Sunday, April 13, 2008

Hadiah Nobel -- Untuk Siapa?

Hadiah Nobel ditubuhkan pada tahun 1901, oleh Alfred Nobel, dengan tujuan menganugerahkan ahli sains yang membuat penemuan atau ciptaan yang ‘paling’ penting dalam domain sains. Kebanyakan pemenang hadiah Nobel mula berminat dalam sains sejak kecil lagi. Mereka mempunyai sifat ingin tahu, suka meneroka dan menyiasat, suka membaca dan mencari maklumat saintifik dan suka menyelesaikan teka-teki yang mencabar. Satu aspek yang boleh dipelajari daripada pemenang-pemenang hadiah Nobel ialah pengaruh keluarga. Sering kali masyarakat meletakkan beban mendidik ke atas bahu institusi-institusi pendidikan formal. Kajian di kalangan pemenang hadiah Nobel menunjukkan bahawa pengaruh keluarga adalah amat penting ke atas kejayaan mereka.

Richard Feynman (pemenang hadiah Nobel fizik tahun 1965) menegaskan bahawa pendidikan sains secara tidak formal yang diterima oleh beliau daripada bapa beliau sejak awal-awal lagi telah membuka jalan ke arah kajian saintifik kemudiannya. Bapa beliau yang sebenarnya tidak mempunyai banyak pendidikan yang formal telah merangsangkan minda Richard tentang keindahan sains melalui keterangan fenomena sekitar mengikut tahap yang semampunya. Sifat ingin tahu yang disemai sebelum memulakan pendidikan formal telah membolehkan Richard Feynman meneruskan kajian beliau hingga ke tahap pencapaian yang teragung dalam bidang fizik kuantum. Dehmelt (pemenang tahun 1989) menerangkan sokongan bapa beliau: ‘I supplemented the school curriculum with do-it-yourself radio projects until I had hardly any time left for my classwork. Only tutoring from my father rescued me from disaster.’ Wilson (pemenang tahun 1982) menerangkan: ‘I remember working on symbolic logic with my father; he also tried, unsuccessfully, to teach me group theory. I found high school dull.’ K.M. Siegbahn (pemenang tahun 1981) menerangkan: ‘It’s a decided advantage if you start discussing science every day at the breakfast table.’ Pengaruh keluarga amat ketara jika kita kaji fakta bahawa terdapat sekurang-kurangnya empat pasang bapa-anak yang menerima anugerah tersebut. Mereka ialah J.J. Thompson (1906) dan G.P. Thompson (1937); W.H. Bragg (1915) dan W.L. Bragg (1915); N.H.D. Bohr (1922) dan A.N. Bohr (1975); K.M.G. Siegbahn (1924) dan K.M.B. Siegbahn (1981).

No comments: