Beberapa hari yang lepas, saya bersama beberapa orang guru sains membincang tentang pelbagai pertandingan sains peringkat daerah yang akan diadakan pada penggal depan. Kami setuju bahawa peranan guru adalah penting, bukan setakat bantu mendaftar, membawa murid pergi dan balik dari tempat pertandingan sahaja. Lebih penting lagi ialah peranan guru membimbing, menjadi perundingcara (consultant) dari aspek sains dan memberi motivasi kepada murid-murid (peserta) semasa mereka menyediakan projek-projek mereka. Manakah dan bilakah kita dapat mencari peluang yang begitu baik untuk murid-murid menggunakan teori-teori sains yang dipelajari dalam bentuk aksi? Murid-murid tidak mungkin tidak minat dalam projek-projek seperti pelancaran roket air, kereta mainan tenaga suria, amali sains, pembentangan isu-isu sains, rekacipta dan inovasi jika diberi penjelasan yang cukup. Guru-guru sains seharusnya melihat pertandingan ini sebagai satu peluang untuk menyemaikan jiwa sains dalam sanubari murid-murid dan menganggap projek-projek seperti ini sebagai pemangkin kepada membudayakan pendidikan sains secara umumnya.
Mungkin pada ketika ini, murid-murid masih kurang berinisiatif. Walaupun notis telah dipaparkan, pengumuman dan pelbagai publisiti telah dibuat, masih tidak ramai murid berjumpa dengan guru untuk mendaftarkan diri. Tetapi kita perlu faham bahawa dalam situasi di mana murid-murid sedang menduduki peperiksaan, ada tuisyen selepas sekolah, kelas muzik, mereka belum lagi nampak faedah-faedah 'aksi sains'. Di sinilah peranan guru amatlah penting. Guru tidak menunggu murid mencari, sebaliknya perlu berproaktif and pergi mencari mereka, menjual (seperti jurujual) idea tentang faedah mengambil bahagian dalam projek-projek tersebut. Walau pun bukan semua peserta boleh memenangi hadiah dalam bentuk piala atau pingat, tetapi semua peserta pasti memenangi hadiah dalam bentuk ilmu sains. Saya percaya sekiranya guru dapat memberi gambaran tersebut, masalah yang akan dihadapi bukan tiada peserta tetapi terlalu ramai peserta. Itu pun sepatutnya bukan satu masalah--Jika ramai yang minat, pihak sekolah boleh mengadakan pertandingan dalaman untuk memilih wakil sekolah.
No comments:
Post a Comment