Setelah menulis blog yang ke-49 sebentar tadi, saya rasa tidak puas untuk berhenti pada angka 49. Oleh itu, saya teruskan penulisan saya dengan blog yang ke-50 ini--satu perkara yang telah saya simpan di dalam hati begitu lama. Saya cuba menulis melalui satu contoh di sekolah walau pun apa mesej yang saya hendak bawakan adalah relevan di banyak tempat yang situasi yang memerlukan tanggungjawab dan komitmen.
Ingin saya tegaskan di sini secara awal-awalan bahawa walaupun saya mengambil contoh satu majlis persembahan di atas pentas, contoh ini hanya membantu saya menjelaskan penulisan saya dan bukan berkaitan dengan mana-mana persembahan yang sebenarnya berlaku. Cuma, saya ada banyak pengalaman manis atau pahit sendiri kerana semasa muda, saya banyak ditugaskan menjaga sistem pembesar suara. Banyak peristiwa yang berkaitan masih segar dalam ingatan saya.
Cuba bayangkan di dalam satu majlis di mana murid-murid diberi peluang untuk menyanyi di atas pentas untuk memeriahkan suasana. Sudah pasti, dalam majlis seperti ini, terdapat ramai orang yang terlibat sebagai jawatankuasa kerja. Katakanlah seorang murid ditugaskan mengawal sistem pembesar suara. Dia sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang berat untuk memastikan majlis dijalankan dengan lancar dan ini memerlukan satu komitmen yang besar, yang memerlukan perhatian setiap ketika kerana banyak perkara yang tidak dijangka boleh berlaku. Berpuluh-puluh bakat muda, yang berpeluh-peluh melatih berminggu-minggu, akan menjadi kecewa jika pada ketika kemuncak itu, suara mereka yang memang keluar dari mulut mereka tidak keluar dari pembesar suara. Atau, lebih serius lagi, suara yang merdu mereka terkeluar dari pembesar suara seperti suara kucing kerana salah sambungan wayar oleh murid yang tidak mengambil berat tentang tanggungjawab yang diamanahkan itu. Mungkin ada orang lain yang boleh membetulkan keadaan itu. Mungkin orang lain itu pula berfikir --'Ini bukan tanggungjawab saya.' Maka, perkara itu tidak dibetulkan.
Perkara seperti ini sering boleh berlaku jika seorang yang diberi sesuatu tugas itu melihat tugas itu sebagai satu beban, tidak melihat tugas itu sebagai satu penyumbang yang penting kepada satu kejayaan yang lebih besar dan menyeluruh. Dia ingin meminimakan penglibatan diri (minimum adequate syllabus?). Dia mungkin bertindak seperti 'pahat dengan tukul'; minta, buat; tak minta-tak buat; jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku, dia salahkah pihak atasan yang tidak memberi taklimat awalan (nampaknya ada canggahan--kalau tak dijangka, bagaimana boleh beri taklimat awalan?)
Namun demikian, perkara seperti di atas dapat dikurangkan sekiranya sebuah organisasi dapat membina semangat kekitaan, kerja berpasukan, mempertingkatkan kejelekitan di kalangan ahli-ahli dan meningkatkan penyebaran maklumat dan komunikasi. Mudah diamalkan, mudah budayakan? Tidak, tetapi jarang ada perkara yang baik yang mudah pada permulaannya. Mari kita mencuba. Cuba mungkin berjaya; tak cuba pasti tak berjaya.
No comments:
Post a Comment