Sudah lama tak tulis artikel dalam Bahasa Malaysia. Sebelum rakan-rakan yang suka baca artikel dalam BM bising, saya selitkan satu yang bertajuk sedikit luar biasa di sini. 'Manusia Dan Geometri'--Apa jenis artikel? Adakah ia berkaitan dengan matematik? Teruskan....
Sebiji sfera mudah digerakkan. Tolak sedikit, sfera itu akan bergolek. Rintangan adalah kurang.
Sebaliknya, adalah lebih susah untuk menggerakkan sebiji kuib. Cuba tolak, rintangan adalah jauh lebih besar. Perlu berjaga-jaga jika hendak memutarkannya. Kalau daya tolakan tidak cukup besar, kuib itu akan jatuh balik ke keadaan asal dan mungkin akibat dari itu, mencederakan kaki sesiapa yang memutarnya. Kalau daya tolakan itu cukup besar, kuib itu akan jatuh ke depan sedikit tetapi terus berhenti. Kuib itu perlu ditolak dengan kuat sekali lagi untuk digerakkan. Kuib itu tidak akan bergolek seperti sfera.
Sekarang kita perhatikan senario sfera dan kuib dalam konteks manusia. Terdapat pelbagai jenis manusia. Ada manusia yang penuh dengan inisiatif. Sedikit tolakan awalan sudah mencukupi untuk mereka terus bergerak. Dalam organisasi, orang macam ini adalah cekap dan produktif. Mereka adalah seperti sfera. Malangnya ada juga manusia yang amat susah digerakkan dan amat susah untuk mendapat kerjasama daripada mereka. Kadang-kadang mereka macam sudah bergerak sedikit tetapi mudah kembali ke keadaan asal dan dalam proses itu mungkin menjejaskan usaha organisasi. Ada kala, oleh kerana daya tolakan cukup kuat, mereka bergerak sedikit sahaja tetapi terus berhenti selepas sedikit kemajuan ke hadapan. Daya yang sama kuat diperlukan untuk menggerakkan mereka sekali lagi dan keadaan ini berterusan secara berulangan. Banyak tenaga dibazirkan dan produktiviti pun terjejas.
No comments:
Post a Comment