Sejarah sains merupakan kisah benar evolusi pemikiran manusia, satu drama yang penuh dengan watak yang menarik. Rekod perjuangan ahli-ahli sains yang tidak menghiraukan penat lelah menjadi contoh-contoh bagaimana usaha gigih di sebalik bakat dapat membawa kepada kejayaan. Nama-nama seperti Isaac Newton, Galileo Galilea, Albert Einstein, Marie Curie, Ernest Rutherford dan banyak yang lain; setiap daripada mereka telah menjadi satu bidang kajian tersendiri. Teori-teori dan penemuan mereka telah mengubah fikiran dan kefahaman manusia tentang alam sekitar kita. Riwayat mereka menjadi klasik revolusi mental dan penggerak pemikiran baru. Amalan saintifik mereka menjadi model klasik yang harus diteladani. Usaha mereka mewakili kepiawaian manusia yang sanggup mengatasi pelbagai cabaran dan kepahitan dalam perjalanan ke arah kejayaan.
Sejarah sains akan menjadikan pembelajaran teori-teori dan hukum-hukum sains lebih bermakna dan bernilai. Di samping memberi nafas yang segar sejarah sains juga dapat meluaskan perspektif pembelajaran sains kerana pembelajaran tidak terhad kepada produk akhir ahli-ahli sains sahaja tetapi juga merangkumi proses-proses memperoleh produk tersebut oleh mereka. Proses-proses yang membawa kepada pembentukan hukum atau teori sentiasa menunjukkan pemikiran yang kritis dan kreatif di kalangan ahli sains. Ini seharusnya dibudayakan di kalangan murid-murid oleh guru-guru sains.
No comments:
Post a Comment