Monday, September 21, 2009

Inovasi Nilai

Inovasi nilai merupakan intipati Blue Ocean Strategy (BOS). Sesuatu strategi mempunyai ciri-ciri BOS harus dapat meningkat dan menciptakan nilai untuk pelanggan dan pembekal secara serentak. Inovasi sama ada dalam produk atau perkhidmatan mesti meningkat atau menciptakan nilai untuk pasaran, di samping mengurang atau menghapuskan ciri-ciri atau perkhidmatan-perkhidmatan yang kurang bernilai dalam pasaran kini atau masa depan (Wikipedia-The Blue Ocean Strategy).

Walaupun pengasas BOS, Kim dan Mauborgne berjaya memenangi ramai pengikut seluruh dunia sehingga BOS sendiri menjadi satu fenomena dan latihan BOS menjadi satu institusi tersendiri. Namun demikian, terdapat golongan pengkritik yang menuduh bahawa tidak banyak 'success story' yang dapat dilihat daripada aplikasi teori BOS, khasnya, berkenaan dengan pencarian ruang pasaran yang belum dieksploitasikan. Tiada data yang jelas yang dapat menyokong kejayaan mengaplikasi inovasi nilai sejak konsep ini diperkenalkan pada tahun 1997. Pihak pengkritik menyoalkan sama ada buku BOS oleh Kim dan Mauborgne lebih mencirikan diskriptif daripada preskriptif. Maksud di sini ialah, mereka (kedua-dua penulis) menggunakan contoh-contoh pelbagai inovasi lepas yang berjaya untuk menerangkan dari perspektif BOS yang sebenarnya merupakan pentaksiran kejayaan-kejayaan yang terpilih melalui kaca mata sendiri. Mereka menggunakan kejayaan secara selektif tanpa mengambil kira berapa banyak syarikat yang mengaplikasikan BOS tetapi tidak berjaya. Yang dipilih ialah contoh yang berjaya. (Saya suka menggunakan contoh tentang agen insurans. Saya selalu kata, walau pun secara intuitif sahaja, lebih ramai agen insurans yang tidak berjaya di sebalik setiap yang berjaya. Adalah lebih mudah melihat yang berjaya melalui 'eviden' seperti kereta besar, rumah besar, makan di restoran yang mahal, sering melancung ke luar negeri dan lain-lain yang ditakrifkan oleh masyarakat sebagai kaya, daripada melihat mereka yang gagal, terpaksa membuat pinjaman daripada Ah Long dan senyap-senyap duduk di rumah sewaan kerana malu.....)

Walau bagaimana pun, tidak boleh dinafikan bahawa BOS merupakan satu usaha yang baik untuk menerangkan ciri-ciri kejayaan dan amat berjaya mengaitkan konsep-konsep dan kerangka-kerangka yang dibuktikan berjaya dalam satu idea yang sistematik, mudah difahami dan meningkatkan kesan melekat (Ingat 'The Stickiness Effect' dari beberapa artikel saya yang lepas?). Lebih-lebih lagi, perbandingan antara Red Ocean dan Blue Ocean merupakan metafora yang efektif untuk menganjakkan paradigma pemikiran dan merangsangkan pihak yang terlibat ke arah bertindak berasaskan konsep inovasi nilai. Dalam hal ini, adalah kurang penting sama ada BOS merupakan satu teori atau strategi yang baru atau tidak. Yang lebih penting ialah soal sama ada kita dapat mengaplikasikan teori ini untuk menghasilkan outcome yang dihasratkan.

(Tambahan : Saya menulis yang berikut secara berasingan. Dua peristiwa sebenar tiba-tiba muncul dalam minda saya semasa menulis perenggan yang terakhir di atas.

Peristiwa 1:
Sebagai jurulatih undangan JPNJ bagi tajuk Pengurusan Strategik, saya di kelilingi oleh ramai peserta yang seolah-olahnya berkejar-kejar ke depan sebaik sahaja saya tamat ceramah saya. Kebanyakan di antara mereka membawa bersama buku-buku setebal seperti tesis PhD untuk mendapat kepastian tentang beberapa isu. Antaranya : Perbezaan antara tactical, operational, action plan, ..... cara menulis analisis SWOT, matriks TOWS, format penulisan yang sepatutnya,.... Saya cuba memberi pelbagai penjelasan tetapi tidak berjaya memuaskan hati mereka, kerana saya sebenarnya tidak faham isu yang sebenar di sebalik soalan-soalan itu. Akhirnya saya 'nampak cahaya' apabila seorang peserta menggunakan strategi soalan yang paling terus dan mudah : Dah buat tebal-tebal, perlu buat lagikah? Soalan itu sebenarnya lebih rumit untuk dijawab kerana tanggungjawab saya ialah mengongsi idea tentang pengurusan strategik dan bukan sebagai pembuat atau penyebar dasar. Senang kata, menyebar kandungan, bukan arahan. Akhirnya saya memaksakan sesi itu ditamatkan dengan kenyataan : 'Pemimpin Cina, Deng Xiao Ping menasihatkan bahawa tidak kira kucing itu berwarna hitam atau putih, kucing yang boleh menangkap tikus ialah kucing yang baik.' Sesi itu ditamatkan tetapi saya boleh rasa peserta tidak puas hati dengan jawapan yang tidak merupakan jawapan itu. Apa boleh saya buat? Masa itu belum dengar lagi BOS atau 'outcome lebih penting daripada output'.

Peristiwa 2:
Sebagai jurulatih undangan JPNJ untuk Kepimpinan Instrusional, saya ditugaskan untuk menerangkan kepentingan melindungi waktu instruksional. Dalam satu sesi latihan, saya telah disoalkan tentang kesesuaian penggunaan perkataan 'melindungi' pada permulaan ceramah saya dan masih pada slaid tajuk sahaja. Perbahasan sama ada istilah alternatif seperti 'menjaga' dan mengawal' menjadi isu dengan rujukan kepada sumber-sumber lain yang berautoritatif seperti IAB hampir menjejaskan peruntukan masa saya. Akhirnya, saya minta izin daripada para cendakiawan, pakar-pakar dan ahli-ahli falsafah di depan saya untuk mengizinkan saya menyampaikan kandungan dahulu sebelum mempertikaikan tajuknya. Sesi itu diakhiri dengan aman dan damai tanpa sebarang soalan lagi tentang kesesuaian tajuk itu lagi. Barangkali semua peserta telah'nampak cahaya' dan memahami isu yang sebenar. Atau sebaliknya,....mungkin....'tanya pun tak guna...tak kan junior macam dia boleh jawab.'

Hanya Thinking Allowed sahaja, bagi sesiapa yang secara kebetulannya berada sebagai peserta dalam mana-mana peristiwa di atas, renung balik dan ketawa. Jangan marah.)

No comments: