Sunday, April 27, 2008

Tanah-Cacing-Tumbuhan

Sinaran matahari membanjiri alam sekitar dengan cahaya dan sinaran ultra unggu. Cacing bersyukur kerana tanah yang menjadi tempat kediamannya melindungi badannya daripada ancaman matahari. Badannya yang lembap tidak boleh menjadi kering. Sinaran ultra unggu juga boleh membawa maut kepadanya. Musim sejuk dan musim kemarau yang sering melanda permukaan bumi tidak menyusahkan cacing yang bermastautin di sekitar yang lembap, suam dan selesa. Tanah juga menjadi perisai dan pelindung nyawa cacing daripada burung, serangga dan binatang yang sentiasa mencari dan memburu mangsa. Cacing amat berhutang budi kepada tanah.

Cacing bergerak di dalam tanah melalui penyusutan otot-ototnya secara sistematik dan berkordinasi yang menyebabkan penyusutan dan pemanjangan badan secara berselang-seli. Pelincir yang dirembeskan dari badan cacing memudahkan pergerakannya dan akibat dari pergerakan cacing, satu rangkaian terowong dihasilkan. Rangkaian terowong itu membantu meningkatkan pengaliran udara dan air dalam tanah. Activiti pergerakan cacing juga menyebabkan tanah dicampuradukkan. Sekali sekala, cacing akan muncul ke permukaan untuk memakan bahan organik sebelum kembali ke dalam tanah. Melalui proses perkumuhan, bahan-bahan organik itu dan juga cebisan-cebisan tanah ditaburkan di dalam tanah dan menjadikan tanah itu semakin subur. Tanah amat berhutang budi kepada cacing.

Fenomena tanah melindungi cacing dan cacing menyuburkan tanah telah menguntungkan satu pihak lagi iaitu, tumbuhan. Rangkaian terowong yang dibina oleh cacing memudahkan penyerapan air dan nutrien oleh akar tumbuhan. Rangkaian itu juga meningkatkan kandungan udara di dalam tanah yang diperlukan oleh akar tumbuhan. Bahan-bahan organik dan cebisan-cebisan kumuhan cacing meningkatkan kandungan nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok yang sihat.

Apakah yang boleh dipelajari dari 'cerita' di atas? Mungkin berbeza-beza, bergantung kepada perspektif mana yang dilihat. Dari perspektif sekolah, izinkan saya kemukakan pandangan saya tentang perbandingan dengan mengibaratkan sekolah sebagai tanah, semua pekerja (pentadbir, guru dan staf sokongan) sekolah itu sebagai cacing dan murid-murid sebagai tumbuhan secara ringkas sahaja. Semoga perbandingan itu boleh mencetuskan perbincangan yang lebih lanjut lagi dan sebarang komen amat dialu-alukan. (Bukan sahaja 'Thinking Allowed' untuk saya, tetapi juga untuk pembaca blog ini.)

Seseorang pekerja di sekolah diberi pelindungan (pelbagai kemudahan dalam perkhidmatan guru dan perkhidmatan awam), keselamatan (kerja dan gaji yang tetap dan terjamin) dan keselesaan (elemen-elemen yang lebih mudah diramal dan risiko yang lebih rendah berbanding dengan dunia perniagaan). Oleh yang demikian seperti tanah melindungi cacing, institusi sekolah melindungi pekerjanya. Sebaliknya, seperti cacing menyuburkan tanah, pekerja di sekolah seharusnya berusaha 'menyuburkan' sekolah melalui pelbagai usaha yang menjadikan persekitaran sekolah itu kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya ini berlaku, seperti tumbuhan yang sihat di tanah yang subur, murid-murid yang sihat dan cemerlang akan muncul dari sekolah yang kondusif.

Setakat itulah sedikit perbandingan antara tanah-cacing-tumbuhan dan sekolah-pekerja-murid. Selebihnya terpulang kepada imaginasi dan refleksi pembaca sama ada setuju atau tidak. Komen oleh pembaca amat dialu-alukan.

No comments: