Saturday, September 5, 2009

Kursus Kepemimpinan Transformasional

Jabatan Pelajaran Johor telah mula menjalankan kursus Kepemimpinan Transformasional sejak bulan Jun tahun ini. Tn Hj Sufa'at Bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor, mencetus idea kursus ini dengan hasrat untuk meningkatkan kepimpinan pemimpin pendidikan di sekolah melalui pendekatan latihan yang dirancang dengan rapi. Setakat ini, dua kohort pengetua negeri Johor telah menghadiri kursus selama 5 hari ini. Melalui latihan ini, Jabatan Pelajaran Johor berhasrat untuk melatih para pemimpin sekolah sebagai keseinambungan kepada Kepemimpinan Instruksional yang telah dilaksanakan sejak tahun 2005. Modul latihan Kepemimpinan Transformasional dibahagi kepada lima elemen, iaitu: Mengurus Perubahan; Menyelesai Masalah; Membuat Keputusan; Kreativiti dan Inovasi; Mengurus Penambahbaikan Sekolah.

Kaedah pelaksanaan kursus ini adalah berlainan daripada kursus Kepemimpinan Instruksional dari aspek penglibatan peserta. Dalam kursus Kepemimpinan Transformasional peserta-peserta berpeluang mengongsi pengalaman diri melalui perbengkelan dan pembentangan, 'gallery walk' dan sumbangsaran. Melalui sesi ilmu dan penglibatan aktif, diharapkan para peserta yang merupakan pemimpin sekolah dapat mencapai matlamat utama Kepemimpinan Transformasional iaitu untuk membuat transformasi pendidikan yang signifikan di sekolah yang akan memberi impak yang besar dan positif terhadap kecemerlangan pendidikan di Negeri Johor sejajar dengan tagline JPNJ- One Step Ahead.

No comments: