan oleh majoriti anggota di sekolah, proses komunikasi yang efektif amat diperlukan. Setakat mengumpulkan semua anggota dalam satu majlis taklimat, walaupun dengan bekalan bahan-bahan yang mencukupi (tidak lupa dengan makan-minum yang mencukupi), tidak menjamin perkara itu berjaya dilaksanakan dengan licin. Kita sering mengambil 'short-cut' dengan menerangkan instrumen pemantauan dan penyemakan dengan harapan tekanan itu dapat menggerakkan semua untuk melaksanakan perkara itu. Kita jarang membincangkan 'the missing link' di antara pengenalan dan penyemakan hasil, yang sebenarnya menjadikan faktor yang utama kejayaan. (Di sini juga, kita tepikan orang-orang yang tetap tidak akan buat pun walau pun pistol ditujukan pada kepala mereka. Manusia jenis ini sudah hampir tak wujud lagi. Seorang dua jika ada, mungkin telah dihantar ke zoo kalau bukan ke 'pool'.)
Jangan lupa, dalam prinsip 80/20, 80 peratus usaha akan terjatuh pada bahu 20% orang. (Perlu ditegaskan di sini, 20% ini hanya merupakan satu anggaran yang mewakili minoriti.) Dan, 20% inilah yang menjadi connectors, mavens dan salesmen kita di sekolah. Inilah 20% orang yang akan membantu menjayakan sesuatu pembaharuan di sekolah. Inilah orang yang diperlu diberi pendedahan awalan, dilatih dan dibimbing untuk 'menjangkit' orang-orang yang lain sehingga menjadi sesuatu 'wabak'. Di kalangan 20% itu bukan setiap orang itu boleh menjadi connectors, mavens dan salesmen secara serentak walaupun terdapat individu-individu yang mempunyai bakat yang merangkumi kesemuanya. Walau bagaimana pun dalam kumpulan ini, terdapat perwakilan daripada ketiga-tiga jenis orang itu. Di sini, kumpulan connectors, dengan ciri peribadi yang dapat membina jaringan sosial yang luas, dapat merebak isu-isu dengan cepat melalui jaringan sosial yang melibatkan ramai anggota di sekolah. Sifat kemesraan dan bertenaga serta keinginan mengetahui sesuatu dan mengongsi maklumat membolehkan connectors menyebarkan berita dengan cepat dan luas. Mereka mungkin secara sendirinya tahu secara luas tetapi tidak mendalami perkara yang berkaitan itu. Kumpulan mavens yang menjadi pakar rujuk yang dapat berkomunikasi dengan lebih detail dengan penjelasan yang lebih mendalam. Mavens suka membantu orang seolah-olahnya masalah orang lain ialah masalah diri mereka. Merekalah orang yang boleh dipercayai untuk memberi penerangan lanjutan, aspek-aspek teknik, strategi yang berkaitan, cara pelaksanaan, bantu mencari jalan, bersama menyelesaikan masalah yang dibawa oleh pembaharuan yang diperkenalkan. Salesmen pula merupakan mereka yang mempunyai kuasa mempengaruhi orang untuk menerima sesuatu idea. Mereka mempunyai karisma untuk menyakinkan orang lain bahawa sesuatu pembaharuan itu dapat mendatangkan banyak faedah walaupun terdapat sedikit cabaran dan kerumitan yang dihadapi pada permulaannya. Mereka dapat membantu memenangi lebih ramai penyokong melalui kuasa pengaruh dan bukan kuasa paksaan.
Sekali lagi, ini bermaksud, seperti dicadangkan oleh 'The Law of the Few', kejayaan sesuatu epidemik sosial (sekolah boleh dianggapkan sebagai satu setting sosial) amat bergantung kepada individu-individu yang mempunyai bakat sosial khas yang boleh dikategorikan sebagai connectors, mavens dan salesmen. Soalan di sini ialah adakah connectors, mavens dan salesmen sedia wujud di sekolah? Atau, barangkali sekolah tidak berjaya melaksanakan sesuatu pembaharuan kerana tidak mempunyai connectors, mavens dan salesmen. Bagi saya, ini tidak mungkin berlaku. Yang lebih mungkin ialah, kita tidak mengenalpastikan mereka. Lagipun, pada sesuatu tahap kejayaan yang terhad (senang kata tidak 100% berjaya), connectors, mavens dan salesmen boleh dihasilkan melalui latihan. Oleh yang demikian, pada masa-masa akan datang, sebelum sesuatu pembaharuan dibuat, pastikan kita mengenalpastikan connectors, mavens dan salesmen kita, dan, kita akan memilih hala tuju yang betul ke arah kejayaan. Adakah ini bermaksud : pasti berjaya? Belum lagi. Jagan lupa faktor lekat (The Stickiness Factor). Setakat ini sahaja. Terima kasih dan komen-komen digalakkan.
No comments:
Post a Comment