Soalan-soalan daripada guru memainkan peranan yang penting dalam membudayakan sebuah ‘thinking classroom’. Guru-guru digalakkan menanya lebih banyak soalan yang melibatkan HOTS (higher order thinking skills) yang menggunakan ‘mengapa’ dan ‘bagaimana’ dan kurangkan soalan LOTS (lower order thinking skills) yang menggunakan ‘apa’ dan ‘bila’.Walau bagaimanapun, jawapan kepada soalan-soalan HOTS tidak semestinya meningkatkan kebolehan murid-murid untuk berfikir. Walaupun soalan HOTS boleh mendorong pemikiran yang lebih mendalam, tetapi jika murid-murid mempunyai tabiat untuk meneka jawapan tanpa meneliti soalan itu dan cepat menjawab tanpa mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan kejadian sesuatu perkara yang disoalkan itu, dia akan terus mengamalkan pola pemikiran cetek. Oleh itu, guru yang menanya soalan ini perlu mencabar murid-murid yang memberi jawapan yang tergesa-gesa dan ada kala yang kurang bertanggungjawab dengan soalan-soalan lanjutan seperti: Bagaimana anda dapat jawapan itu? Apakah sebab-sebab anda menjawab begini? Dari mana anda memperoleh maklumat untuk jawapan anda itu? Apakah yang pandangan anda selanjutnya berkenaan....? Melalui soalan-soalan lanjutan ini, murid-murid didorong untuk memberi jawapan yang lebih bertanggungjawab dengan akauntabiliti yang lebih tinggi. Mereka juga perlu berfikir dengan lebih mendalam. Jika usaha dan amalan ini boleh dijadikan satu budaya di dalam bilik darjah, hala tuju ke ‘thinking classroom’ adalah lebih terjamin.























