Saya dapat bahan dalam rajah di sebelah tanpa mengetahui siapa yang menciptakannya. Walau bagaimana pun saya berfikir bahan ini amat sesuai untuk dihayati bersama. Kenyataan-kenyataan dalam bahan ini amat sesuai untuk dijadikan panduan.
Tell me : Seorang guru yang mengajar dengan kaedah memberitahu sahaja, melakukan proses pengajaran tetapi kemungkinan besar, tahap pembelajaran murid adalah rendah kerana mereka akan cepat lupa apa yang diajar.
Show me : Pertunjukkan, demonstrasi dan tunjukcara merupakan cara yang lebih berkesan. Murid-murid lebih mungkin mengingat ajaran guru. Namun demikian, proses pembelajaran masih pasif.
Involve me : Penglibatan murid-murid dalam perbincangan, melakukan aktiviti, 'hands-on' dan komunikasi dua hala merupakan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkualiti. Murid-murid akan mula belajar apabila minat mereka meningkat.
Reach me : Namun demikian murid-murid yang duduk di dalam kelas masing-masing merupakan individu yang mempunyai dunia tersendiri yang amat berlainan. Mereka membawa ke dalam kelas dengan pengalaman, latar belakang, kefahaman, salah faham, kegemaran dan fobia yang berlainan. Sekiranya seorang guru dapat menembusi dunia individu-individu itu dan membuka minda mereka, memudahcara pembelajaran mereka, menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran satu usaha sama, mewujudkan satu kolaborasi dengan mereka, membentukkan satu pakatan atau 'partnership' di mana kandungan itu dibelajar bersama, proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan lebih terjamin.
Senang kata daripada buat? Memang. Itulah sebabnya bukan sebarang orang boleh menjadi guru. Itulah sebabnya semua guru mesti ada 'lesen' sebelum disahkan sebagai guru terlatih. Dan, itulah sebabnya semasa mengambil 'lesen' itu, seorang guru pelatih perlu belajar banyak perkara, antaranya, teori pembelajaran kontekstual dan teori konstruktivisme. Adakah teori-teori itu masih diaplikasikan selepas 'lesen' diperoleh? Kalau ada, apa yang ditulis di atas lebih mudah dihayati.
No comments:
Post a Comment